Wednesday, October 2, 2013

Pilih Menantu Terpilih

serenemaklong.blogspot.com

 

(Foto: Rahsia Hawa)

 

SEMINGGU lagi Salman akan menikah, tetapi ketika ini dia masih di kota besar Kuala Lumpur,  mengenang nasib diri. Tidak ada wang, tidak ada kereta, tidak ada kerja, tidak ada apa-apa selain telefon murah, yang kadang-kadang tidak ada kredit.


Sedangkan sewa rumah pun belum berbayar, inikan pula dipaksa menikah pada minggu hadapan. Bernikah dengan gadis kampung yang diaturkan oleh ibu bapanya, di rumah orang tua gadis tersebut, dalam majlis serba sederhana.

 

Salman belum kenal lagi orangnya. Dia tidak faham mengapa ibu bapa si gadis sanggup menikahkan anak mereka yang cantik bertudung litup itu dengan lelaki seperti dia. Hantaran perkahwinan hanya senaskah Al Quran, dan mas kahwin pula RM80.00. Yang lebih menghairankan, semua belanja  kenduri ditanggung oleh keluarga si gadis.

Salman memang bekerja tetapi dia tidaklah berjawatan tetap, kerja sambilan di hotel, tolong kawan-kawan berniaga dalam talian di internet, sesekali mengikuti seminar MLM, dan pada kebanyakan masa dia hanya duduk di rumah sewa, menatap ruangan kerja kosong di dada akhbar.

Salman ada melihat gambarnya, dan atas sebab kecantikan itulah dia setuju dengan perkahwinan yang diatur. Dengar cerita, gadis itu lulusan universiti luar negara, bekerja sebagai pegawai kerajaan yang gajinya cukup bagi membayar ansuran kereta BMW.

Pada mulanya, Salman terfikir dirinya ibarat tikus jatuh ke dalam guni beras, tetapi ketika majlis semakin hampir, dia membayangkan mungkin ada perkara yang disembunyikan. Adakah gambar yang diberi itu sama dengan wajah asli gadis yang bakal dinikahinya? Adakah dia seorang ibu tunggal? Atau yang paling menakutkan, wanita itu sedang mengandungkan anak orang lain, dan Salman menjadi 'pak sanggup'!!!

***************

Tengah hari itu Salman nekad pulang ke kampung untuk menyiasat latar belakang bakal isteri, dan mengapa ibu bapa dia sanggup melepaskan anak mereka kepada lelaki seperti dia. Dalam perjalanan menaiki bas menuju ke utara Semenanjung itu Salman beruntung dapat duduk di sebelah seorang penumpang lelaki yang peramah. Salman  membuka mulut dan bertanya, “Macam mana hendak tahu latar belakang bakal isteri?”

“Senang sangat. Kalau dia ada FB, buka FB dia, atau taip saja nama penuhnya di internet. Nanti adalah maklumat tentang dia. Kalau susah sangat, pergi ke tempat kerja dia, tanya kawan-kawan dia, atau tanya jiran-jiran dia.”

Untuk menyiasat tentang tunangnya di internet, Salman sendiri tidak tahu nama penuhnya. Yang dia tahu namanya, Sarimah. Berapa ramai orang bernama Sarimah di internet? Lalu Salman mengambil kaedah kedua iaitu bertanya rakan-rakan sekerjanya. Mujur Salman tahu tempat gadis itu bekerja di bandar tersebut.

Sampai saja di kampung, Salman meminjam motosikal ayahnya dan terus ke pejabat berkenaan. Dia tidak tahu apa jawatan Sarimah tetapi di pejabat sebesar itu tentu tidak ramai orang yang sama namanya. Tetapi agak tidak logik pula kalau dia terus masuk ke pejabat dan bertanya berkenaan bakal isteri. Akhirnya dia mengambil keputusan menunggu dan memerhati di seberang jalan.

Mungkin pada waktu makan tengah hari nanti, Sarimah dan kawan-kawannya akan keluar. Apabila sudah cam wajah kawan-kawannya, semasa balik nanti boleh tanya tentang Sarimah. Begitulah Salman mengatur rancangannya. Dia duduk di atas motosikal menghadap pejabat yang cuma setingkat.

