Thursday, June 14, 2012

Hidup Di Dunia Hanya Fatamorgana


serenemaklong.blogspot.com



KITA hidup di alam maya tiga dimensi. Segala-gala yang hadir di sini, walaupun boleh dilihat, disentuh dan dimiliki, sebenarnya tidak wujud. Ia hanya fatamorgana. Yang benar-benar wujud hanyalah Maha Pencipta.

Ramai di kalangan kita alpa dan leka dengan kemewahan fatamorgana ini. Kita bermegah-megah dengannya sedangkan semua itu milik Pencipta Agung. Kita hanya "meminjamnya" buat sementara waktu.  Segala yang kita pinjam itu, sama ada harta-benda, ahli keluarga hatta roh kita sendiripun akan diambilNya kembali bila tiba tiba tarikh luputnya. Tiada suatu apa pun yang kita “miliki” boleh dibawa bersama ke liang lahad. Fir'aun yang membawa harta-benda ke dalam kuburnya di piramid pun tidak dapat menikmati semua itu. Yang untung ialah penyangak yang menyelongkar dan merompak kuburnya.

Al Khalik melengkapkan kita dengan berbagai kesenangan hidup bagi  memudahkan kita menumpukan perhatian kepada tugas utama iaitu menyembah Dia. Itulah tujuan sebenar kita ini diciptakan.Bukan sekadar untuk dilahirkan, disekolahkan, dikahwinkan, menjadi ibu bapa dan kemudian mati semata-mata.

Sesungguhnya kita ini sedang bermimpi di alam maya. Kita akan terjaga daripada mimpi ini apabila kita menyebut syahadat terakhir, dan orang di sekeliling menyebut "Inna lillahi wa inna ilaihi roji'un". Selepas itu barulah kita betul-betul hidup

Baru tersedar akan segala perkara buruk dan baik yang pernah kita lakukan ketika sedang "bermimpi" di dunia itu. Yang berbuat kebaikan, Alhamdulillah. Yang melakukan kejahatan, menyesal pun tidak berguna.Tidak akan mendapat apa-apa pertolongan lagi.      

Oleh yang demikian, semasa "bermimpi" itu janganlah lupa untuk memohon kepada Allah:

Ya, Tuhan kami, buat diri kami dan setiap insan yang pernah melalui alam ini bersama-sama dengan kami, secara langsung atau tidak langsung, jauh atau dekat, hidup atau mati, lelaki atau perempuan, tua atau muda, kecil atau besar, sihat atau sakit, kawan atau lawan, bersaudara ataupun bukan. 
Ampunilah dosa-dosa kami yang lalu, dosa kami yang sekarang, dosa kami di masa akan datang, dosa yang kami dedahkan,dosa yang kami sembunyikan, dan dosa yang hanya Kau Maha Mengetahui. 
Berikanlah kami Rahmat-Mu, Hidayah-Mu, Bakarakah-Mu dan segala kebaikan dari sisi-Mu.
Telah kami maafkan mereka yang mencaci kami, membenci kami, mengumpat kami.
Telah kami halalkan hutang budi yang kami curahkan kepada insan lain.
Bagi mereka yang pernah membantu kami dengan tenaga, nasihat dan wang, kurniailah mereka dengan segala kebaikan dari sisi-Mu.
Jadikanlah kami ini hamba yang tunduk patuh kepada-Mu, berakhlak mulia, mengamalkan amal makruf nahi mungkar, bersederhana dalam hal kehidupan dan tidak pernah lupa untuk mensyukuri nikmat yang Kau berikan.   
Ya Allah, hanya kepada-Mu kami memohon. Amin.

Wednesday, June 13, 2012

Kaburi Pelanggan Guna Ayat Al-Quran


serenemaklong.blogspot.com

AYAT Kursi, ayat 1000 Dinar, surah Yasin dan beberapa potongan surah lazim dalam al-Quran merupakan ayat yang popular digunakan untuk dipamer oleh peniaga di restoran atau kedai makan di negara ini.

Apakah tujuan mereka berbuat demikian? Adakah untuk mewujudkan persekitaran Islam atau hanya sebagai penghias kedai. Bukan hanya satu, malah terdapat sesetengah kedai yang mempamerkan ayat suci bagi umat Islam itu di setiap penjuru dinding dan juga pada papan penyata kedai tersebut.

Sedarkah kita yang merupakan pengguna, bahawa kaedah tersebut merupakan satu helah segelintir peniaga yang cuba mengaut keuntungan dengan menggunakan ayat al-Quran.

Ayat al-Quran yang melambangkan agama Islam disalahgunakan sebagai tarikan kepada pelanggan khususnya orang Islam yang merupakan penganut majoriti di negara ini.

Tanpa memikirkan sensitiviti umat Islam, peniaga yang tidak bertanggungjawab itu juga cuba mengaburi pelanggan dengan mengambil pekerja yang beragama Islam untuk menarik kepercayaan pelanggan Muslim memasuki kedai mereka.

Bermodalkan persekitaran dan latarbelakang Islam palsu yang digunakan oleh peniaga tersebut menjadi landasan mudah kepada mereka untuk mengelak daripada terkecuali mengambil logo halal yang diiktiraf daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Perkara ini yang membimbangkan Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM) dan JAKIM bahawa ia akan terus berleluasa di seluruh negara.Pihak LPKPM menerima pelbagai aduan daripada orang ramai mengenai pelbagai kaedah penipuan yang dilakukan oleh segelintir peniaga makanan untuk mengaburi mata pelanggan.

Peniaga restoran atau kedai makanan melakukan taktik ini kerana tidak mempunyai logo halal atau menggunakan logo yang tidak diiktiraf oleh JAKIM. Oleh itu, mereka menggunakan ayat al-Quran sebagai alat untuk mengelirukan pelanggan Muslim dan mengaut keuntungan.

LPKPM sebagai badan yang bertanggungjawab tidak akan membiarkan peniaga mengambil kesempatan dan tidak akan bertolak ansur terhadap perkara ini demi menjaga kemaslahatan umat Islam. Ia  bekerjasama dengan agensi kerajaan untuk sentiasa memantau premis perniagaan makanan yang masih berdegil dengan melakukan pelbagai kesalahan yang bertentangan dengan undang-undang Akta Perihal Dagangan 2011 (APD 2011) yang dikuatkuasakan 1 Januari 2012.