Thursday, December 16, 2010

Dingin Selesa Tanpa Pendingin Hawa

Bangun Awal.
Waktu paling dingin dalam sehari ialah di antara jam 4 dan 7 pagi. Bangun lebih awal dan lakukan sebarang kerja yang memerlukan lebih kudrat serta keringat.


Makan sarapan yang sejuk.
Buah-buahan segar, keju, yogurt dan jus buah-buahan memang sesuai. Jika anda terpaksa memasak, guna ketuhar gelombang mikro untuk mengelakkan penambahan haba di dalam rumah. Begitu juga dengan sajian makan tengah hari dan makan malam.


Elakkan kopi.
Hirup air putih sahaja sepanjang hari.


Tutup tingkap.
Tutup tingkap, langsir dan bidai bermula kira-kira jam 9 pagi dan biarkan ia tertutup sehingga jam 6 petang. Jika anda tinggal di rumah dua tingkat, buka sedikit tingkap di tingkat atas pada waktu siang untuk membolehkan udara panas keluar. 


Mandi lewat sedikit.
Selepas bangun tidur pada waktu pagi, tunggu sehingga suhu mula naik di rumah anda.  Mandi dengan air sejuk. Jangan lap badan, biarkan air berada di kulit dan rambut sehingga ia kering sendiri.


Pakai pakaian berwarna lembut.
Jangan pakai jean dan baju ketat. Pakai pakaian yang diperbuat daripada kain  kapas atau linen yang berwarna putih atau lembut.


Matikan alat-alat elektrik.
Televisyen, stereo, komputer rumah dan lampu menghasilkan haba. Bila tidak diguna, matikan semua alat-alat itu. Jangan tonton televisyen pada hari yang panas.


Guna kipas.
Kipas siling dan kipas mudah alih sentiasa berputar untuk menyejukkan kulit anda. Guna penyembur air halus untuk melembapkan kulit dan mendapatkan kesan dingin bila air tersejat.


Keluar dari rumah.
Di antara jam 2 dan 6 petang, keluar dari rumah dan pergi ke tempat-tempat awam yang mempunyai sistem pendingin hawa. Contoh pusat beli-belah, perpustakaan, muzium atau panggung wayang.


Tidur awal.
Jika keadaan selamat daripada sebarang pencerobohan, letakkan kipas di antara tingkap yang terbuka dan katil supaya udara malam yang lebih dingin boleh masuk.

Tuesday, December 14, 2010

TAKNAK Hayat Singkat, Menderita Lama


Hidup insan mesti melalui berbagai peringkat. Ketika sedang hamil, ibu-ibu sangat mengambil berat tentang pemakanan kerana hendak memastikan anak yang bakal lahir sihat dan sempurna.


Setelah dilahirkan sehingga menjelang remaja, anak dibelai penuh kasih sayang dan penjagaan kesihatan terbaik. Pemakanan seimbang, cukup riadah dan bersikap positif diutamakan.


Menjelang usia dewasa individu mula memburu ilmu, bekerja, mengejar pangkat dan kedudukan, serta mencari pasangan bagi membina hidup bahagia di samping anak-anak tercinta. 


Pun begitu banyak cabaran yang menanti. Dalam kesibukan urusan seharian, gaya hidup yang sihat diabaikan. Dalam dunia serba pantas, sukar bagi individu itu hendak memastikan pengambilan makanan berkhasiat. Walaupun umum tahu keburukan makanan segera, namun mereka mudah terpikat disebabkan iklan besar-besaran di media masa, kononnya atas nama “nilai untuk wang”.  


Lama kelamaan kesihatan dan kelincahan yang dinikmati penuh keriangan satu ketika dahulu   merosot secara perlahan-lahan tanpa disedari. Perut kempis menjadi semakin “mancung.”Pengabaian menyebabkan diri terlantar akibat menderita berbagai jenis penyakit sedangkan ketika di hujung usia hidup sepatutnya lebih positif dan bahagia.


Masalah fizikal, sosial dan emosi sering mengganggu selera atau mungkin menjejaskan keupayaan membeli dan menyediakan makanan yang seimbang. Menjelang usia 50 masalah dental menyebabkan individu memilih makanan lembut yang mungkin tidak mengandungi khasiat secukupnya bagi memastikan kesihatan optimum. Oleh itu nutrisi perlu diubah mengikut tahap usia. Bagi mendapatkan semula keperluan tubuh supaya dapat menjalankan fungsi dengan baik, kita digalakkan mengambil suplemen.


Suplemen yang diperlukan adalah yang berasaskan tumbuhan yang banyak mengandungi antioksidan untuk melindungi dan memperbaiki sel-sel. Juga suplemen khusus untuk mata, jantung, sendi, tulang dan menopos. Multivitamin dengan mineral, terutama kalsium dan asid folik juga diperlukan.


Pengambilan suplemen yang lengkap membolehkan individu berusia menjalani hidup dengan lebih yakin. Ketika ini hayat rakyat Malaysia semakin panjang, melebihi 65 tahun. Ini adalah disebabkan kemudahan perubatan dan penjagaan kesihatan yang lebih baik. Oleh kerana itu ramai pesara kini hidup lebih aktif dengan menyertai badan bukan kerajaan (NGO) sebagai sukarelawan atau bergiat di bidang perniagaan.