Thursday, August 11, 2011

Hak Pembeli Rumah


serenemaklong.blogspot.com

Kepentingan anda sebagai pembeli perlu dijaga selepas melalui proses memilih rumah, memperolehi pinjaman, menandatangani Surat Perjanjian Jual-Beli (SPJB) dan rumah yang dibina sedia untuk diserahkan kepada anda.

Proses mengambil alih harta
  • Perkhidmatan asas seperti bekalan air, elektrik danas mesti disambungkan.
  • Kunci mesti diserahkan.
  • Pemeriksaan bersama terhadap harta mesti dibuat oleh anda sebagai pembeli dan pemaju sebagai penjual. Gunanya ialah untuk memastikan apa yang diterima sama dengan apa yang dijanjikan pemaju, contoh, ukuran rumah, reka bentuk dan ciri, selain membolehkan anda mengesan sebarang kerosakan ketara yang mesti diberitahu kepada penjual. Sediakan laporan bertulis mengenai kerosakan atau peralatan yang hilang kepada penjual.
  • Pastikan rumah mempunyai perakuan kelayakan menduduki (CF) yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.
Tempoh tanggungan cacat
Perkara ini termaktub dalam Surat Perjanjian Jual-Beli menerusi Akta Pemaju Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966.

Jika berlaku kerosakan di mana-mana bahagian dalam dan luar rumah, pembeli berhak memberi notis bertulis kepada pemaju. Simpan semua salinan notis dan catatkan tarikhnya. Dengan ini anda akan mempunyai rekod bertulis jika pertikaian berlaku kemudian hari.

Tempoh tanggungan cacat bermula dari tarikh penyerahan kunci dan berkuat kuasa selama 12 tahun. Semua kerosakan mesti diperbaiki pemaju dalam tempoh sebulan dari tarikh pemberitahuan bertulis. Jika pemaju tidak mengambil sebarang tindakan, anda perlu memberitahunya bahawa anda akan membaiki sendiri kerosakan dan mencatat kos pembaikan. Pemaju mempunyai 14 hari untuk bertindak. Jika tidak, anda boleh membaiki sendiri dan meminta pemaju membayar kos pembaikan semula kepada anda.  

Hak milik pegangan bebas
Selagi anda memiliki hak milik pegangan bebas, anda berhak untuk pecah bahagian atau menyatukan tanah anda dengan tanah lain. Anda juga berhak membuat pindah milik, pajakan, mengenakan caj, penyerahan hak kepada pihak lain dan sebarang urus niaga lain yang dibenarkan di bawah Kanun Tanah Negara.

Sebaliknya jika anda memiliki satu bahagian daripada hak milik pegangan pajakan, maka hak anda terhad mengikut tempoh pajakan menghuni 30, 60 atau 99 tahun. Kepentinggan anda berkurangan mengikut masa dan pada tempoh akhir pajakan, harta akan kembali kepada Kerajaan Negeri secara automatik.

Pihak Berkuasa Tempatan
Jika anda perlu membuat pengubahsuaian atau penambahan terhadap rumah, anda dinasihatkan berbincang dengan Pihak Berkuasa Tempatan dahulu, jangan hanya bergantung kepada pendapat kontraktor bebas kerana mereka cenderung untuk tidak mengendahkan peraturan pihak berkuasa. Jika kerja ubah suai atau penambahan diserahkan kepada arkitek atau kontraktor bertauliah, mereka biasanya merujuk kepada pihak berkuasa. Pihak berkuasa seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Majlis Perbandaran Subang Jaya ada mengeluarkan buku panduan mengenai hak mereka kepada pemilik harta.

Cukai pintu
Apabila anda meiliki hartanah, anda akan menerima notis cukai pintu atau dikenali sebagai caj taksiran yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan di bawah peruntukan Cukai Pintu Akta Kerajaan Tempatan 1976. Notis ini biasanya dihantar dua kali setahun atau sebelum bulan Januari dan Julai. Ia menyatakan nilai tahunan harta anda, cukai pintu yang dikenakan dan jumlah yang perlu dibayar untuk setengah tahun kepada pihak berkuasa tempatan.

Bayaran hendaklah dibuat dalam tempoh sebulan dari tarikh cukup tempoh. Jika tidak, anda terpaksa membayar jumlah yang dituntut termasuk yuran tambahan yang akan ditentukan oleh Pihak Berkuasa Tempatan. Tuntutan ini dibuat dalam notis lain yang jika tidak dibayar dalam tempoh 14 hari, maka semua barang mudah alih seperti perabot dan perkakas elektrik akan disita. Jika jumlah yang perlu dibayar tidak cukup diperolehi daripada jualan, pihak bekuasa boleh menyita hartanah anda. Oleh itu, pastikan anda menyimpan semua resit cukai pintu yang sudah dibayar.

Cukai tahunan
Cukai tahunan dikenakan kepada semua pemilik dan ia perlu dibayar setiap tahun, biasanya pada awal tahun. Jika cukai ini tidak dibayar, pentadbir tanah boleh memberi notis tuntutan. Selagi ia tidak dibayar, anda tidak dibenarkan memindah milik harta. Penyitaan akan dibuat jika kos tunggak terlalu banyak.

Cukai Pendapatan
Ia tidak dibayar ke atas rumah, tetapi jika anda memiliki lebih daripada sebuah rumah, cukai pendapatan dikira untuk setiap rumah itu.

Penyewaan
Mengikut Kanun Tanah Negara 1965, anda boleh menyewakan rumah untuk tempoh tidak melebihi tiga tahun. Penyewaan seperti ini dan penyewaan kecil tidak perlu didaftarkan di Pejabat Tanah. Berikut ciri-ciri penyewaan:
  • Sewa yang dibayar mesti pada kadar sewa semasa.
  • Tempoh sama ada satu, dua atau tiga tahun.
  • Pilihan untuk menyewa semula. Adakah anda mahu penyewa menyewa sehingga tamat tempoh? Jika ya, anda boleh menawar sewa baru yang ditentukan di awal penyewaan seperti 10 peratus kenaikan dari nilai sewa semasa.
  • Tamat tempoh – bagaimana jika anda mendiami rumah itu sebelum tamat tempoh penyewaan? Bagaimana jika penyewa tidak mahu lagi menyewa sebelum tamat tempoh? Adakah anda sedia menerima satu bulan notis atau menerima tiga bulan notis daripada penyewa?
  • Perkhidmatan – siapa bertanggungjawab membayar air, elektrik, telefon, gas dan sebagainya?
  • Cukai – siapa yang akan membayar cukai pintu dan cukai tahunan?
Buat perjanjian penyewaan secara bertulis yang sah dari segi undang-undang supaya kepentingan anda dilindungi secukupnya. Jika anda menyewakan rumah bersekali perabot, sediakan senarai perabot dalam perjanjian penyewaan.
(Sumber: Anjung Seri)

No comments:

Post a Comment