Saturday, February 26, 2011

Sebelum Anda Pergi ...

serenemaklong.blogspot.com

Semua orang seronok bila berpeluang pergi bercuti ke destinasi idaman.
Bagaimanapun, sebelum melangkah keluar, pastikan langkah berjaga-jaga diambil . Jangan nanti kegembiraan berakhir dengan kesedihan.

KEBERSIHAN
  • Tinggalkan rumah dalam keadaan yang kemas supaya kepulangan anda disambut oleh suasana bersih.
  • Jika berpergian lebih seminggu, lipat atau gulung permaidani supaya tidak berhabuk.
  • Tutup perabot dengan kain, terutama sofa fabrik polos berwarna putih dan krim. Begitu juga kelengkapan lain seperti televisyen dan pinggan mangkuk yang diletakkan di atas rak terbuka bagi mengelak berhabuk.
  • Jika berpergian lama, simpan semua kusyen pada kerusi anjung atau tanggalkan sarungnya untuk mengelak dihinggapi habuk tebal.

MAKANAN
  • Pastikan tidak ada sisa makanan terutama yang manis bersepah di atas lantai atau di atas meja agar tidak didatangi semut dan lalat.
  • Buang semua sampah daripada tong sampah di dapur dan kemudian ditangkupkan atau ditutup rapat. Sisa makanan yang tidak dibuang akan berulat dan menjejaskan kebersihan keseluruhan rumah.
  • Anggarkan pembelian makanan basah yang disimpan di dalam peti sejuk supaya bekalan yang dibeli dapat dihabiskan sebelum meninggalkan rumah. Perlu diingat bahawa makanan seperti ikan dan daging yang disimpan terlalu lama di dalam peti sejuk boleh menjejaskan kesegarannya manakala sayur berdaun dan buah-buahan jenis berair akan rosak.

AIR
  • Tutup paip air di luar rumah. 
  • Jika bimbang ketiadaan air bila pulang bercuti, anda tidak perlu membuang air dalam kolah mandi. Tutup sahaja dengan jaring bagi mengelak pembiakan nyamuk.

KELENGKAPAN ELEKTRIK
  • Kecuali peti sejuk, matikan semua suis peralatan elektrik. Kecuaian tidak menutup suis boleh menyebabkan risiko litar-pintas dan terbakar.
  • Tutup tabung gas memasak selepas menggunakannya buat kali terakhir sebelum meninggalkan rumah.

KUNCI
  • Sediakan kunci mangga yang kukuh untuk semua pintu rumah dan pintu pagar. Semua tingkap diselak serta dikunci dari dalam. Buat dua kali pemeriksaan bagi memastikan semuanya betul-betul telah dikunci rapi.
  • Bawa kunci rumah dan kunci almari bersama anda, atau tinggalkan anak kunci kepada jiran atau saudara terdekat yang boleh dipercayai supaya anda boleh meminta tolong seandainya terlupa sesuatu. Saudara-mara yang datang secara mengejut juga boleh mendapatkan kunci daripada jiran untuk masuk ke dalam rumah bagi sebarang urusan penting.
  • Jangan tinggalkan anak kunci di bawah pasu, dalam kasut atau peti surat kerana dibimbangi dapat dikesan oleh pencuri.

MENGELIRU PENCEROBOH
  • Pasang salah satu lampu agar rumah kelihatan seperti berpenghuni. Sebagai langkah menjimatkan elektrik, guna lampu pintar yang akan menyala dan memadam secara automatik pada waktu malam dan siang.
  • Elak meninggalkan nota yang memberitahu anda tiada di rumah dan ditampal pada pintu.
  • Tutup suis loceng rumah kerana dibimbangi penceroboh dapat mengesan ketiadaan anda apabila pintu tidak dibuka selepas menekannya berkali-kali. Begitu juga jangan pasang pesanan suara yang memberitahu anda tiada di rumah.
  • Jika melanggan surat khabar, roti atau susu, maklumkan kepada penjual berkenaan supaya tidak menghantarnya selama tempoh pemergian anda tetapi jangan beritahu yang anda tiada di rumah. Anda mungkin boleh katakan yang sepanjang tempoh itu anda tidak berminat untuk melanggan kerana memperolehinya secara percuma di pejabat.
  • Biarkan langsir di beberapa ruang terbuka sedikit bagi memberi gambaran seolah-olah ada orang di dalam rumah. Bagaimanapun, pastikan langsir yang dibuka tidak menampakkan suasana keseluruhan dalaman rumah kerana bimbang penceroboh dapat mengesan bahawa rumah itu sebenarnya tidak berpenghuni.
  • Jika ada jiran yang boleh dipercayai, minta bantuannya untuk mengawasi rumah. Anda boleh juga menyuruh mereka menggunakan tong sampah di luar rumah anda kerana tong sampah yang sentiasa berisi menunjukkan seolah-olah ada orang di dalam rumah. Tinggalkan nombor telefon yang boleh jiran hubungi sekiranya berlaku sesuatu kecemasan.
  • Jika meninggalkan rumah dalam tempoh yang sangat lama. Langkah paling wajar adalah mengupah orang untuk menjaga rumah. Bagaimanapun awas, dapatkan khidmat orang yang betul-betul boleh dipercayai. Sekurang-kurang dengan ada penjaga bolehlah mengawasi keselamatan rumah, menjaga tanaman dan memberi makan haiwan peliharaan. 

