Wednesday, November 8, 2017

Muhasabah




Ustaz, saya peliklah. Jiran di belakang rumah saya selalu sangat minta tolong dengan saya. Selalu kesempitan wang. Setiap bulan mesti pinjam duit daripada saya. Awal bulan dia bayar. Hujung bulan dia pinjam semula,” keluh Azlan kepada Ustaz Iman.

“Nak kata dia malas, saya tengok hari-hari dia keluar bekerja. Pagi-pagi dah keluar menebar roti canai. Tengahari sambung kerja di bengkel kereta. Petang sambung lagi kerja cuci pinggan di restoran,” sambung Azlan.

“Takkan tak cukup-cukup lagi Ustaz rezeki dia. Anak dia bukan ramai sangat pun, tiga orang sahaja. Saya cukup pelik. Sepatutnya, orang yang rajin macam dia tu, tak logic masih lagi hidup susah. Kenapa ya Ustaz? Adakah ini bala kepada dia?” Azlan dengan serius mengajukan soalan.

“Azlan, apa yang awak sibuk fikir tentang bala Tuhan pada dia. Awak tak pernah terfikirkah yang Tuhan aturkan yang awak tinggal berjiran dengan dia sebab Tuhan nak bagi awak peluang membantu dia dan keluarga?” balas Ustaz Iman dengan tenang.

“Hukum adat,orang kata nak berjaya kena berusaha. Tapi tak semua orang yang berusaha akan berjaya. Mungkin itu bukan balasan kepada orang tersebut tetapi adalah ujian kepada orang yang kaya sama ada mampu untuk membantu mereka yang memerlukan,” sambung Ustaz Iman.

Mungkin begitu juga aturannya untuk orang yang sakit. Ada yang berpuluh tahun menanggung kesakitan. Sudah ratusan doktor dan ubat yang dicuba. Namun tidak sembuh-sembuh juga.

Kalau ikut hukum adat, nak sihat kenalah berubat. Namun ada juga yang masih menderita walaupun sudah berulang-ulang kali dirawat.

Adakah mungkin pesakit-pesakit ini cara Tuhan menguji kesabaran dan ketekunan para perawat? Mungkinkah Tuhan beri peluang untuk para pengkaji untuk terus rajin menerokai ilmu-ilmu perubatan yang dipinjamkan? Adakah para perawat cuma boleh mengeluh atau mampu terus berusaha untuk membantu pesakit?


Dulu ... saya sangkakan, rezeki itu bila dapat menghasilkan wang, urusan pekerjaan lancar, banyak duit simpanan, banyak harta. 

Setelah mencari-cari apa makna rezeki dalam ISLAM (sesuai yang tertera dalam AL-QURAN dan Hadis), ternyata saya salah besar. 

Ternyata ;
▪Langkah kaki yang dimudahkan untuk hadir ke Majlis Ilmu, itu adalah rezeki.

▪Langkah kaki yang dimudahkan untuk solat berjamaah di Masjid, adalah rezeki.

▪Hati yang ALLAH swt jaga jauh dari iri, dengki, dan kebencian, adalah rezeki.

▪Ada rakan-rakan yang soleh solehah dan saling mengingatkan dalam kebaikan, itu juga rezeki.

▪Saat keadaan sukar penuh keterbatasan, itu juga rezeki. Mungkin jika keadaan sebaliknya, boleh membuat kita kufur, sombong, bahkan lupa diri.

▪Punya ibu bapa yang selalu sakit adalah rezeki, kerana merupakan ladang amal pembuka pintu syurga.

▪Tubuh yang sihat, adalah rezeki. Bahkan saat diuji dengan sakit, itu juga bentuk lain dari rezeki kerana sakit adalah penggugur dosa.

▪Dan mungkin ada jutaan bentuk-bentuk rezeki yang kita tidak sedari.

Justeru yang harus kita waspada adalah ketika hidup kita penuh dengan kemudahan dan kebahagiaan, padahal begitu banyak hak ALLAH yang tidak kita tunaikan.






Iman adalah paksi kepada seorang yang beragama Islam. Tiada warden di rumah untuk menyebat sekiranya kita lewat solat. Melainkan iman yang menggerakkan kita untuk berdisiplin menunaikannya. Tiada siapa mampu menghalang kita daripada melakukan maksiat kepada Allah s.w.t., melainkan iman yang bergetar dan merasa amat yakin betapa Allah s.w.t. sedang melihat. Tiada siapa mampu menunjukkan kepada kita syurga Allah s.w.t. yang dijanjikan jika kita bersabar, memikul beban dakwah, dan sebagainya. Imanlah yang membuatkan kita yakin seakan-akan kita pernah melihatnya. Begitulah juga dalam banyak situasi lain, iman memainkan peranan.

Iman ibarat matahari, yang menjadi paksi kepada bima sakti, yang menjadi pusat kepada orbit planet-planet, yang menjadi sumber tenaga dan punca kehidupan di Bumi. Tanpa keimanan, jiwa kita akan gelap dan tidak mempunyai arah yang benar. Terganggu keimanan, maka akan ada masalah pada aktiviti hidup kita sebagai seorang Muslim .

[Muhasabah diri dari Ahmad Ezry.]

No comments:

Post a Comment