Kemudian datang pula rasa menyesal, sebab pada jam 11 pagi, cuaca sudah terik. Di situ pula belum ada pokok yang rendang kerana semuanya baru  dicantas dahan. Sudahlah panas terik, pengawal keselamatan di luar pejabat pula asyik meninjau-ninjau. Bukan pengawal keselamatan saja, malah orang yang lalu-lalang pun turut memerhati.

Salman terlupa bandar itu kecil saja. Segala perbuatan yang bukan kebiasaan akan menjadi perhatian. Perbuatan dia duduk di hadapan pejabat nampak  aneh. Dia semakin berasa menyesal bila dilihatnya seorang perempuan keluar dari pejabat dan berjalan menuju ke arahnya. Semakin dekat perempuan itu, semakin dia berasa berdebar. Wajahnya semakin jelas, dengan tudung kuning lembut dan baju kurung biru muda. Dialah bakal isterinya, yang cuma dikenal namanya sebagai Sarimah.

Ketika hendak menghidupkan motosikal dan berlalu dari situ, Sarimah sampai dan menyapanya, “Awak ni Salman,kan?”

Salman memberikan senyuman terpaksa. “Ya, saya. Awak boleh cam?”

“Kawan di pejabat yang beritahu, ada lelaki di seberang jalan. Mereka mengusik saya, mungkin saya kenal, dan saya mula perasan rupa awak sama macam gambar yang emak saya beri.”

Hah, seluruh pejabat perasan Salman menunggu di hadapan pejabat!!! Aduh, teruk betul cara dia menyiasat. Salman memerhatikan wajah Sarimah, ternyata wajah aslinya jauh lebih cantik daripada wajah dalam gambar.

Diperhatikan pula perutnya, tetapi tidak nampak tanda mengandung. Ketika Salman sedang memerhati, Sarimah segera menyilangkan tangannya di perut, membuatkan Salman tersipu-sipu. Salman rasa Sarimah memang berani. Berani keluar berjumpa dengan dia. Kalau perempuan lain, tentu mereka tidak akan buat begitu. Inilah pertemuan pertama Salman dengan bakal isterinya. Pertemuan dalam keadaan yang agak aneh.

Kemudian mereka tiba-tiba diam. Masing-masing hanya berdiri di tepi jalan raya, sambil memandang ke arah yang sebenarnya agak aneh untuk dipandang. Salman memandang ke arah pokok dan Sarimah memandang ke arah motosikal ayah Salman.

“Ini tak betul. Aku ni lelaki, patut tunjukkan contoh yang baik kepada bakal isteri, “bisik hati Salman. Akhirnya dia memberanikan diri dan bertanya,”Dah makan?”

“Saya diet.”

Nasib baik dia diet. Kalau dia kata, “Jom makan”,  mana hendak dicari duit belanja sedangkan dalam dompet cuma ada lima ringgit. Masakan cukup. Selepas itu, keadaan kembali sepi.

“Saya nak masuk pejabat balik,” kata Sarimah dengan sopan dan membuatkan Salman lega.

“Saya pun nak balik juga,” balas Salman.

“Malam ini jemputlah datang ke rumah.”

“Datang rumah awak?”

“Ya, makan malam dengan keluarga saya.”

Salman diam. Berdebar-debar.

“Jemputlah sekali ayah dan emak awak kalau mereka tak ada halangan.”

“In Sya Allah, selepas maghrib saya saya sampai.”

****************

Sepanjang perjalanan balik Salman berasa tidak puas hati dengan dirinya. Mengapa dia tiba-tiba menjadi kelu? Sepatutnya, pada masa itulah dia banyak bertanya sebab-sebab keluarga Sarimah  memilih dia.

Malam itu Salman berasa sedikit cemas. Tentang  alamat rumah Sarimah, dia boleh tanya pada ayah. Tetapi patutkah dia bawa ayah dan ibu sekali? Oh, tidak.. tidak.... Bukannya dia tidak tahu fe’el ibu.Nanti habis semua rahsia anak kesayangan itu dia ceritakan.


