Friday, February 9, 2018

Cukupkah Sekadar Halal





Oleh Firdaus Wong 

Halal secara mudah dari bahasa adalah dibenarkan atau diizinkan. Dalam terma Islam secara mudah, halal adalah bermaksud sesuatu yang dibenarkan yang selari dan tidak dilarang dalam ajaran Islam. 

Saya masih ingat tahun lepas saya ditanya 'apakah itu halal' ketika diwawancara oleh radio berbahasa Cina 988 apabila timbulnya isu penggunaan berus bulu babi.

Saya nyatakan Islam bukan sekadar bercerita tentang halal dalam makanan tetapi juga dalam segala aspek kehidupan. Selain itu Islam juga mengalakkan sesuatu yang lebih tinggi selain halal itu halal dan toyyib.

Toyyib secara mudah bermaksud baik. Maka Islam mengalakkan sesuatu yang dibenarkan dan juga baik untuk kita.

Dahulu, saya sangat suka kepada makanan dan minuman yang manis. Teh O ais, air berkarbonat itu biasa. Apabila selsema, antara yang wajib saya makan selain dari ubat selsema adalah gula-gula Hall's.

Namun selepas mendapat pendedahan tentang ketagihan kepada gula dan bagaimana industri makanan mencipta makanan yang dikatakan sihat tetapi dengan kandungan gula yang tinggi yang akan menyebabkan kita merasa ketagih tanpa kita sedari.

Antara yang pernah ditulis oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang dalam buletinnya ialah bagaimana industri makanan mencipta gula sintetik yang menyebabkan kita masih terasa tidak puas walaupun dah kenyang sehingga kita terfikir untuk makan makanan yang manis untuk melayan ketagihan kita.

Dari situ saya mula sedar, saya sendiri perlu mengubah pemakanan saya. Sekarang, hampir setiap kali makan di luar, saya hanya memesan air kosong atau mineral. Andai minum kopi O (favourite saya), saya akan minta gula perang (brown sugar) atau hanya satu sudu kecil sahaja.

Air buah, akan dipesan yang kosong tanpa gula dan air. Cokelat dan gula-gula, diminimumkan sehingga saya tidak akan membelinya untik ahli keluarga dan diri termasuk untuk anak-anak.

Nasi putih diambil sedikit berbanding dengan banyak. Andai di rumah, Brown Rice pilihan saya. 

Sekarang, saya tidak akan mudah terpengaruh dengan label 'Makanan Sihat' ataupun 'Minuman Sihat' sehingga saya membaca sendiri apakan ramuannya. Andai terlalu banyak ramuan sintetik terutamanya yang ada label 'Added Vitamin C' atau apa jua yang extra sintetik, saya akan elak untuk beli.

Saya pilih makan makanan yang lebih sihat kerana badan adalah amanah dari Allah yang akan dipersoalkan kelak. Apabila dipersoalkan nanti, sekurang-kurangnya saya mampu menjawab dengan yakin kepada Allah yang saya telah berusaha menjaga kesihatan dan badan yang diamanahkan oleh Allah.

Apa pendapat anda? Jom ambil yang halal dan toyyib...

No comments:

Post a Comment