Monday, March 18, 2013

Subuh Pencipta Yang Indah

serenemaklong.blogspot.com




SUBUH yang  indah kurniaan Allah terbentang di hadapan mata.

Selepas beristirehat sepanjang malam, makhluk ciptaan Allah keluar bertebaran mencari rezeki di bumiNya.

Setiap makhluk telah ditetapkan rezeki, tiada yang terkecuali, namun pada kadar berbeza. Berjaya, gagal, banyak, sedikit, susah, senang, bergantung kepada kudrat hamba Allah itu sendiri.

Yang berjaya dapat rezeki banyak, hidup dalam kemewahan. Kemewahan adalah ujian Allah SWT. Adakah hamba itu menggunakan rezeki yang dikurniakan kepadanya kepada jalan kebaikan, atau kemaksiatan. 

Yang gagal atau dapat rezeki hanya sedikit pun ujian daripada Allah SWT jua. Belajar menggunakan rezeki itu berdikit-dikit, sambil bertekad untuk meningkatkan usaha. Usah rasa iri pada mereka yang mewah kerana hidup ini memang seperti putaran roda. Ada masa di bawah dan pada masa lain pula di atas. Yang penting berani berhadapan dengan cabaran. 

Setiap orang menjalani kehidupan penuh dengan warna-warna alam – hitam (sedih), putih (naif), merah (marah), biru (damai), hijau (cemburu) …

Kemewahan yang diguna untuk berfoya-foya tidak akan membuahkan cinta, kasih, sayang, persahabatan dan kebahagiaan tulen.

Namun jika ia dikongsi dengan hamba Allah yang kurang bernasib baik, perkongsian itu akan dibalasi  senyuman penuh kesyukuran diiringi dengan doa untuk pihak yang memberi.

Memang beruntung mereka yang disayangi oleh orang sekeliling – keluarga, rakan, jiran dan masyarakat.

Subuh yang dilalui pada pagi tadi, tidak akan kembali lagi kerana subuh esok keadaannya berbeza. Masa memang menghambat hamba Allah. Oleh itu jangan disia-siakannya - gunakan untuk membuat kebaikan yang bakal dijadikan bekalan ketika dijemput ke penginapan abadi.

Bersyukur dan tabah dengan setiap perkara yang mendatang kerana di dalamnya tersimpan seribu rahmat dari Maha Pencipta. 

Sunday, March 17, 2013

Wang Untuk Kecemasan


serenemaklong.blogspot.com



LEBIH 10 tahun lalu pendapatan perniagaan Internet saya mencecah RM1,000,000. Untuk memperolehi untung sebegitu bukan mudah, mengambil masa lebih 2 tahun juga. Oleh kerana mengenangkan masa dan tenaga yang telah dilaburkan untuk mencapai keuntungan sebegitu adalah tinggi, amat sukar untuk saya membelanjakan secara boros. Saya hanya menggunakannya untuk membeli  sebuah kereta tempatan kecil dan sebuah pangsapuri kecil secara tunai.

Mengapa yang kecil sahaja dan tidak yang besar? Itulah silapnya ramai usahawan kita. Bila mendapat durian runtuh, terus membeli kereta mewah dan rumah yang indah. Pastinya, membeli secara berhutang dengan bayaran ansuran bank bulanan yang tinggi. Bagi mereka, standard mesti kena jaga supaya orang lihat kita nampak gah!

Tetapi, berkali-kali saya terdengar kisah usahawan  hutang keliling pinggang kerana ingin tampil hebat. Apabila perniagaan gagal, kereta kena tarik, rumah kena lelong. 

Kita mesti melindungi diri dan keluarga terlebih dahulu sekiranya rezeki tidak berpihak pada diri kita. Ditakdirkan perniagaan gagal, sekurang-kurangnya sudah ada kereta dan rumah- walaupun kecil!

Prinsip kewangan yang disebutkan adalah untuk melindungi diri kita daripada apa jua kecemasan yang mungkin berlaku. Dalam hidup, malang tidak berbau. Berbagai-bagai perkara boleh terjadi yang akan mengakibatkan masalah kewangan. Tugas kita yang pertama sekali adalah melindungi diri kita.

Pastikan kita mempunyai simpanan kecemasan yang boleh digunakan sekiranya sesuatu terjadi. Berapa banyak simpanan kecemasan yang diperlukan? Jawapannya adalah, hitung perbelanjaan bulanan  dan gandakan dengan 6. Angka tersebut adalah simpanan kecemasan minimum yang perlu ada. Sekiranya perbelanjaan bulanan adalah RM1,300, maka simpanan kecemasan perlu ada sekurang-kurangnya RM7,800. 

Berapakah jumlah simpanan kecemasan anda kini? Sekiranya tidak mencapai 6 bulan perbelanjaan, anda dalam keadaan yang amat merbahaya!

(Tulisan oleh Irfan Khairi)