Tuesday, September 19, 2017

Kekesalan Pengikut Al Arqam

Perkongsian seorang bapa, Haji Ahmad Salim yang kesal kerana mengabaikan pendidikan anak-anak kerana taksubnya dengan Al Arqam.



Apabila saya mengenangkan penglibatan saya dalam jemaah Al Arqam, saya tidak boleh lupa beberapa keputusan yang saya buat terhadap pendidikan anak-anak saya yang sehingga hari ini kalau saya terpandang wajah mereka sesekali akan menusuk ke dalam hati saya rasa penyesalan, rasa bersalah kerana menzalimi mereka, menyebabkan musnah hancur lebur cita-cita dan harapan mereka. Saya memohon kepada ALLAH agar mengampunkan dosa-dosa saya. Saya menulis artikel ini dengan harapan semoga ALLAH mengikis dari diri saya sebarang unsur kezaliman dan taksub.

Semenjak tahun 1986 hingga 1996 seramai 6 orang anak-anak saya dihantar ke sekolah Arqam tanpa memikir panjang masa depan mereka, walaupun saya tahu sekolah Arqam dalam keadaan serba daif. Saya yakin dengan perjuangan Arqam untuk menegakkan Islam di tengah masyarakat. Saya nampak hanya yang baik sahaja.

Dua orang anak lelaki saya yang sulung dan yang kedua saya berhentikan daripada sekolah kebangsaan dan memasukkan mereka ke sekolah Arqam di kampung Sempadan.. Empat orang anak perempuan saya dihantar ke sekolah Arqam dari darjah satu lagi semenjak tahun 1988. Pada tahun 1996 semua sekolah Arqam ditutup akibat pengharaman Arqam pada 1994. Tiga orang anak-anak saya yang bersekolah Arqam ketika itu dimasukkan ke sekolah kebangsaan oleh isteri saya yang bertungkus lumus berusaha meyelamatkan anak-anak saya. Pada masa itu saya menjadi orang tahanan I.S.A. di Kemunting. Berkat usaha isteri tanpa pertolongan  daripada sesiapa daripada jemaah Arqam, mereka dapat melanjutkan pelajaran sehingga mereka tamat belajar sampai ke universiti. Seorang daripadanya pula dihantar oleh Arqam belajar di sekolah menengah di Jordan sebelum pengharaman Arqam sehingga tamat ke peringkat universiti. Sehingga sekarang dia masih bersama Arqam. 

Dua orang anak lelaki yang saya berhentikan dan masuk ke sekolah Arqam pada tahun 1986, selang beberapa bulan telah dihantar oleh jemaah Arqam ke Pakistan untuk belajar tahfiz.

Ketika itu buat pertama kali jemaah Arqam menghantar anak-anak mereka belajar tahfiz di Pakistan. Tanpa merujuk kepada anak-anak, dengan perbelanjaan sendiri saya bersetuju menghantar kedua-dua anak saya ke Pakistan. Terasa bangga di hati kerana anak dapat peluang belajar tahfiz diluar negara.

Dalam masa empat tahun anak-anak saya di Pakistan, saya kurang ambil tahu tentang hal mereka. Sibuk dengan perjuangan Arqam sehingga kebajikan anak-anak dilepaskan kepada jemaah semata-mata.

Alangkah kecewanya saya apabila mereka pulang mereka gagal di sekolah tahfiz. Saya diberitahu mereka sering ponteng kelas. Mereka selalu kena pukul  sehingga salah seorang anak saya fobia dengan pengajian. Tidak mahu belajar lagi. Semenjak balik dari Pakistan hubungan saya dengan anak-anak saya semakin teruk. Mereka menyalahkan saya kerana menghantar mereka ke Pakistan. Selepas mereka gagal di Pakistan saya gagal mengambil langkah untuk memulihkan keadaan.  Saya membiarkan sahaja mereka tanpa pelajaran yang sempurna. Saya sibuk berdakwah dalam Arqam dan membiarkan anak saya memusnahkan hidupnya akibat memberontak terhadap tindakan zalim saya. 

Saya berlaku zalim terhadap anak-anak. Saya meyerahkan urusan mereka semuanya kepada isteri. Sikap tidak mesra dengan anak-anak meyebabkan mereka tidak mesra dengan saya. Ini salah saya kerana tertipu dengan nafsu, tertipu dalam perjuangan yang kononnya menolong agama ALLAH tetapi sebenarnya perjuangan kebatilan bertopengkan lslam.

Anak-anakku, maafkanlah ayahmu kerana mengabaikan tugas sebagai seorang ayah, sikap tidak mesra, sikap kurang prihatin ayah terhadap keperluanmu terutama keperluan emosi dan spiritual ketika kamu sangat-sangat memerlukannya.

Saya juga ingin memohon maaf kepada bekas anak-anak buah saya dalam Arqam dahulu yang turut sama menghantar anak-anak mereka ke sekolah Arqam. Saya percaya ada di antara mereka yang turut 'tekorban'. Saya meyusun jari sepuluh memohon maaf di atas ketaksuban saya  dalam perjuangan ini dahulu.

Ya ALLAH ampunkanlah segala dosa2 hambamu ini. Berikanlah daku kekuatan dalam memperbaiki diriku agar mengalir subur kembali kasih sayang di dalam diriku terhadap mereka yang ku zalimi.
Attachments area

No comments:

Post a Comment