serenemaklong.blogspot.com
Konosuke Matsushita dilahirkan pada 27 November 1894 dalam sebuah keluarga pemilik tanah yang dihormati di Wasamura, sebuah desa pertanian yang kini menjadi sebahagian daripada Kotaraya Wa kayama .
Pada usia 9 tahun, Matsushita menjadi aprentis di sebuah kedai hibachi (perapian arang kayu) untuk membantu menyara keluarga. Dia bekerja sejak subuh, membersihkan peralatan perapi dan menjaga anak-anak majikannya. Namun tidak sampai setahun ketibaan Matsushita di Osaka, kedai itu menutup operasinya, menyebabkan Matsushita menjadi aprentis pula di sebuah kedai basikal. Ketika itu basikal sangat mahal kerana diimport dari Britain.
Di kedai itu dia terlibat dalam kerja-kerja logam di mana ia belajar mengggunakan berbagai jenis peralatan. Dia sungguh gembira bekerja di situ kerana dia dianggap sebagai ahli keluarga majikannya.
Menjelang waktu tersebut kereta-kereta mula membanjiri lebuhraya Osaka. Naluri Matsushita merasa bahawa tenaga elektrik akan memainkan peranan penting dalam masa terdekat. Ingin sekali terlibat dalam bidang baru ini, Matsushita yang kini sudah berusia 15 tahun, meninggalkan kedai basikal dan bekerja di Osaka Electric Light Company.
Menjelang 1917, Matsushita menubuhkan syarikat pengilangannya sendiri. Berbekalkan peralatan dan bekalan asas, Matsushita dan sekumpulan kecil pekerja berusaha keras mempromosi soket elektrik yang telah diperbaharuinya. Syarikat itu hampir kerugian namun terselamat selepas menerima tempahan 1,000 plet penebat untuk kipas angin, suatu tempahan yang tidak dijangka. Apabila perniagaan semakin maju, Matsushita melancarkan Matsushita Electric Housewares Manufacturing Works yang pada zaman sekarang ditukar nama menjadi Panasonic.
Di syarikat baru ini, Matsushita memperluaskan pengilangannya termasuk pasangan palam dan soket dua hala berinovasi yang direkanya sendiri. Kedua-dua produk ini terbukti sangat popular. Menjelang 1922, Matsushita membina kilang dan pejabat yang baru untuk menempatkan perniagaan yang semakin berkembang.
Tahun berikutnya, Matsushita melihat potensi pasaran untuk lampu basikal berkuasa bateri yang lebih tahan lama berbanding jangka masa tiga jam lampu basikal pada ketika itu. Dia menghabiskan masa enam bulan mereka lampu basikal berbentuk peluru yang boleh beroperasi sehingga 40 jam tanpa memerlukan bateri pengganti. Untuk meyakinkan para peniaga dan mengelakkan pembabitan pemborong, Matsushita menghantar sampel lampunya terus kepada peniaga dan mencabar mereka menguji prestasi lampu itu sendiri.
Keberanian Matsushita itu berjaya menghasilkan tempahan yang sungguh besar. Selepas itu, dia mereka pula lampu basikal berkuasa bateri berbentuk empat persegi yang turut menerima sambutan menggalakkan.
Sambil mereka lampu basikal, Matsushita memikir nama yang hendak diberikan kepada rekaan barunya itu. Dalam sebuah akhbar dia melihat perkataan “international.” Akhirnya pada 1927, jenama National dipilih selepas dia meneliti sebuah kamus yang menyebut bahawa perkataan itu bererti “mengenai atau berkaitan rakyat sesebuah negara.” Sememang pun Matsushita sangat ingin berkhidmat untuk rakyat.
Pada ketika produk elektrik dianggap barangan mewah, dia mahu produknya sampai kepada semua peringkat rakyat, bukan setakat orang-orang kaya sahaja. Sebagai contoh, Seterika Super National sangat popular pada harga 3.2 yen, berbanding 5 yen harga seterika syarikat pesaing.
Bagi memantau perkembangan syarikatnya, Objektif Pengurusan Asas dan Kepercayaan Syarikat dirangka pada 1929. Menganggap perniagaan itu sebagai amanah rakyat yang dipikulkan ke bahunya, dia merasa bertanggungjawab untuk mengurus dan mengembangkan syarikat dalam cara yang cemerlang di samping menyumbang kepada pertumbuhan masyarakat dan penambahbaikan hidup rakyat.
Menyedari bahawa radio sangat popular ketika Zaman Meleset, dia mereka radio yang murah dan boleh diharapkan, tidak seperti radio yang wujud sebelum radio tiga-tiubnya dicipta. Model radio itu akhirnya memenangi hadiah pertama dalam pertandingan yang ditaja oleh Stesen Penyiaran Awam Tokyo.
Pada 1932, Matsushita membuat satu pengumuman yang bakal membimbing syarikatnya untuk dekad akan datang. Katanya, misi pengeluar ialah menangani kemiskinan dengan menghasilkan banyak bekalan barangan. Sebagai contoh, air boleh dianggap produk yang boleh dijual, namun tiada siapa akan menghalang seseorang minum air daripada pili di tepi jalan. Ini adalah kerana bekalan air banyak dan harganya rendah. Misi syarikatnya ialah mewujud dan menyediakan bekalan seberapa banyak barangan, pada harga semurah harga air pili, sebagai satu cara membasmi kemiskinan, membawa keceriaan ke dalam kehidupan insan, dan menjadikan dunia ini tempat yang lebih baik. Bagi Matsushita “perniagaan ialah insan”.
Pada tahun itu juga, jabatan perdagangan yang dikhususkan untuk penyelidikan dan pembangunan bagi syarikat tersebut masuk ke bidang jualan antarabangsa telah diwujudkan.
