Thursday, July 20, 2017

Taubat Banduan Akhir




Tazkirah oleh Ustaz Wadi Annuar:

Antara manusia yang tahu bila dia akan MATI ialah, Banduan Akhir. Banduan akhir ialah banduan yang melakukan jenayah berat sudah mengalami proses penghakiman kadangkala 2 tahun, 3 tahun, 5 tahun dan akhirnya akan dihukum dengan hukuman gantung oleh Hakim.

Kalau hukuman gantung itu dibacakan pada hari Isnin, maka gantung hingga mati dilakukan oleh semua banduan akhir beragama Islam pada hari Jumaat. Apabila seorang banduan akhir dihukum gantung sehingga mati, maka namanya ketika itu akan menjadi banduan akhir dan biliknya akan diasingkan. Nama biliknya "Sel Akhir".

Andaikata Hakim jatuhkan hukuman pada hari Isnin, maka ketika itu baki kehidupan harinya ialah Selasa, Rabu dan Khamis saja. Waktu Hakim baca : "Maka ini dijatuhkan hukuman gantung sampai mati yang akan dilaksanakan pada hari Jumaat ini di antara jam 6 pagi hingga jam 7 pagi." Kalau hukumana dibaca hari Ahad, Jumaat dijatuhkan hukuman. Kalau Rabu, maka baki kehidupannya sehari saja lagi.

Selesai saja Hakim membaca keputusan, lutut banduan akhir tak boleh berdiri. Air mata berlinangan sejak awal proses Mahkamah lagi. Bila balik ke penjara, warden suruh asingkan barang-barang dan dipindahkan ke sel belakang sekali. Ustaz  yang pergi melawat akan melihat banduan akhir menghabiskan kehidupannya dengan sentiasa membaca Al-Quran. Percakapan dengan ustaz dipenuhi air mata.

"Saya banyak dosa ustaz. Saya tinggalkan tanggungjawab saya pada ibu, ayah dan keluarga, ustaz".

Pergilah waktu mana pun, kita akan lihat banduan akhir ini berdiri di depan Allah... solatnya panjang, zikirnya banyak, Qurannya banyak mengadu kepada Allah SWT.  Kenapa? Sebab dia tahu umur dia hanya beberapa hari saja lagi. Manusia yang tahu ajalnya, dia tak boleh tidur dah.

Sebab itu di antara rahmat Allah yang Besar adalah MERAHSIAKAN kematian supaya kita boleh makan, tidur, bermain dan sebagainya. Kalau kita tahu ajal, nescaya sebelum itu kita tak akan bermain lagi. Tetapi Allah SWT merahsiakan kematian sebagai BUKTI dan RAHMAT Allah kepada kita semua.

Banduan akhir yang telah dibuka rahsia kematiannya oleh Allah, maka dia jauh lebih beruntung daripada kita semua sebab dia tahu dan mahu bertaubat. Alhamdulillah. Majoriti manusia yang dibawa menghadap Allah TIDAK sempat bertaubat . Banduan akhir ini pada malam jumaat lebih beruntung sempat mengaku di hadapan Allah.

"Ya Allah aku berdosa d ihadapan Mu yaAllah. Aku mengaku bahawa selama ini aku melakukan kesalahan kepadaMu yaAllah! Ampunilah dosa aku yaAllah!!" Seluruh KEIKHLASAN dihimpunkan di dalam hatinya menghadap Allah.

Keesokannya pagi @ malam itu, banduan akhir ini akan diberi pilihan untuk memilih makanan yang tidak melebihi RM 7.50.  Dia boleh pilih sama ada Char kuew teow, nasi ayam penyet, cucur udang ... Kebanyakan banduan akhir TIDAK lagi akan memesan apa-apa makanan lagi. Tak lalu makan dah. 

Keesokannya, selepas dia solat subuh, hukumannya MESTI dijalankan di antara jam 6 hingga 7 pagi. Maka BENARLAH apa yang Allah firmankan, Ya ..benar. dia disarungkan tali di lehernya pada jam 6.47 pagi tapi dia tak tahu saat ke berapa dia akan kehabisan nyawa. 

Banduan akhir akan diberi peluang bercakap dengan ahli keluarganya. Namun tak ada ungkapan yang keluar. Hanya peluk dan nangis. Nak cakap apa pun lagi. Yang boleh keluar hanya 2 perkataan sahaja; "Maafkan ayah...Maafkan ayah". Bila peluk isteri ,, "Maafkan abang, Maafkan abang". Itu sahaja. Kemudian, dia akan di bawa ke situ lalu digantung.

Kematian kita semua dirahsiakan supaya kita sentiasa melakukan persiapan untuk bertemu dengan Allah SWT.

Wallahua'lam.

No comments:

Post a Comment