Sunday, April 9, 2017

Irfan Khairi Pernah Terima Ucapan Kesat


Ikuti perjalanan awal yang ditempuhi Irfan Khairi sebelum bergelar jutawan:


Sebelum saya menjadi speaker antarabangsa, sebelum saya bergelar jutawan, sebelum saya mengenali perniagaan Internet, dan sebelum anda mengenali saya lagi, saya pernah bekerja sebagai seorang tukang cuci di sebuah pasaraya selama 2 tahun.

Ya, saya juga bermula dari bawah!

Bekerja sebagai cleaner selama dua tahun, mengajar saya pelbagai perkara. Maklumlah, kita sebagai tukang cuci akan dipandang sebagai tukang cuci sahaja- pendatang luar pula tu. Kena marah dan tengking oleh supervisor adalah perkara biasa. Tetapi, terpaksa tahan juga oleh kerana ingin mencari wang untuk menambahkan ilmu. Jauh dalam hati saya tahu, ketika itu hanyalah pengalaman sementara untuk mengumpul wang sebelum mula mengejar cita-cita saya.

Tahun 1998 ketika bekerja sebagai tukang cuci pasaraya “Kwik Save” selama 2 tahun

Ada satu ketika itu, sedang sibuk saya mengemop lantai pasaraya, saya tidak sedar bahagian belakang batang kayu mop saya terlanggar rak minuman berkabonat. Beberapa botol minuman berkabonat jatuh pecah berkecai di lantai dan pastinya tindak balas air ber gas itu menjadikan keadaan lebih teruk lagi.

Akibat bunyi bising itu, supervisor pencuci lari bergegas kepada saya dan apa lagi, pastinya saya dimarahi dan dijerit.

Pelbagai kata-kata kesat pun dilemparkan kepada saya, maklumlah mat salleh tersebut mungkin kurang pendidikan, maka kata-kata lucah pun diberikan.

Memang salah saya oleh kerana lalai, dan saya terima.

Tak lama kemudian, pengurus pasaraya pula datang oleh kerana terdengar kekecohan itu. Cepat-cepat saya minta maaf kepada pengurus pasaraya itu dan apa saya lakukan, saya keluarkan dompet saya dari poket belakang seluar, dan bertanyakan kepada pengurus pasaraya…

“Please tell me how much. I want to pay for the drinks”.

Oleh kerana saya tahu salah saya, tidak sengaja memecahkan beberapa botol minuman karbonat itu, saya pun ingin membayar ganti rugi kepada pengurus pasaraya itu.
Namun, balasan yang saya dapat amat berbeza dengan supervisor tukang cuci yang mengherdik saya. Pengurus pasaraya tersebut dengan bersahaja berkata

“Don’t worry you don’t need to pay. Accident happens. But are you ok?”

Bukan sahaja tidak mahu menerima wang saya, tetapi ditanya pula sama ada saya tidak tercedera kerana itu yang dirisaukan apabila terengar bunyi botol-botol pecah.
Ketika itu, saya dapat lihat betapa bezanya perangai manusia didepan mata saya sendiri. Seorang supervisor pencuci yang menengking dan mengherdik, seorang pula pengurus pasaraya yang mengambil berat dan memahami.

Kita sebagai manusia, perlu memilih cara kita sendiri. Pilihan bukan pada tangan orang lain, pada persekitaran, pada pangkat dan darjat, atau pada kenalan dan keluarga. Tetapi pilihan datang dari diri kita sendiri untuk membentuk diri sama ada hendak jadi seorang yang baik ataupun tidak.

Dua tahun saya bekerja sebagai tukang cuci tetapi itulah dua tahun yang paling banyak mengajar saya tentang erti kesabaran dengan karenah orang, sabar dalam mencari ilmu, sabar dalam berusaha. Untuk berjaya, kita akan bertemu pelbagai karenah manusia. Untuk berjaya, kita perlu mencari ilmu. Dan untuk berjaya juga, pastinya ilmu sahaja tidak cukup sekiranya tidak berusaha.

Dua tahun selepas menjadi tukang cuci, saya telah kumpulkan wang yang cukup untuk mulakan perniagaan di Internet. Dan sejak itu, tidak lagi menoleh belakang!

No comments:

Post a Comment