Friday, November 2, 2018

Syurga Buat Isteri




Hal yang amat kritikal bagi isteri ialah suami. Perempuan - makhluk Allah yang sarat dengan emosi dan kadang terlalu menuruti kata hati, lalu memang satu hal yang menakutkan kalau ada kata-kata dan tindak tanduk isteri yang melukai hati suami - sengaja atau tidak sengaja.

Rasulullah S.A.W sebut dengan jelas tentang perangai orang perempuan - saat berdepan dengan satu saja pun keburukan suami, si isteri boleh lupa dengan kebaikan suaminya yang lain. Perangai inilah yang paling banyak menjerumuskan perempuan ke neraka. Allah. betapa ngerinya!

Seorang isteri kena banyak minta maaf pada suami. Mungkin ada terkurang layanan, terkasar bahasa, terlajak berprasangka, tercerita tentang aibnya pada sesiapa.

Rendahkan hati untuk merayu kemaafan darinya. Jangan hanya nampak kelemahan suami tapi isteri lupa kelemahan sendiri. Jangan sibuk besar-besarkan kesilapannya tapi pandang kecil kesilapan diri.

Pandang muka suami, siapa pun dia, itulah yang Allah dah pilihkan sebagai jodoh. Itulah lorong nikmat, itulah juga lorong ujian Allah.

Semua buruk baik dia boleh jadi asbab kebaikan untuk isteri. Mungkin untuk tundukkan ego, mungkin untuk Allah beri pahala melalui sabar, mungkin untuk Allah latih berdikari dan keluarkan potensi diri. Pasti ada sebabnya!

Kalau ada hal tentangnya yang tidak disukai, banyakkan berdoa pada Allah. Isteri tidak boleh ubah suami, tapi Allah boleh. Minta dari Allah. Jaga hubungan dengan Allah agar mudah meminta Allah jaga rumahtangga.

Masya-Allah, indahnya kesudahan hidup seorang isteri andai dia mati dalam keadaan mendapat redha suami. Indahnya janji Allah bahawa isteri yang diredhai suaminya boleh masuk syurga dari mana-mana pintu yang disukainya. 

Hari ini, jom simpan niat untuk jadi isteri yang lebih baik daripada semalam. Simpan hasrat untuk cuba dan kemudian cuba. Allah pandang usaha. Allah pasti beri ganjaran walaupun pada sekecil-kecil usaha. In sya Allah.

Tutup aurat serapat mungkin agar bakal menjadi ketua bidadari untuk suami di syurga kelak. Lindungi walau sehelai rambut. Litupi walau hanya tapak kaki yang selalu dirasa hanya berada di bawah tapi ia yang bakal menentukan ke syurga atau tidak.

Ya Allah,

Jadikanlah isteri yang membaca ingatan ini sebagai isteri yang menyejukkan hati suami mereka Ya Allah. Aamiin..

۞ اَللهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ ۞

☆☆☆☆☆☆☆☆☆☆☆☆☆

BICARA DENGAN ALLAH

Ya Allah, kurniakanlah pasangan yang hanyut dalam cinta dunia itu dengan anak-anak yang soleh/solehah yang bakal membimbing ibu bapa mereka kembali berada di atas jalan yang Kau redhai.

Aamiin.

No comments:

Post a Comment