Monday, July 31, 2017

Siri Menjawab Kristian (1)




[Jesus Ialah Tuhan Kerana Namanya Disebut Lebih Banyak Kali Berbanding Nabi Muhammad Dalam Al-Quran ?] 

Strategi misionari Kristian kian licik dalam menyesatkan umat Islam. Kini mereka juga telah menggunakan al-Quran ketika berdakyah kepada umat Islam. 

Mereka mendakwa bahawa di dalam al Quran itu sebenarnya jelas mengangkat Jesus (nabi Isa) berbanding Muhammad. Ini kerana di dalam al Quran, nama Jesus disebut sebanyak 25 kali berbanding dengan nama nabi Muhammad yang hanya disebut 5 kali sahaja.[1] Lalu mereka mendakwa bahawa Jesus yang disebut 25 kali itu lebih berpengaruh dan lebih baik dari nama Muhammad hanya disebut sebanyak 5 kali sahaja. Dan itu menunjukkan bahawa Jesus itu Tuhan.

Jawapan:

1) Logik yang paling sukar difahami (kerana tidak masuk akal) adalah apabila misionari Kristian menggunakan al Quran untuk membuktikan bahawa Jesus itu adalah Tuhan dengan membawa kaedah bilangan nama disebut menjadi ukuran untuk membuktikan dia adalah Tuhan. Sedangkan di dalam al Quran itu sendiri tidak terlepas dari ayat-ayat yang memperkenalkan Tuhan itu adalah Allah yang Maha Esa.  

2) Sekiranya mahu diukur dari sudut jumlah nama disebut, di dalam al Quran jumlah nama syaitan lagi banyak disebut iaitu sebanyak 88 kali berbanding dengan jumlah nama Jesus hanya 25 kali. Jika disebabkan bilangan angka yang banyak itu dianggap Tuhan maka adakah misionari ini juga akan menganggap syaitan adalah Tuhan? 

3) Jika diukur dari sudut jumlah nama disebut, harus juga dikira nama tokoh lain seperti nabi Musa yang disebut di dalam al Quran sebanyak 136 kali. Lebih banyak disebut dari nama Jesus. Adakah dengan alasan ini golongan misionari Kristian ini bersedia menganggap Musa itu juga Tuhan?

4) Nama nabi Adam juga disebut sebanyak 25 kali di dalam al Quran. Setiap kali Allah menyebut nama nabi Isa (Jesus) maka Allah akan susuli dengan nama nabi Adam dengan membandingkan kejadian diantara dua orang nabi Allah itu. Adam yang tidak memiliki ibu dan bapa sering digandingkan dengan nabi Isa yang tidak berbapa. 

5) Adakah kayu ukur bagi menilai ‘berperanan’ atau berpengaruh atau bagusnya seseorang itu dikira dari jumlah panggilan namanya yang kerap kali disebut? Jika dianalogi situasi di dalam sebuah kelas, diantara pelajar nakal dengan pelajar yang bagus, siapakah nama pelajar yang kerap kali dipanggil oleh guru-guru mereka? Sudah tentu pelajar yang nakal. Maka adakah itu boleh menjadi kayu ukur kepada bagusnya dia kerana namanya kerap kali disebut oleh guru-guru mereka? Sudah tentu tidak. Oleh itu kaedah yang digunakan oleh golongan misionari dalam hal ini adalah tidak masuk akal.    

6) Perkara yang penting adalah dilihat kepada kenapa namanya disebut di dalam al Quran dan bukan dilihat kepada jumlah bilangannya namanya disebut. Di dalam al Quran nama Jesus menyatakan dia hanyalah seorang utusan Allah dan bukan Tuhan: 

“Dia ('Isa) berkata, "Sesungguhnya aku hamba Allah, Dia memberiku Kitab (Injil) dan Dia menjadikan aku seorang nabi.. (Surah Maryam: 30) 

7) Perlu diketahui bahawa terdapat perkataan “Qul” di dalam al Quran yang bermaksud “Katakanlah” sebanyak tidak kurang daripada 332 kali di dalam Quran. Perkataan “katakanlah” atau Qul itu ditujukan kepada Nabi Muhammad dan juga kepada umatnya.  

Kesimpulan

Jumlah dan bilangan itu bukanlah kayu ukur bagi menentukan seseorang itu layak ‘menjadi tuhan’ sepertimana dakwaan misionari Kristian. Perkara yang penting adalah perlu dilihat kepada mengapa namanya disebut. Sepertimana Jesus menegaskan bahawa dia adalah seorang utusan Allah seperti rasul-rasul lain. Dia juga menafikan dirinya itu adalah Tuhan seperti dakwaan Kristian terhadap dirinya.

Oleh itu, tuduhan yang selemah ini kadang kala menjadi modal yang besar untuk mereka berusaha meragukan umat Islam. Akan tetapi ternyata kenyataan itu pada hakikatnya tidak masuk akal. 

Nota kaki:
________________________________________
[1] Nama Nabi Muhammad dan Ahmad di dalam Quran (Surah Ali-Imran ayat 144, Surah Al-Ahzab ayat 40, Surah Muhammad ayat 2, Surah Al-Fath Ayat 29, Surah As-Saf ayat 6)
Jesus di dalam Quran ( Surah Al-Baqarah Ayat 87, 136, 253, Surah Ali-Imran Ayat 45, 52, 55, 59, 84, Surah An-Nisa Ayat 157, 171, Surah Al-Maidah Ayat 46, 78, 110, 112, 114, 116, Surah Al-An’Am Ayat 85, Surah Maryam Ayat 34, Surah Al-Ahzab Ayat 7, Surah Ash-Shuraa Ayat 13, Surah Az-Zukhruf Ayat 63, Surah Al-Hadid Ayat 27, Surah As-Saf, Ayat 6, 14)

[R&D TEAM MRM]

No comments:

Post a Comment