Wednesday, October 18, 2017

Hilangnya Adab Dan Akhlak Dalam Masyarakat


Perkara yang semakin hilang dalam pendidikan kita adalah adab dan akhlak. Dalam perlumbaan mengejar nombor di atas kertas pada hari ini, kadang-kadang kita terlepas pandang aspek adab dan akhlak. 

Apakah maksud 'adab' dan 'akhlak'?

Adab bermaksud perilaku yang dilakukan secara disedari [1]. Ia mungkin melibatkan aktiviti individu seperti perilaku menuntut ilmu atau aktiviti sosial seperti perilaku menyapa orang tua. Adab juga disebut sebagai 'tata susila' iaitu gabungan perkataan yang berasal dari bahasa Jawa (tata bermaksud 'aturan' manakala susila bermaksud 'baik'). Dalam bahasa moden pula, ia dipanggil 'etiket' (English: etiquette) 

Adab dipengaruhi oleh latarbelakang budaya masyarakat. Ini bermakna perilaku baik dalam Masyarakat Nusantara mungkin berbeza dengan perilaku baik dalam Masyarakat Barat. Dalam konteks masyarakat tempatan, perilaku baik banyak dipengaruhi oleh ajaran Agama Islam. Contohnya, adab menuntut ilmu menekankan kepentingan kita memuliakan buku pengajian dan tidak meletakkannya di tempat yang hina seperti di hujung kaki atau bersepah di atas lantai. Adab menyapa orang tua pula menekankan bahawa kita tidak memanggil mereka dengan namanya tetapi dengan gelarannya yang mulia.

Akhlak pula boleh didefinisikan sebagai Tabiat [2]. Apabila sesuatu perbuatan diamalkan secara berterusan, ia akan membentuk watak, kebiasaan atau sikap yang mendalam dalam diri seseorang. Aristotle turut menyatakan bahawa perilaku yang diulang-ulang akan membentuk kecenderungan yang positif, yang akhirnya melahirkan 'tabiat' atau 'virtues', dan itulah sebenarnya akhlak [3].

Kepincangan adab dan akhlak bukan sahaja boleh diperhatikan di sekolah tetapi sudah ketara di dunia luar sekolah yakni Dunia Dewasa. Kita ambil contoh suasana di gerai makan.

1) Ada sesetengah pengunjung yang datang ke meja yang sudah diduduki pengunjung lain (tetapi masih ada kerusi yang kosong) lalu duduk tanpa terlebih dahulu menyapa pengunjung sedia ada. Lebih teruk lagi jika dia langsung tidak mempedulikan pengunjung sedia itu ada seolah-olah mereka 'tidak wujud' di hadapannya.

2) Ada pula yang mahu mengambil sudu, tisu atau teko air basuh tangan yang berada di hadapan pengunjung lain lalu terus selamba mengangkatnya tanpa meminta izin terlebih dahulu untuk 'melintaskan' tangannya di hadapan pengunjung terbabit.

3) Ketika kita sedang berbaris mengambil makanan, ada pengunjung yang datang dari belakang kita, menegur orang di hadapan kita dan kemudiannya menyisip masuk barisan tanpa meminta izin kita.

Dalam ketiga-tiga kes di atas, ia melibatkan 'ruang peribadi' (English: Personal Space) [4]. Seseorang yang beradab, apabila memasuki atau melintasi 'ruang peribadi' orang lain sebaiknya meminta izin terlebih dahulu sebelum berbuat apa-apa.

Dalam interaksi di Media Sosial pula, sesetengah pengguna, hatta mereka yang berstatus profesional dan phd sekalipun, begitu mudah memberikan pendapat atau menggunakan perkataan yang membuatkan pengguna lain tidak senang hati, tersinggung atau marah.

Meskipun pada hari ini akan ada pula yang menjawab "ini dunia bebas, sukahati saya untuk berbuat apa yang saya suka", kita perlu menghormati dan memuliakan hak manusia lain. Dalam bahasa mudah, layan orang lain sebagaimana kita mahu dilayan dengan penuh kemuliaan. Itu tandanya orang yang berakhlak mulia. 

Dalam konteks pengajian Teknologi Komunikasi Maklumat (English: Information Communication Technology), aspek adab di Internet dipanggil Netiquette [5]. Ia juga berpegang kepada nilai yang sama iaitu "layan orang lain sebagaimana kita mahu dilayan dengan penuh kemuliaan". Seorang penulis Virginia Shell memasukkan perkara ini sebagai peraturan nombor satu dalam senarai peraturan "The Core Rules of Netiquette" [6]

Jika orang dewasa pun tidak berjaya untuk beramal dengan perilaku yang baik, bagaimana kita boleh mengharapkan generasi akan datang mempunyai akhlak yang mulia?

Kita semua menjadi contoh kepada mereka.

Jom kita sematkan azam untuk Hijrah Adab dan Akhlak di permulaan Tahun Baru Hijrah 1439 ini.

Nota:
[1] Pendidikan akhlak dan adab Islam, Oleh Asmawati Suhid (https://books.google.com.my/books?id=I0UZoaWviLgC&pg=PA14&dq=istilah+adab)
[2] Pendidikan akhlak dan adab Islam, Oleh Asmawati Suhid (https://books.google.com.my/books?id=I0UZoaWviLgC&pg=PA15&lpg=PA15&dq=definisi+akhlak)
[3] Ibid.

[4] Personal Space adalah satu topik di bawah tajuk Proxemics  (https://en.wikipedia.org/wiki/Proxemics

[6] "The Core Rules of Netiquette" menggariskan peraturan berikut:
Rule 1: Remember the Human
Rule 2: Adhere to the same standards of behavior online that you follow in real life
Rule 3: Know where you are in cyberspace
Rule 4: Respect other people's time and bandwidth
Rule 5: Make yourself look good online
Rule 6: Share expert knowledge
Rule 7: Help keep flame wars under control
Rule 8: Respect other people's privacy
Rule 9: Don't abuse your power
Rule 10: Be forgiving of other people's mistakes

[Pendapat yang diutarakan oleh Ridza Ahmad Ibrahim menerusi laman Faceboook]

No comments:

Post a Comment