HARTA PENTING
  • Jangan simpan wang tunai dalam jumlah yang banyak di rumah, sebaliknya simpan saja di bank.
  • Barang kemas juga tidak wajar ditinggalkan dalam laci almari kerana tempat itu paling mudah dikesan pencuri.
  • Gugusan anak kunci untuk kereta, bilik dan almari tidak harus diletakkan di atas meja atau disangkutkan pada dinding kerana ini akan memudahkan kerja penceroboh. Seeloknya dibawa bersama-sama atau ditinggalkan kepada mereka yang boleh dipercayai. 
  • Ataupun sediakan peti keselamatan untuk menyimpan kunci, barang kemas dan sijil penting. Pastikan peti itu jenis kalis api dan diletakkan di tempat yang tersorok.

ELAK KEBAKARAN
  • Jangan tinggalkan sebarang benda yang terbakar di luar rumah, terutama di kawasan berumput kering kerana dibimbangi api melarat menjadi besar.
  • Periksa semua wayar elektrik dan pastikan pembalutnya tidak terkoyak, begitu juga tiada palam yang pecah.
  • Lampu kalimantang selamat untuk dipasang dalam tempoh yang lama, Padam semua lampu bermentol bulat kerana jenis ini cepat panas.
  • Pastikan lampu jalan berhampiran rumah dalam keadaan elok kerana kerosakannya boleh menyebabkan berlaku litar pintas yang turut menjejaskan keselamatan rumah.

LANSKAP / POKOK
  • Tebang lalang yang tinggi di halaman kerana ini boleh dijadikan tempat persembunyian pencuri. Bersihkan dengan memesin rumput dan mencantas pokok.
  • Simpan semua perkakas kebun seperti penyedok, gerudi dan tangga dalam stor yang berkunci untuk mengelakkannya daripada diguna oleh penceroboh.
  • Telangkup semua bekas yang tidak diguna bagi mengelak air bertakung yang mengundang jentik-jentik.
  • Letak pokok berduri di bawah tingkap, di sisi pintu dan sepanjang pagar sebagai halangan kepada penceroboh.
  • Letak pokok pasuan di kawasan terdedah atau di bawah hujung bumbung supaya terkena air hujan.
  • Satu lagi cara ialah mengalih pokok pasuan ke dalam beg plastik bagi mengekalkan kelembapan. Kemudian letak di tempat teduh yang mendapat sedikit cahaya. Jangan letak di bawah sinaran terus matahari kerana beg plastik mudah panas terkena bahang matahari dan kelembapan cepat hilang.
  • Kaedah lain ialah meletak pasu bunga dalam bekas besar berisi air sedalam 10 sentimeter dan tutup dengan jaring bagi mengelak pembiakan nyamuk. Letak bekas beserta pasu bunga di dalam bilik mandi. Pasang lampu dengan kecerahan sederhana untuk memberi pencahayaan pada pokok bunga. Kaedah ini melambatkan penyejatan air.
  • Jika ada pokok buah-buahan, petik buah yang sudah masak atau hampir masak. Buah gugur yang dibiarkan bertaburan boleh mengundang penyakit dan menimbulkan masalah jangkitan serta serangga pada buah lain.

HAIWAN PELIHARAAN
  • Dapatkan bantuan jiran untuk memberi makan binatang peliharaan anda, atau tumpangkan sahaja di rumah jiran.
  • Pastikan bekalan makanan dan vitamin yang cukup ditinggalkan untuk haiwan kesayangan.
  • Boleh juga dapatkan perkhidmatan klinik haiwan atau pusat pemeliharaan haiwan. Upah yang dikenakan biasanya dalam RM15 ke atas untuk satu hari. Selain mendapat makan dan minum, haiwan juga terjaga serta mendapat perhatian penuh.
  • Bagi ikan akuarium, jelaskan waktu pemberian makanan kepada jiran atau rakan yang menjaganya.
  • Jika berhasrat membawa bersama haiwan peliharaan, beli bekas sesuai dan letak tanda nama agar mudah dikenali jika hilang.
 
ALAT KAWALAN KESELAMATAN
  • Pilih alat yang terbaik dan dipasang oleh mereka yang pakar. Penggunaan sistem penggera biasa yang sekadar mengeluarkan bunyi tidak begitu sesuai kerana orang awam selalunya mengabaikan bunyi berkenaan. Justeru, pilih jenis yang boleh dikawal dan menyampaikan maklumat sama ada kepada anda atau terus kepada pihak berkuasa. Sistem ini memang mahal tetapi mempunyai daya perlindungan yang lebih tinggi.
  • Sesetengah sistem penggera boleh diprogram untuk menghubungi jiran atau orang tertentu supaya memeriksa rumah atau memanggil polis sewaktu berlaku pencerobohan.
  • Ataupun pasang sistem televisyen litar tertutup. Dengan bantuan teknologi komputer dan internet, sistem kawalan keselamatan jarak jatuh menjadi lebih mudah untuk diguna dan diselenggara. Cari syarikat yang menawarkan perkhidmatan kawalan keselamatan jarak jauh, yang akan mensimulasikan lampu dan alat pandang dengar seolah-olah anda berada di rumah dan jika berlaku kejadian pecah masuk, anda dan tiga ahli keluarga yang dipilih akan dihubungi secara automatik melalui telefon.

Sesudah mengambil langkah berhati-hati dan disokong pula oleh teknologi tercanggih, bagi kaum Muslimin ada satu lagi teknologi teragung yang mampu menolong iaitu berdoa. Mohonlah kepada Allah supaya Dia melindungi keselamatan kita yang bermusafir dan juga kediaman yang ditinggalkan. Tawakallah kepada-Nya. Hanya Dia mampu menewaskan penceroboh hi-tech.    


No comments:

Post a Comment