serenemaklong.blogspot.com
Perjanjian Jual-Beli (Sales And Purchase Agreement atau SAP) merupakan dokumen penting dalam projek peru mahan, membabitkan dua pihak iaitu pemaju dan pembeli. Perjanjian ini merangkumi cara dan peringkat bila mana pembeli perlu membayar kepada pemaju untuk rumah yang dibina
Disebabkan perjanjian ditulis dalam bahasa Inggeris, pembeli selalunya tidak begitu jelas mengenai beberapa peranan, hak atau tindakan yang perlu diambil jika timbul sesuatu masalah.
Pembeli seharusnya membaca dan memahami setiap ayat serta klausa yang terkandung dalam perjanjian jual-beli serta mendapatkan penerangan lebih jelas daripada peguam terbabit atau sesiapa yang memahaminya. Ini kerana setiap ayat atau perkataan di dalam SAP menjadi kontrak di antara pembeli dengan pemaju.
Berikut beberapa klausa yang perlu diambil perhatian oleh pembeli demi kepentingan mereka:
Klausa 11 – Menerangkan batasan/syarat terhadap pemaju dalam mengubah pelan daripada pelan asal SAP. Di sini arkitek bertindak sebagai hakim yang akan menentukan sama ada perubahan adalah penting atau perlu mematuhi syarat majlis berkuasa tempatan. Pemaju tidak boleh mengubah suai pelan kecuali dikehendaki majlis berkuasa tempatan.
Klausa 12 – Mengenai mutu pembuatan dan ciri rumah atau bangunan. Tiada sebarang perubahan dibenarkan dibuat sebaik sahaja SAP dimeterai kecuali atas kehendak majlis berkuasa tempatan. Apabila arkitek merasakan perubahan perlu atas sebab struktur, pembeli mesti diberitahu untuk mendapatkan kebenaran (consent). Kos terbabit mesti ditanggung oleh pemaju, sama ada itu kos bertambah atau berkurangan. Arkitek bertangungjawsab mengesahkan perubahan tersebut.
Klausa 13 – Menegah pembeli daripada membuat perubahan kepada bangunan sebelum mendapat sijil menduduki bangunan (CF). Pemaju dinasihatkan tidak membenarkan pembeli membuat perubahan tanpa kebenaran, terutama dalam waktu membaiki kecacatan oleh kontraktor utama. Ini bagi mengelak sebarang kerumitan yang mungkin wujud. Jika perubahan dibenarkan, arkitek perlu diberitahu oleh pemaju supaya nasihat profesional dapat diberi kerana arkitek lebih arif mengenai pelan bangunan berkenaan.
Klausa 20 & 21 – Mengenai penyerahan (delivery) rumah yag sudah siap kepada pembeli. Pemaju terikat kepada 24 bulan jangka waktu tetap (deadline) untuk menyerahkan kepada pembeli iaitu dari tarikh perjanjian SAP ditandatangani. Pembeli layak mendapat ganti rugi jika pemaju tidak dapat menyerahkan bangunan dalam waktu yang dimeterai dalam perjanjian tanpa alasan sah atau kukuh.
Dalam proses penyerahan rumah, pembeli perlu bersikap teliti dan sabar. Pembeli harus memeriksa rumah, teurtama dari segi pelan dan spesifikasi. Periksa jika ada keretakan, kebocoran atau kecacatan yang ketara. Jika boleh biar semua kecacatan yang nyata itu dibaiki pemaju sebelum memasuki rumah berkenaan. Paparan ini hanya peringatan untuk kita lebih prihatin terhadap sebarang perjanjian atau dokumen yang dimeterai supaya hak pembeli terpelihara dan melindungi kita daripada melakukan sesuatu tindakan yang menyalahi perjanjian dan mengakibatkan kerugian.
(Hasil tulisan oleh Arkitek Rosyatimah Abdul Rahman)
No comments:
Post a Comment