Salman ada banyak rahsia yang Sarimah dan orang tuanya tidak patut tahu. Paling dia takut ibu akan ceritakan dia minta duit daripada ibu pada setiap bulan. Tetapi hendak pergi seorang diri, rasa tidak yakin pula.

Akhirnya, Salman dapat idea paling bernas. Dia terus melencong ke rumah kawan karibnya, Rudy, yang dikenali sejak kecil. Salman yakin Rudy ada di rumah kerana mereka berdua senasib, belum ada kerja tetap. Bezanya, dia bertarung hidup di kampung, sedangkan Salman bertarung hidup di kota.

Sampai sahaja di rumah Rudy, dilihatnya Rudy sedang duduk di tangga sambil bermain gitar. Rudy pandai mengorat gadis dengan petikan gitarnya, dan dia juga berani berhadapan dengan perempuan, bukan macam Salman.

“Lama tak nampak,” kata Rudy sebaik Salman duduk di sebelahnya.

“Taklah lama mana. Baru dua bulan lebih.”

“Lamalah tu.”

Salman diam,hanya mendengar lagu dari petikan gitar Rudy. Salman cuba menyusun ayat untuk mengajak Rudy menemaninya, tetapi belum ada ayat yang bagus.

“Aku dengar seminggu lagi kau nak kahwin. Kau tak jemput pun aku,” kata Rudy, dan itu secara tidak langsung memberikan Salman jalan bagi melaksanakan rancangannya.

“Ini majlis sebelah pihak perempuan, jadi mereka jemput sebelah perempuan saja.”

“Sebelah lelaki bila pula?”

Salman diam kerana dia tidak tahu bila. Dengan kewangannya sekarang, hidangan mi goreng kepada tetamu pun dia tidak mampu.

“Tengoklah. Kalau ada kad aku sampai ke rumah kau, kau datanglah.”

“Dia cantik tak?” Rudy memandang dengan senyuman penuh berharap.

“Cantik.”

“Macam mana kau jumpa dia?” Senyuman Rudy kini semakin tinggi harapan. Mungkin harapan untuk melihat Saman bahagia.


“Ayah dan emak aku yang jodohkan. Aku terima sahaja.”

“Kau tak pernah jumpa dia?”

“Baru tadi.”

“Memang dia cantik?”

“Memang cantik.”

Rudy kini memperlihatkan pula wajah orang yang sedang gusar dan berfikir panjang.

“Apa kerja dia?”


“Pegawai. Aku tak tahu jawatannya. Tetapi ibu kata, pegawai tinggi juga.”

“Hmm... dia cantik, kerja bagus tetapi dia nak kahwin dengan kau. Hairan.”

Nampaknya Rudy juga sudah perasan sesuatu yang tidak kena. Dia pandang wajah Salman.

Rudy menyambung, “Kau pun, bukannya kacak sangat. Hairan,hairan.”

Salman tersenyum pahit. Memang dia tidak kacak dan itupun sebenarnya merisaukan juga.

“Kau tak hairan?” soal Rudy.

“Memang aku hairan.”

“Kau sudah periksa latar belakang perempuan itu?”

Dipandangnya wajah Rudy. Akhirnya peluang itu tiba.

“Malam ini kau ikut aku. Temankan aku ke rumah tunang aku.”

“Buat apa?” Rudy memandangnya dengan rasa hairan.

“Dia ajak aku makan malam di sana. Jumpa dengan ayah dan ibu dia. Waktu itu aku fikir baru hendak siasat latar belakangnya.”

“Kau pergilah sendiri.” Rudy kembali menyambung memetik gitar.

“Kau bukan tak tahu aku ni penyegan. Aku nak kau temankan aku. Lagipun kau berani, mungkin kau boleh tolong siasat juga.”

“Siasat macam mana?”

“Tanyalah apa-apa soalan yang patut. Engkau berpengalaman dalam dunia percintaan. Mestilah tahu.”


Selepas lama dipujuk, Rudy pun setuju.

****************

Malam itu, walaupun alamat sudah disalin daripada ayahnya, Salman tetap juga sesat. Dia sampai selepas isyak, bukannya selepas maghrib. Dilihatnya makanan yang terhidang di atas meja nampak sudah sejuk. Agaknya Sarimah dan orang tuanya sedang lapar.

“Maaf, lambat sikit.”

“Tak apa, masuklah,” kata seorang lelaki yang yang sebaya ayah Salman. Mungkin dialah ayah Sarimah
dan bakal ayah mertua Salman.

“Oh, ini rupanya Salman. Ayah kamu kata kamu akan balik lusa, cepat pula kamu balik,” tegur seorang perempuan, agaknya dia ibu Sarimah.

“Ada hal sikit,” balas Salman sambil berkata, “Kenalkan, ini kawan saya Rudy. Ibu dan ayah saya tak dapat datang.”

Kemudian, Sarimah keluar dari dapur dan dia kelihatan sangat cantik. Salman dan Rudy terpegun.

“Untunglah kau,” bisik Rudy.

Selepas makan, mereka duduk di ruang tamu dan pada masa itulah, Salman menjeling pada Rudy supaya mula menjalankan tugasnya.

“Salman kata, ini kali pertama dia berjumpa dengan pak cik dan mak cik. Malah dengan Sarimah pun baru semalam berjumpa,” kata Rudy memulakan kata.

“Ya, kali pertama berjumpa. Sebelumnya, kami tengok gambar yang ibu dia beri,” jawab ayah Sarimah.

Salman rasa semakin berdebar-debar.

“Tak sangka, orang boleh tahan juga,” sambung ibu Sarimah pula.

Pipi Salman mula berasa panas. Jarang orang memuji dia macam itu. Kalau puji pun, ada makna di sebaliknya. Entah-entah ibu Sarimah pun cuma mahu menjaga hati.

“Itulah saya hairan. Sebab Salman beritahu, orang tua dia yang aturkan. Tak sangka, zaman sekarang masih ada lagi perkahwinan yang diatur oleh orang tua. Apa rahsianya, pak cik?” Tanya Rudy sambil ketawa kecil. Walaupun soalan itu serius, tetapi kelihatan seperti bergurau.

“Tak ada rahsia apapun. Salman tak beritahu kamukah?”

Rudy pandang Salman, kemudian memandang ayah Sarimah dan menggeleng.

Terus Salman bersuara, “Sebenarnya saya pun tak tahu apa-apa.”

“Kamu tak tanya ayah dan ibu kamu?”


Salman rasa menyesal kerana tidak pernah bertanya. Cuma dia ingat bila ibunya bertanya, “Nak ibu carikan jodoh kamu?” Jawabnya, “Boleh.” Tahu-tahu, dua minggu selepas itu, dia sudah bertunang dan dalam masa sebulan akan berkahwin. Itupun bertunang guna duit ibunya. Memalukan betul.

“Saya tak tanya.”


Ayah Sarimah ketawa kecil.

“Begini, saya dan ayah kamu itu memang sudah lama kenal. Suatu hari, borak-borak di kedai kopi, kami bercerita tentang anak masing-masing, kemudian terus bercerita hal jodoh. Akhirnya, terus kepada rancangan mahu menjodohkan anak masing-masing. Selepas itu, inilah yang terjadi,” jelas ayah Sarimah.

“Begitu sahaja, Pak Cik? Mudahnya!” Rudy nampak terkejut, dan Salman pun sebenarnya agak terkejut juga. Ya, mudahnya.

Ayah Sarimah tersenyum lebar. “Tidaklah semudah itu. Kami pun mahu yang terbaik untuk anak bongsu kami. Kami pun ada siasat latar belakang Salman.”

“Jadi pak cik tahu yang Salman ini menganggur dan tidak ada duit?” soal Rudy dan membuatkan Salman geram tetapi pada masa yang sama berasa sangat malu.

“Tahu,” jawab ayah Sarimah sambil ketawa kecil lagi.

“Jadi?” Rudy menyoal sambil memusingkan tangan kanannya. Salman dapat mengagak Rudy sebenarnya mahu kata, “Jadi, mengapa masih pilih Salman?” Mungkin kerana tidak sampai hati, dia cuma buat isyarat tangan sahaja. Salman kenal benar dengan perangai Rudy.

“Itulah yang diberitahu oleh ayahnya. Katanya, anak dia tidak kacak, tidak ada kerja tetap, malah, bulan-bulan masih minta duit daripada ibunya. Tapi, daripada situlah pak cik tahu, Salman ini akan menjadi suami yang baik.” Ayah Sarimah tidak lagi tersenyum, sebaliknya memandang Salman dengan wajah serius. Salman tunduk malu. Rupa-rupanya mereka sudah tahu dia minta duit bulan-bulan daripada ibu.

“Jadi?” Rudy sekali lagi menggerak-gerakkan tangannya.

“Ayahnya juga kata, anak dia akan menelefon ke kampung, paling kurang dua kali seminggu. Walaupun tak ada kerja tetap, kerja pula tak menentu dengan gaji yang kecil tapi setiap kali dapat gaji, dia tak pernah lupa memberikan sedikit kepada ibunya, sungguhpun cuma RM50. Bayangkan walaupun hampir tiap-tiap bulan dia tidak cukup duit, tetapi dia masih ada perasaan untuk membantu orang tua. Itulah namanya tanggungjawab!”

Salman tergamam. Dia tidak sangka ayahnya menceritakan perkara itu juga kepada ayah Sarimah.

“Ooo... tanggungjawab,” Hanya itu kata Rudy sambil mengangguk-angguk

Ayah Sarimah menyambung, “Tanggungjawab itu, bukan bermakna apabila kita kaya sahaja kita perlu ada tanggungjawab. Tanggungjawab itu adalah sesuatu yang kita pegang semasa kita susah dan semasa kita senang. Alam rumahtangga bukan selamanya senang. Lebih banyak masa susahnya. Jadi, pak cik akan berasa lega, kerana tahu anak pak cik berada dalam tangan lelaki yang bertanggungjawab.”

“Betul juga pak cik. Lagipun Salman ini, setahu saya dia tidak pernah tinggal solat dan tak ada girlfriend sebab takut perempuan,” tambah Rudy yang membuatkan Salman tersipu-sipu. Tidak sangka Rudy memujinya.

“Solat itulah perkara utama yang pak cik tanya daripada ayah dia, dan girlfriend pun pak cik ada tanya.” Ayah Sarimah kembali ketawa kecil.

“Susah nak cari orang seperti pak cik. Zaman sekarang, semua ibu bapa nak menantu yang kaya,” tambah Rudy. Tiba-tiba wajahnya murung. Mungkin dia sedang bercerita tentang dirinya secara tidak sedar.

“Semasa pak cik mengahwini ibu Sarimah, hidup pak cik pun susah. Pak cik juga orang susah, cuma bekerja sebagai kerani, sedangkan ibu Sarimah itu anak orang kaya di kampung. Alhamdulillah, keluarga isteri pak cik jenis yang terbuka. Lalu, mengapa pak cik tidak memberi peluang kepada orang yang susah, sedangkan pak cik dahulu pun diberi peluang. Yang utama, sebab dia susah bukan kerana dia malas, tetapi belum sampai rezeki. Besar bezanya, orang malas dengan orang yang belum ada rezeki. Kalau susah sebab duduk rumah dan tidur berguling-guling, memang pak cik tidak terima juga,” jelas ayah Sarimah dengan panjang lebar.

Salman berasa sedikit lega. Tidak sangka begitu fikiran ayah dan ibu Sarimah. Perlahan-lahan, perasaan malu itu mula berkurang. Perlahan-lahan juga, curiganya kepada Sarimah ikut berkurang.

“Anak pak cik pun hebat juga. Dia ikut kata pak cik. Zaman sekarang, biasanya semuanya sudah ada boyfriend dan girlfriend,” kata Rudy. Aku tahu, Rudy juga sedang memasang umpan bagi mengetahui latar belakang Sarimah pula.

