Thursday, October 23, 2014

Dari Mana Hendak Ke Mana

Sesungguhnya manusia diciptakan dari pensenyawaan telur ibu dan sperma bapa. Dari situlah kita datang. Hadirnya kita di dunia ini ialah untuk MENYEMBAH ALLAH. Hamba yang taqwa bangun tidur, mengucapkan syukur kepada Allah kerana menciptakan dia dan memberinya peluang untuk bernafas sehari lagi; juga bersyukur kerana ahli keluarganya dizinkan bernafas seperti dia. Penerima anugerah patut menyayangi diri sendiri dan tidak mensia-siakannya kerana inilah anugerah Allah yang terhebat. Manusia dicipta sebagai khalifah di muka bumi, dan sebaik-baik manusia di sisi Allah ialah yang bermanfaat bagi diri sendiri dan juga orang lain.
Manusia yang hanya mempunyai naluri kehaiwanan - makan, tidur dan kahwin, tiada hala tuju hidup. Rohnya dipegang oleh syaitan dan nafsu semata-mata. Manusia bergelar hamba Allah memerlukan lebih lagi iaitu makanan roh berupa ILMU. Kehadiran ilmu menyebabkan rohnya kini dipegang MALAIKAT. Sesungguhnya hati manusia memang medan pertempuran di antara nafsu syaitan dan malaikat.
Manusia dianugerahkan sepasang MATA FIZIKAL yang diguna untuk melihat alam dan kehidupan. Banyak perkara yang dilakukan semata-mata untuk memuaskan mata fizikal seperti mahu dilihat anggun dengan solekan dan pakaian indah, atau bergaya dengan rumah besar dan kereta mewah. Tindakan begini dipacu oleh MATA NAFSU yang suka membanding-bandingkan kedudukan diri dengan orang-orang di sekeliling. MATA AKAL memikirkan kejadian alam dan kehidupan makhluk yang ada di dalamnya. Semua persoalan Apa? Mengapa? Siapa? Di mana? Bagaimana? dijawab menurut logik dan ilmu yang ada pada diri masing-masing. Bagi seorang MUKMIN, yang penting ialah MATA HATI yang mampu melihat kekuasaan Allah dan semua kejadian yang menimpa segala makhluk-Nya sebagai pengajaran dari Yang Maha Agung.
Setiap anugerah dan musibah mempunyai makna tersendiri. Di mana mata fizikal dan mata akal sesetengah orang menganggap musibah sebagai kecelakaan, mata hati mukmin melihat kebaikan di sebaliknya. Baginya setiap interaksi yang diperolehi dari alam dan makhluk adalah “feedback” dari Allah, sama ada tindakan atau amalan yang dilakukan itu betul atau salah. “Markah” yang Allah beri hanya dapat dilihat di Akhirat.Seorang mukmin sentiasa melihat ke dalam diri dan bersikap proaktif memperbaiki sikap dan akhlaknya. Sebagai contoh, dia menganggap tempat kerja sebagai ladang pahala tempat menyemai benih kebaikan dengan penuh rasa ikhlas demi mencari rezeki yang halal bagi memenuhi keperluan hidup. Gaji yang “dituai” digunakan untuk nafkah diri dan keluarga. Tidak pernah curi tulang sebab perbuatan itu boleh menukar “tuaian” menjadi racun yang membawa keburukan di segi kesihatan, akhlak dan nasib bagi diri serta keluarga. Setiap tindak-tanduk yang dilakukan semata-mata kerana cintakan Allah dan Rasul, di samping berbuat baik dengan manusia lain.
Sentiasa berdialog dengan Allah, hatinya terfokus ke masa hadapan. Segala yang dimiliki di dunia digunakan untuk menempah kebahagiaan di akhirat. Tidak dibiarkan apa-apapun mengganggu keakrabannya dengan Yang Esa, tidak manusia mahupun gajet yang kini menjadi kegilaan orang seluruh dunia. Hidupnya bermula dari dalam diri ke luar. Akhlak dan tutur kata yang dibinanya merupakan dakwah kepada orang lain. Dia tidak terkesan dengan sikap negatif yang dilemparkan. Baginya Allah hanya mahu melihat AMAL yang dilakukan, bukan hasilnya. Jika ada yang menuruti, Alhamdulillah, jika tidak, diserahkannya bulat-bulat kepada Allah Maha Pemberi Hidayah. Sememangnya hati manusia berada dalam genggaman-Nya.
Setiap manusia pada setiap saat mempunyai pilihan: iman atau nafsu, dosa atau pahala, keredhaan atau kemurkaan Allah, taat atau maksiat. Apa sahaja aktiviti yang melalaikan dan tidak memberatkan timbangan di Mizan harus diketepikan. Orang yang sibuk mengejar akhirat, dunia akan mengejarnya pula. Hiduplah seperti yang Allah suka, bukan yang orang lain suka. Barangsiapa bekerja untuk dunia, dia akan ditipu oleh dunia. Oleh itu, sentiasalah mengaudit diri sendiri. [Petikan siaran Tanyalah Ustazah oleh Prof. Dr. Muhaya Mohamad 22 Oktober 2014 TV9]

No comments:

Post a Comment