Sunday, July 16, 2017

Buangkan Sampah Dalam Fikiran



Suatu hari ketika Rasulullah SAW sedang berjalan, datanglah seorang Arab badwi dari arah belakang. Dengan serta-merta dia menarik jubah najraani yang dipakai oleh Rasulullah SAW.

Akibat tarikan yang keras ke atas jubah itu telah menyebabkan leher baginda berbekas merah.

Badwi itu kemudiannya berkata, 'Wahai Muhammad, beri aku sebahagian daripada kekayaan Allah yang ada di tanganmu'. 

Rasul Allah menoleh kepadanya sambil tersenyum, lalu memerintahkan pengikutnya memberikan wang kepada badwi tersebut.

Betapa mulia akhlak Rasulullah SAW. Baginda tidak pernah membalas keburukan orang dengan keburukan lagi. Saat dihina, baginda tidak marah atau sakit hati. Sebaliknya baginda mendoakan kebaikan.

Mengapa Rasulullah SAW mampu tenang dan bijak menghadapi gangguan orang lain? Jawabnya, Rasulullah SAW memiliki kelapangan dada dan kejernihan fikiran.

Ternyata, sikap kita sendiri yang menentukan sama ada kita hidup bahagia atau derita. 

Hidup akan rasa terseksa selagi otak banyak menyimpan memori yang negatif, umpama menyimpan sampah lama yang busuk.

Penghinaan, perlakuan buruk dan cemuhan orang, kegagalan dalam usaha dan lainnya adalah "sampah" yang mengotori fikiran. Semakin banyak menyimpan memori buruk di otak, semakin negatif sikap dan perilaku kita.

Bersihkan fikiran dari "sampah-sampah" ini dengan memberi kemaafan. Memaafkan semua perlakuan buruk orang umpama menghapuskan kotoran di muka sendiri, jangan dibiarkan terpendam lama-lama, ataupun diperbesar-besarkan dan ditunjukkan pula kepada orang ramai. Nanti kita sendiri yang semakin sakit hati.

Maafkan saja dan terus melangkah ke depan. Dengan izin Allah, hisab kita di akhirat nanti akan jadi lebih mudah dan kita lebih cepat menuju ke Syurga-Nya, kerana kita tidak dicari oleh sesiapa yang mahu memohon kemaafan dan keampunan dari kita. Biarlah Allah saja yang membuat perhitungan dengan pendosa.

Mohon kepada Allah SWT agar kita diberi hati yang lapang dan fikiran yang jernih. 

Antara doa dalam Al Quran yang boleh dipohon, "Ya Tuhanku, lapangkanlah dadaku, dan mudahkanlah urusanku; dan lepaskanlah kekakuan dari lidahku; agar mereka mengerti perkataanku." (Surah Thaahaa ayat 25-28).

Semoga bermanfaat.

No comments:

Post a Comment