Monday, February 21, 2011

Memahami Masalah Pemakanan

serenemaklong.blogspot.com

Masalah makan adalah masalah mental yang dikaitkan dengan imej badan, iaitu apa yang dirasai oleh seseorang tentang penampilan fizikalnya. Ia membabitkan persepsi, imaginasi, emosi dan rasa fizikal tentang badan. Imej badan bukan berbentuk fizikal, malah lebih merupakan satu masalah psikologi. Ia tidak berasaskan fakta, tetapi berasaskan salah tanggapan terhadap diri sendiri. Contohnya, seorang yang memang langsing, malah mungkin terkurang berat badan pula, namun tetap merasakan berat badannya berlebihan.

Jenis Masalah Makan

Anoreksia Nervosa
Diagnosis
  • Enggan mengekalkan berat badan pada tahap yang unggul, sewajar dengan usia dan ketinggian tubuh (85% daripada yang sepatutnya).
  • Terlalu takut berat badan naik atau gemuk, meskipun terkurang berat badan.
  • Terganggu dengan bentuk badan atau berat badan yang mempengaruhi penilaian diri sendiri. Enggan mengakui keseriusan masalah yang boleh timbul akibat terkurang berat badan.
  • Amerorea – ketiadaan kitaran haid sekurang-kurangnya tiga bulan berturut-turut (bagi wanita).
Individu yang mengalami anoreksia nervosa biasanya tersangat kurus dan terkurang berat badan. Bagaimanapun, mereka masih merasa diri mereka gemuk lalu enggan makan kerana terlalu takut berat badan akan naik.

Mereka mengamalkan diet keterlaluan sama ada dengan makan sekali sehari atau mengambil hanya sedikit makanan. Yang lain mungkin berpuasa, atau  bersenam secara keterlaluan.

Bulimia Nervosa
Diagnosis
  • Tabiat makan mengikut nafsu: Makan tidak tentu masa, jumlah makanan pula  lebih banyak daripada jumlah yang dimakan oleh kebanyakan orang dalam tempoh yang sama dan di bawah keadaan yang sama.
  • Tidak dapat mengawal nafsu makan.
Tabiat tidak wajar untuk mengelakkan kenaikan berat badan:
-         Sengaja memuntahkan makanan; salah guna julap, diuretik, enema, atau ubat lain, berpuasa, atau bersenam secara berlebihan. Penilaian diri sendiri terlampau dipengaruhi oleh bentuk dan berat badan.

Individu yang mengalami bulimia nervosa juga kurus dan terkurang berat badan. Bagaimanapun, cara mereka mengekalkan berat badan adalah berlainan daripada pengidap anoreksia. Pesakit bulimia akan makan banyak, tetapi kemudian merasa bersalah dan gementar. Penghidap bulimia biasanya akan makan sendirian dan merahsiakan tabiat makan mereka.

Kesan Masalah Makan
-         Kerosakan jantung disebabkan kurang nutrien penting yang berpunca daripada kurang pengambilan makanan.
-         Anemia adalah kekurangan bilangan sel darah merah disebabkan kurang pengambilan makanan dan kurang nutrien dalam badan.
-         Osteoporosis dialami apabila tulang menjadi lemah disebabkan kurang pengambilan makanan.
-         Pembangunan seksual tertangguh. Kekurangan nutrien akan menyebabkan kelewatan serius pembangunan seksual di kalangan remaja lelaki dan perempuan belasan tahun.
-         Kerosakan gigi dialami oleh penghidap bulimia. Apabila mereka memuntahkan  makanan, asid perut akan keluar dan merosakkan gigi.
-         Penyisihan sosial. Penghidap anoreksia dan bulimia tidak selesa dengan penampilan fizikal mereka. Kebanyakannya lebih suka menyisihkan diri daripada ahli keluarga dan kawan.
-         Pertumbuhan bulu roma.  Badan perlu berfungsi pada suhu badan tertentu. Kekurangan makanan dalam badan akan menurunkan suhu badan. Oleh itu, badan akan mencari caranya sendiri untuk mengekalkan suhu pada tahap seberapa normal yang boleh, dan biasanya penghidap anoreksia dan bulimia mempunyai lebih banyak bulu roma yang memerangkap suhu untuk mengekal kepanasan badan.  

Rawatan Masalah Makan
Masih belum ada kaedah yang standard untuk merawat pengidap masalah makan. Lagipun, satu kaedah rawatan mungkin tidak sesuai untuk semua. Berikut ada beberapa pilihan rawatan:
-         Lebih berwaspada. Penghidap bulimia biasanya makan secara sembunyi. Bila makan bersama orang lain, mereka akan mencari alasan untuk meninggalkan meja makan. Ahli keluarga dan rakan yang mengambil berat perlu mengawasi tabiat mereka.
-         Betulkan gangguan pemikiran. Kita perlu meyakinkan penghidap anoreksia dan bulimia bahawa nilai diri bukan bergantung pada penampilan fizikal. Memang kita patut sihat dari segi fizikal namun kita tidak perlu kelihatan seperti supermodel!
-         Sedia membantu tanpa membuat penilaian. Ramai pesakit anoreksia dan bulimia  menyedari bahawa orang tentu akan menyalahkan mereka. Justeru, mereka tidak mahu meminta bantuan. Kita perlu beritahu bahawa kita bersedia mendengar masalah mereka dan memberi bantuan sebaik mungkin.
-         Kecantikan lahir dari hati. Masyarakat, khususnya media dan industri kecantikan perlu mengubah definisi kecantikan dan mencari definisi baru. Terlalu banyak penekanan ke atas kecantikan paras rupa untuk mengukur nilai seseorang bukan sahaja berbahaya, tetapi juga tidak berfaedah.  Kita perlu tahu bahawa “Kecantikan datang dalam segala bentuk” dan “Kecantikan terletak dalam diri sendiri.”

No comments:

Post a Comment