Saturday, August 6, 2011
Petua Orang Tua-Tua
Penjagaan Selepas Bersalin
Sebaik sahaja lepas bersalin, segera bertangas, mandi air rebusan serai wangi, daun pandan dan daun jarak. Juga amalkan berurut, bertungku, berbengkung (sebelum itu sapu perut dengan air rempah, bukan air asam jawa atau perahan limau nipis – nanti gatal dan luka kulit perut bila digaru). Amalkan makan ubat periuk, jamu, makjun.
Tengah hari makan nasi setengah cawan dengan lempoyang bersama ikan bilis tumbuk dan lada hitam. Bila tiba jam 6 petang pakai stoking kaki dan sumbat lubang telinga dengan jintan hitam agar tidak masuk angin.
Tiga hari dalam masa pantang, makan ibu kunyit yang ditumbuk lumat dibancuh dengan air pegaga dan ibu gula. Biar ia mendap dahulu sebelum diminum. Ia bagus untuk mengecutkan rahim. Tetapi selepas pantang jangan diamalkan selalu, nanti mudarat. Hanya minum dalam tempoh empat atau lima bulan sekali.
Untuk membuang angin, amalkan minum air rebusan halia bersama pandan dan gula Melaka.
Khasiat Makanan Segar
Banyakkan memakan buah-buahan, ulam-ulaman terutama pucuk betik, pegaga dan kacang botor dan juga air kosong yang berupaya membersihkan sistem dalaman badan, menguatkan otot rahim dan melancarkan peredaran darah.
Selain minum air untuk mengawal cecair dalam tubuh, boleh juga minum jus buahan (seperti mangga, epal, betik, tembikai, belimbing, oren, lobak merah, jambu batu dsb.) atau menghirup sup sayur campuran. Makan ikut masa dan jangan biasakan ‘mengunyah’ di antara waktu makan.
Mengatasi Rambut Gugur
Biasanya rambut gugur 40 hingga 70 helai sehari. Pun begitu rambut lebih banyak gugur apabila umur meningkat. Rambut juga banyak gugur ketika hamil dan selepas bersalin akibat perubahan hormon dalam badan. Tetapi enam bulan kemudian rambut akan tumbuh semula.
Untuk menguatkan akar rambut, sapu rambut dengan lendir daun lidah buaya sehingga basah dan sebati. Biarkan 20 minit sebelum dibilas bersih. Lakukan tiga kali seminggu.
Cara mensyampu dan menyikat yang betul boleh menyelamatkan rambut gugur sebelum waktunya. Cara betul mensyampu (orang zaman dahulu menggunakan syampu buatan sendiri) ialah dengan mengurut, bukan meramas sebab rambut boleh kusut dan kutikelnya rosak.
Penggunaan perapi (seperti larutan cuka epal dsb) selepas bersyampu membantu melembap dan melembutkan rambut. Jangan sikat rambut selepas dibasuh kerana ketika itu ia amat lemah. Sebaliknya guna tuala untuk menyerap air tanpa menggosok-gosokkannya
.
Menyikat pula harus bermula dari hujung rambut, bukan dari kulit kepala. Sebaik mungkin jangan ikat rambut hingga tegang dan tertarik. Ini akan menyebabkan rambut putus.
Atasi Masalah Kelemumur dan Kulit Kepala Gatal
Ambil satu cawan santan (cukup untuk seluruh rambut) dan sapukan ke kulit kepala. Urut perlahan-lahan selama 10 minit. Tutup kepala dengan tuala bersih yang telah direndam dengan air suam. Biarkan 1 hingga 2 jam. Kemudian bilas dengan air. Ambil limau purut 1 hingga 2 biji, dibelah dan digosok pada seluruh kepala. Bilas dengan air suam hingga bersih. Jangan syampu. Keesokan hari baru disyampu. Lakukan dua kali seminggu. InsyaAllah hasilnya ialah rambut yang sihat, lembut, mudah diurus dan berseri.
Mengatasi masalah kulit berjerawat
Lumurkan muka dengan campuran bedak sejuk dan air gamat. Baunya kurang menyenangkan namun berkesan.
Rajin Beriadah
Orang zaman dahulu bekerja dengan tulang empat kerat. Itu sudah cukup riadah bagi mereka. Orang sekarang yang banyak menghabiskan masa di pejabat berhawa dingin elok juga beriadah dengan berjalan kaki, menaiki tangga (kurangkan penggunaan lif) atau membuat senaman ringan ketika menonton TV.
Segarkan Mata Dengan Hirisan Timun
Selepas menyiapkan kerja rumah, rehatkan diri dengan berbaring dan meletakkan hirisan timun di atas mata. Ini dapat menyejuk dan menyegarkan mata.
Ikan Keli Tidak Berlendir, Hanyir
Siang ikan keli. Ambil daun jambu batu secukupnya dan gosok pada seluruh badan ikan hingga rata. Bilas dengan air. InsyaAllah hasilnya memuaskan.
Prun Jadi Pelawas
Bayi yang tidak buang air besar beberapa hari tentu merunsingkan ibu bapa. Caranya: Ambil setengah biji prun yang dibuang biji dan rebus hingga mendidih di dalam tiga perempat cawan air. Sambil merebus, prun ditekan-tekan supaya patinya keluar, iaitu sehingga airnya bertukar warna gelap. Sejukkan dan berilah kepada bayi (terutama yang belum berusia setahun) sebanyak 40/60 ml. InsyaAllah hasilnya akan ketara.
Mengisar Cili
Cili kering direndam di dalam air panas buat seketika. Bersihkan cili dan masukkan ke dalam pengisar bersama bawang putih, 3 biji bawang merah yang dimayang, sedikit belacan dan 2 hingga 3 titik minyak masak. Hasilnya, biji cili akan hancur dan cili berbau harum.
Penawar Batuk
Rendam nasi dan bunga belimbing besi di dalam secawan air suam. Biarkan semalaman. Keesokan hari bolehlah diminum air rendaman ini. InsyaAllah, batuk akan menjadi lega.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment