Saturday, October 18, 2014

Solatlah Sebelum Disolatkan

MENURUT kajian rambang 50 peratus anak-anak yang tinggal dengan ibu bapa lebih mudah bangun awal dan bersolat. Apa sudah jadi pada 50 peratus lagi? Adakah mereka tidak bersolat disebabkan ibu bapa mereka sendiri mengabaikan perintah solat lima waktu itu? Menurut satu lagi kajian rambang yang lain, ramai pelajar universiti yang terlepas daripada pengawasan ibu bapa dan bebas membuat keputusan sendiri juga tidak bersolat. Terasa gerun sekali bila memikirkan keadaannya apabila anak-anak muda ini yang bakal berumahtangga dan bergelar ibu bapa pada suatu hari nanti juga akan mengabaikan solat. Ditambah pula dengan bilangan ibu bapa dan anak-anak mereka yang memang sudah tidak bersolat pada masa sekarang. Apa akan jadi pada umat Islam seluruhnya?
"Hai orang-orang beriman, pelihara dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaga pula malaikat-malaikat yang kasar, keras dan tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan`. – at Tahrim ayat 6. --------------Sabda Rasulullah s.a.w. Ajarlah anak-anakmu solat ketika umur mereka tujuh tahun dan rotan mereka (sekiranya enggan solat) pada umur 10 tahun.
Sebenarnya solat penuh khusyuk dan merasai kehadiran Allah sedang memerhatikan setiap tindak-tanduk akan menghindarkan kita daripada melakukan perkara-perkara buruk. Kita takut mendekati zina dan liwat, tidak sanggup mencuri dan merompak, bimbang memberi dan menerima rasuah, tidak sampai hati menganiaya manusia lain dan tidak bersedia memutuskan silaturrahim. Semua perbuatan buruk ini berpunca daripada berbagai bentuk nafsu. Jika solat dianggap rutin semata-mata maka ia tidak menghindarkan seseorang daripada melakukan perbuatan mungkar. Pernah diberitakan seorang guru agama ditangkap atas dakwaan mengedar ganja dan disahkan positif ganja menerusi ujian air kencing.
Seperkara lagi, apabila ibu bapa berhubungan dengan anak-anak yang berada di menara gading sama ada menerusi telefon, emel atau secara bersemuka, yang sering ditanya ialah “Bagaimana study?”, dan ini selalunya diakhiri dengan kata-kata “Belajar betul-betul, jangan main-main.” Realitinya ibu bapa lebih mengambil berat tentang keperluan kehidupan sementara daripada turut menuntut keperluan kehidupan abadi. Tidak ramai yang bertanya, “Dah solat?“ Pertanyaan ini memberi kesan besar pada kehidupan anak-anak. Sebaik-baiknya katakan pada dia “Belajar betul-betul, jangan lupa solat dan baca Quran. Sekurang-kurangnya semuka sehari. Baca terjemahan sekali. Nanti hati kita tenang. Mudah hendak belajar.“ Jika dilafazkan pada setiap kali berhubung secara bersungguh-sungguh dan dijadikan amalan perbualan, sesungguhnya ia mampu bertukar menjadi doa. Solat ialah tiang agama yang memisahkan di antara mereka yang menyembah-Nya dengan yang menganiaya diri sendiri dengan mencampakkan diri ke dalam Api Abadi. Cintai diri sendiri dan bersolatlah.
Allah S.W.T. berfirman: Dan ( ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia selain untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku. Az Dzariyat 56.

No comments:

Post a Comment