Monday, October 20, 2014

Talbis Iblis

Syaitan mempunyai dua cara untuk memperdaya manusia: 1) Menghasut manusia supaya melakukan perkara-perkara berdosa seperti menipu, pecah amanah, rasuah, bersikap boros dan membazir, mengamalkan riba, menjadi “cyber warrior” yang mengutuk dan memfitnah pihak lain di alam maya dan sebagainya. Dosa-dosa ini dihias dengan begitu indah sehingga si pelaku menjadi terbiasa dan tidak lagi terasa bahawa ia adalah dosa.
2) Membiarkan manusia melakukan perkara-perkara berpahala seperti bersolek untuk suami, bersedekah, solat, bersilaturrahim dan sebagainya. Namun, secara licik syaitan menjadikan semua perbuatan berpahala itu menjadi dosa pula bila ia dilakukan tanpa diniatkan kerana Allah, sebaliknya kerana inginkan pujian, pangkat, harta dan sebagainya.
Imam Ibnu Jauzi memberikan satu analogi menarik. Katanya HATI adalah tempat segala-galanya yang menentukan sama ada seseorang hamba itu celik ataupun buta Allah. Kehidupan yang bahagia atau celaka bermula dari hati. Dalam hati itu ada TAMAN yang dipagari cermin. Pintu-pintu pagar cermin taman dikawal oleh para MALAIKAT.Lebih tinggi ilmu seseorang hamba, lebih ramai pula malaikat yang berkawal di pagar taman hatinya. Walaupun di pagar cermin itu kedapatan retak di sana-sini, tetapi tahap keselamatan taman masih dijaga oleh AKAL hamba Allah tersebut. Di luar pagar cermin, ada pondok yang dihuni oleh NAFSU dan SYAITAN yang sentiasa menunggu peluang untuk menyelinap masuk ke dalam taman. Ketika akal manusia dalam keadaan ALPA, nafsu dan syaitan secara licik menyelimuti pintu pagar cermin dengan kabut tebal menyebabkan malaikat penjaga tidak dapat melihat bahawa manusia itu telah DITAWAN.
Ketika dalam tawanan syaitan, manusia mempertontonkan segala kebaikannya kepada umum, sama ada di alam nyata atau di alam maya. Dia berasa bangga bila disanjung dan dipuji. Hilang sudah rasa ikhlas kerana Allah.Syaitan membuka 99 kebaikan untuk manusia lakukan tetapi sasaran utamanya ialah satu kejahatan. Bilamana satu sahaja kebaikan itu runtuh, menerusi satu kejahatan itulah seluruh kebaikan menjadi binasa.Imam Ibnu Jauzi juga menceritakan tentang seorang salafussoleh yang diberi kemampuan oleh Allah untuk berkomunikasi dengan syaitan. Syaitan memberitahu salafussoleh itu bahawa: “ Mula-mula dulu aku yang mengajar manusia cara-cara menipu. Tetapi sekarang manusia pula yang mengajar aku cara untuk memperdaya. Kreativiti manusia sungguh hebat!”
Majlis-majlis ilmu juga sering menjadi tempat syaitan memesongkan hati. Ditimbulkannya rasa mengantuk, atau dipujuknya hadirin supaya berbual sehingga hilang tumpuan ke atas ilmu yang sedang diajar. Ustaz, ustazah dan ilmuan juga tidak terkecuali, malah lebih teruk lagi. Jika tidak berwaspada, akan muncul rasa bangga, sombong, takbur dan ujub, malah mengangggap diri lebih baik daripada orang lain semata-mata disebabkan ketinggian ilmu, padahal ilmu itu datangnya dari Allah.
Orang yang bijak dan cerdik dari perspektif Allah sentiasa bermuhasabah diri. Seboleh mungkin hawa nafsu dikekangnya. Dia cuba menghadirkan Allah di dalam hati dan tidak mahu dilalaikan dengan perkara-perkara duniawi. Pun begitu, sebagai manusia biasa masih juga ada jatuh bangunnya.Yang paling penting bila sedar diri telah tersasar, bangunlah dan segera mohon keampunan Allah. Kadang-kadang ketika sedang solat, tidak sedar air mata mengalir. Jika itu air mata taubat disebabkan pelanggaran perintah Allah, solat itu tidak batal, bahkan Allah menerimanya, asalkan tiada suara terkeluar yang boleh menyebabkan pembatalan solat. Pun begitu, keikhlasan taubat itu hilang bila ia diceritakan kepada orang lain sehingga timbul rasa riak pula. Ingatlah, riak itu muslihat syaitan. Seperkara lagi, air mata yang disebabkan oleh hal-hal duniawi seperti putus cinta, kecewa dengan ujian hidup, gagal ke IPT dan sebagainya tidak dikira air mata kerana Allah.
Untuk mengelakkan diri dari tipu daya syaitan, dekati Al-Quran setiap hari dengan membaca, memahami makna dan mengamalkannya, terutama Surah Al-Baqarah di mana terletaknya Ayatul Kursi, di samping mengamalkan doa-doa perlindungan tertentu. Jika hendak menasihati orang lain, doakan dahulu orang yang bermasalah itu. Kemudian baru tegur dia dengan penuh rasa yakin secara senyap-senyap. Jika bimbang dengan perkara-perkara yang boleh menyesatkan akidah, jauhkan diri dari orang yang mengaku”ustaz” apabila perkara yang disarankannya memang diketahui menyalahi perintah Allah. [Petikan siaran “Talbis Iblis” oleh Ustaz Dr Zaharuddin Abdul Rahman pada Sabtu 18/10/2014 & Ahad 19/10/2014, 6.30 petang RTM 1]

No comments:

Post a Comment