serenemaklong.blogspot.com
Betapa bertuah badan jika mendapat jiran yang baik. Sungguh malang bila berjiran dengan orang yang sombong, tidak tahu malu dan kurang berbudi bahasa. Begitulah hidup berjiran. Rambut sama hitam, hati lain-lain. Jiran yang baik pun masih ada kekurangan. Tidak semua orang dapat memenuhi keinginan kita sebagaimana kita tidak mungkin disukai sepenuhnya oleh jiran. Ada beberapa perkara patut diberi perhatian bila hidup berjiran:
- Berhati-hati sewaktu membina pagar sempadan. Kalau anda yang memulakan kerja pengubahsuaian rumah, berundinglah dengan jiran mengenai ketinggian pagar sempadan yang patut dibina, jangan sampai mengganggu pemandangan jiran.
- Anda menanam pokok buah di sisi pagar dan tidak berupaya menghalang daunnya daripada berguguran di halaman jiran. Cadangkan kepada jiran yang anda bersedia memasuki halamannya untuk mengaut daun-daun itu, kalau diberi keizinan. Walaupun anda tahu tentu jiran mungkin tidak bersetuju dengan niat baik itu, sekurang-kurangnya anda berbudi bahasa dengan dia. Kalau sudah berbuah, jangan lupa sedekahkan sebahagian hasil kepadanya.
- Anak-anak yang bising tidak dianggap gangguan kepada jiran yang sukakan kanak-kanak atau mempunyai anak kecil seperti anda. Tetapi jika anak sudah besar dan faham arahan, kawallah tahap kebisingan mereka. Jika bermain di luar, pastikan mereka tidak menendang bola sehingga memecahkan tingkap jiran, merosakkan tanaman atau kenderaan mereka. Ajar anak anda supaya menghormati jiran.
- Sesekali anda suka menjemput kawan-kawan datang ke rumah – bersembang dan begelak ketawa sambil menonton televisyen, mendengar muzik dan makan-makan. Janganlah pasang radio dan televisyen terlalu kuat sehingga mengganggu jiran yang mungkin sedang berehat.
- Amalkan sikap “jangan buat pada orang apa yang anda tidak suka orang buat pada anda.” Kalau anda suka rumah bersih, jangan pula membuang sampah di halamannya.
- Senyum apabila berselisih dengan jiran. Senyum itu sedekah.
- Sesekali luangkan masa bertanya khabar jiran apabila terserempak dengan mereka. Anda tidak perlu berbual panjang kalau masa kurang mengizinkan, cukup sekadar memberi salam atau mengucapkan “hai“ dan bertanyakan serba sedikit mengenai perkembangan mereka. Jangan bertanya macam-macam sehingga jiran menganggap anda mahu menjaga tepi kain mereka pula.
- Ziarah jiran yang ditimpa malapetaka. Sama ada mereka suka atau tidak, luangkan masa itu untuk bersama mereka walaupun seketika. Anda boleh tahu sama ada jiran suka atau tidak dengan kehadiran anda. Kalau dia melayan anda dengan baik, itu tandanya mereka memang mengharapkan kedatangan anda. Tetapi jika dia bersikap acuh tidak acuh, maka sebaik-baiknya anda mengundurkan diri sahaja selepas memberi salam dan bertanya serba sedikit mengenai malang yang menimpanya.
- Tunaikan permintaan jiran yang meminta bantuan anda menengok-nengokkan rumah mereka sewaktu mereka pergi bercuti. Selain itu, ketika jiran keluar bekerja, bagi wanita yang menjadi surirumah, boleh juga tolong dengar-dengarkan anak kecil mereka yang ditinggalkan dengan pembantu rumah. Tindakan anda pasti melegakan jiran walaupun tidak si pembantu rumah.
- Jika jiran menghadapi masalah terputus bekalan makanan atau bahan masakan pada waktu kesesakan, hulurkan apa yang kita ada. Jiran mungkin kata dia mahu meminjam sebiji dua bawang atau semangkuk beras, tapi kita jangan pula menuntut kalau jiran terlupa hendak memulangkan apa yang dia pinjam. Anggaplah itu sebagai sedekah.
- Jemput jiran terdekat apabila anda mengadakan majlis keraian. Sama ada mereka datang atau tidak itu soal lain. Lagipun secara tidak langsung anda memaklumkan pada mereka mengenai majlis itu dan suasana bising pada waktu tersebut.
- Kalau anak anda bergaduh dengan anak jiran, jangan masuk campur melainkan jika ia membabitkan pergaduhan besar sehingga mencederakan. Biarkan anak-anak itu selesaikan hal mereka. Jangan sokong sesiapa secara terbuka, sama ada anak anda apatah lagi anak jiran. Panggil anak masuk ke dalam rumah dan nasihatkan dia mengenai logik akal, bukan perasaan.
- Jangan bermasam muka dengan jiran, malah tidak memandang pun muka jiran bila berselisih dengan mereka. Lainlah kalau mereka yang tidak mengendahkan anda selepas dua tiga kali berselisih.
- Jangan bertukang pada waktu malam. Ini mengganggu jiran yang sedang berehat.
- Jangan mementingkan diri sendiri. Kalau tinggal di unit atas pangsapuri atau rumah pangsa, jangan cuci balkoni dengan air yang boleh memercik ke balkoni bawah. Sebaiknya gunakan mop sahaja.
- Jangan bertengkar dengan jiran yang sombong. Walaupun hati sakit tetapi anda tidak rugi apa-apa kalau mengambil sikap mengalah malah dengan tindakan ini, andalah sebenarnya juara.
- Jangan tiru gaya mereka di segi penampilan diri, hiasan rumah, pengubahsuaian rumah dan sebagainya. Mungkin mereka tidak suka. Jadilah diri anda sendiri.
No comments:
Post a Comment