Sunday, May 6, 2018

Rezeki Datang Dari Orang Lain



Dalam Sunan At-Tirmidzi dikisahkan:

“Ada dua orang bersaudara di zaman Rasulullah s.a.w. Yang seorang datang kepada Nabi s.a.w. (untuk belajar agama), sedangkan yang seorang lagi bekerja (menanggung nafkah saudaranya yang belajar itu). 

Maka yang bekerja itu datang mengeluh kepada Nabi s.a.w. tentang saudaranya.

Nabi pun bersabda, “Boleh jadi kamu diberi rezeki kerana dia (yang menuntut ilmu agama itu).” H.R. At-Tirmidzi no. 2345.






Rezeki datang dari Allah. Dan, rezeki setiap manusia mungkin diturunkan-Nya disebabkan oleh manusia lain.

Anak-anak dapat belajar kerana ditanggung oleh ibu bapa, adik beradik, atau saudara-mara. Maka jadikanlah ini sebagai pendorong untuk terus membantu dan menginsafi bahawa mungkin rezeki yang diturunkan ke atas diri masing-masing adalah kerana bantuan yang dihulurkan.

Begitu juga dalam situasi lain. Majikan tidak boleh menyombong dan menyangka dialah yang memberi kerja dan pendapatan kepada pekerja. Sebenarnya, majikanlah yang menumpang rezeki pekerja. Allah beri rezeki kepada pekerja menerusi usahaniaga majikan.

Maka berkongsilah dengan pekerja, bayar upah dan gaji mengikut perjanjian dan berilah bonus sebagai tambahan berkongsi rezeki dari Allah itu.

Pegawai tinggi lebih-lebih lagi tidak boleh sombong. Mungkin jawatan yang disandang kerana rezeki pekerja bawahannya, bukan kerana kepandaian dan ijazah yang dimiliki.





Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Bukankah kamu ditolong dan diberi rezeki kerana (berbuat ehsan) kepada kaum dhu’afa (orang-orang lemah) di antara kamu.”(H.R. Bukhari).

Rezeki doktor mungkin datang dari pesakit, dan rezeki guru atau ustaz pula datang dari pelajar. Tidak harus bersikap berlebihan. Pesakit memerlukan rawatan doktor untuk sembuh, dan pelajar belajar kerana memerlukan ilmu. Kerana merekalah maka doktor, guru dan ustaz ada pekerjaan.

Kucing jalanan yang menumpang tidur di koridor rumah, atau burung yang bersarang di bumbung rumah, janganlah dipukul atau dihalau. Sebaliknya berbuat baiklah dan biarkan haiwan-haiwan itu tumpang berteduh. Mungkin Allah beri perlindungan kepada kita kerana mereka.

Allah S.W.T. berfirman:

“Dan apa saja yang kamu nafkahkan, maka Allah akan menggantinya dan Dialah Pemberi rezeki yang sebaik-baiknya.”
(Surah Saba’ ayat 39).

Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Tidak ada satu hari pun, di mana seorang hamba melalui pagi harinya kecuali dua malaikat turun, yang satu berkata, “Ya Allah, berilah ganti kepada orang yang berinfak”, sedangkan malaikat yang satu lagi berkata, “Ya Allah, timpakanlah kerugian kepada orang yang bakhil.” (H.R. Bukhari dan Muslim)

No comments:

Post a Comment