Dengan barisan pengeluaran menghasilkan lebih 200 produk, terdapat keperluan untuk pembesaran. Oleh itu pada 1933, syarikat berpindah ke kilang dan ibu pejabat baru di Kadoma, timur-laut Osaka.
Bergerak selangkah ke hadapan, Matsushita membuka Institut Latihan Pekerja di kilang Kadoma pada 1934, menawarkan kursus tiga tahun yang menggabungkan pendidikan kejuruteraan dan perniagaan.
Bila perang meletus di antara Jepun dan China pada 1937, Matsushita bimbang ekonomi negaranya akan menjurus kepada ketenteraan dan ini akan memberi kesan ke atas prinsip syarikatnya. Lantas pada Januari 1940, dia menyeru seluruh tenaga kerja di kilangnya mengekalkan kualiti produk yang terjejas disebabkan kekurangan bekalan akibat peperangan.
Tidak dapat melepaskan diri daripada peperangan, Syarikat Panasonic dipaksa menerima kontrak ketenteraan yang menyebabkan tertubuhnya Syarikat Pembinaan Kapal Matsushita dan Syarikat Pesawat Matsushita pada 1943.
Bila perang berakhir, Panasonic kehilangan 32 kilang dan pejabat, sebahagian besarnya di Tokyo dan Osaka. Mujur ibu pejabat dan kilang utama terselamat daripada kesan peperangan dan dengan itu Panasonic bangkit semula.
Matsushita memperingatkan pekerjanya supaya menghormati warisan kebudayaan mereka ketika syarikat itu memperluaskan operasinya keluar negara pada 1951.
Lawatan ke Amerika Syarikat telah menyedarkan Matsushita betapa syarikatnya memerlukan pengetahuan lebih mendalam mengenai elektronik dan pendekatan khusus dalam pembangunan produk. Untuk mencapai tujuan ini, dia menjalin usaha sama dengan rakan kongsi perniagaan di luar negara. Pada 1952, Panasonic dan Philips dari Netherlands telah menubuhkan Matsushita Electronic Corporation.
Pada Jun tahun yang sama, Matsushita dianugerahi Commander in the Order of Orange-Nasaau oleh Ratu Netherlands di Kedutaan Belanda di Tokyo. Anugerah itu merupakan yang tertinggi diberikan kepada rakyat asing kerana “sumbangan istimewa dan memberikan perkhidmatan demi kerjasama ekonomi dan menggalakkan persahabatan”.
Anugerah lain yang diterimanya kerana menggalakkan persahabatan dengan negara-negara luar termasuk the Medalie De Honra Ao Merito Cultural Award dari Brazil pada Apri, 1968, the Commandeur de L’Ordre de la Couronne Award dari Raja Belgium pada Oktober 1972, dan Panglima Mangku Negara dan gelaran Tan Sri daripada Yang Di-Pertuan Agong Malaysia pada Februari 1979.
Matsushita membuka pejabat jualan seberang laut yang pertama di New York pada 1959 dan pada 1961 di mesyuarat polisi pengurusan tahunan, dia mengumumkan persaraannya namun masih memegang jawatan pengerusi.
Bukan jenis orang yang berdiam diri, Matsushita bercakap dengan Perdana Menteri Jepun Hayato Ikeda di NHK, Stesen TV Awam, menyatakan sokongannya ke atas pendidikan rohani dan cara pembangunan sumber manusia yang lain, demi masa hadapan negara. Komennya mendapat sambutan hangat daripada orang ramai.
Kerana dia diiktiraf sebagai salah seorang usahawan terhebat di dunia, dia sendiri membawa orang-orang kenamaan asing, termasuk Peguam Negara Amerika Robert Kennedy, Perdana Menteri India Indira Ghandi dan Pemimpin Yugoslavia Presiden Tito melawat di sekitar kilang Panasonic.
Matsushita menjadi tajuk berita utama di Amerika Syarikat setelah kisahnya tersiar di majalah Time pada 1962 dan Life pada 1964. Bila media melabelkannya sebagai “pakar industri terkemuka”, “ahli falsafah”, “mesin wang terbesar”, “penerbit majalah” dan “pengarang paling laris”, nama Matsushita Electric melonjak sebagai syarikat elektronik terkenal di persada antarabangsa.
Pada Julai 1973, Matsushita melepaskan semua jawatannya. Dia menumpukan perhatiannya di bidang penulisan. Bukunya yang popular ialah Thoughts on Man, mengenai perubahan perwatakan kemanusiaan, dan Japan at the Brink berkaitan pendidikan lebih baik dan polisi ekonomi yang mengeluarkan Jepun daripada zaman kelembapan ekoran krisis minyak 1973.
Dia membelanjakan 7 bilion Yen dari dana peribadinya dan menubuhkan Institut Kerajaan dan Pengurusan Matsushita pada April 1980. Tujuannya menubuhkan insttitut tersebut ialah untuk mencari idea asas yang boleh menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan Jepun di abad 21, juga menyediakan pemimpin-pemimpin berkaliber bagi merealisasikan idea itu.
Pada 1985, Matsushita mempersembahkan Hadiah Jepun, suatu anugerah yang diilhamkannya sendiri sebagai kehormatan kepada kemajuan di bidang sains dan teknologi, dan sumbangan kepada keamanan dan kemakmuran.
Bapa Panasonic itu meninggal dunia pada 27 April 1989 ketika berusia 94 tahun. Matsushita meninggalkan legasi terulungnya, sebuah gergasi elektronik yang wujud dan memberikan cahaya, kehidupan dan keceriaan dalam setiap rumah di negara ini dan di banyak negara lain di seluruh dunia.
(Maklumat dari Panasonic.net)
No comments:
Post a Comment