“Alhamdulillah. Pak cik sangat bersyukur diberi anak sebegitu. Mulanya, pak cik khuatir juga, tetapi selepas seminggu, Sarimah kata setuju. Cuma pak cik tidak tahu sebab apa dia setuju, mungkin Salman boleh tanya dia sendiri selepas nikah nanti,” kata ayah Sarimah, lalu dia, isterinya dan Rudy ketawa bersama. Tinggal Salman dan Sarimah saja yang duduk terdiam malu. Sempat dia menjeling Sarimah, dan bertanya dalam hati, “Mengapa kamu setuju dengan lelaki macam aku?'

***************

Alhamdulillah. Allah permudahkan segala-galanya.  Salman kini sah menjadi suami Sarimah, dan selepas bersalaman dengan Sarimah, gentar dan malunya kepada Sarimah mula berkurang. Malah dia  memanggil Sarimah 'Sayang'.  Selepas majlis kenduri, Salman dan Sarimah berdua-duan dalam bilik buat pertama kali.

Salman bertanyakan pada Sarimah soalan cepumasnya, “Sayang, mengapa sayang setuju bernikah dengan lelaki seperti abang? Lelaki yang belum tentu masa depan, dan mungkin juga membuat sayang menderita.”

Sarimah memandang lalu menyalami tangannya dan berkata, “Ampunkan Sarimah bang, ampunkan Sarimah.”

Salman mula berdebar-debar dan tidak sedap hati
.

“Ampunkan apa, sayang?”

“Sebab, Sarimah sebenarnya pun curiga juga dengan abang, tidak yakin dengan abang. Sarimah minta tolong kawan yang kebetulan tinggal dekat rumah abang di KL supaya menyiasat latar belakang abang.  Sarimah juga solat iskhtikarah kerana ragu-ragu kepada abang.”

Debarnya kembali menurun. Rupa-rupanya, Sarimah lebih dahulu menyiasat latar belakang dia. Salman  mengangkat kepalanya dan memandang ke arah Sarimah. “Abang ampunkan. Abang pun minta maaf, sebab berasa curiga kepada sayang.”

Sarimah tersenyum. Bukan senyum manis biasa, tetapi senyuman seorang perempuan yang bahagia, dan senyuman itu sangat ajaib kerana ikut membuatkan Salman berasa bahagia. Mungkin inilah perasaan bahagia yang datang daripada kelakuan membahagiakan orang lain. Tetapi persoalan Salman masih belum terjawab sepenuhnya.

“Apa kata kawan sayang?”

“Katanya, abang ini kerja tak tetap. Motosikal pun pinjam motosikal kawan, tetapi katanya dia sentiasa melihat abang membaca ruangan akhbar mencari kerja, menghantar surat, dan sentiasa memeriksa peti surat. Maksudnya, abang ini seorang yang rajin berusaha. Katanya lagi, dia tak pernah nampak abang keluar dengan mana-mana perempuan. Solat pun abang buat berjemaah di surau.”

“Tapi orang secantik sayang takkan tak ada orang yang mahu. Tentu ramai yang mahukan sayang, dan mungkin juga yang ada sudah menghantar rombongan meminang.”

Sarimah sekali lagi tersenyum.

“Ya, memang ramai lelaki yang cuba dekat dengan Sarimah, tetapi Sarimah sangat takut. Sebab, teringat kepada kakak Sarimah?”

“Mengapa dengan kakak, sayang?”


Sarimah pun bercerita panjang lebar, dan tahulah Salman yang kakak dia sudah meninggal. Kakak Sarimah dahulu juga seorang perempuan cantik, dan ramai lelaki yang mahukan dia. Akhirnya, dia kahwin dengan lelaki pilihan hatinya sendiri. Lelaki yang kacak, berpelajaran tinggi, dan bekerja yang gajinya lumayan. Sayangnya, selepas setahun berkahwin, suami kakaknya mula berubah kerana belum mendapat anak. Mula balik lewat dan sering marah-marah.

Malah, apabila suami kakaknya dibuang kerja kerana krisis ekonomi, hidup mereka menjadi susah dan, suami kakaknya juga semakin besar perubahannya. Dia sudah tidak balik berhari-hari, apabila balik pula, hanya bagi meminta wang, marah-marah dan memberi sepak terajang. Kemudian pecahlah rahsia, rupa-rupanya suami kakaknya itu sudah ada perempuan lain. Lalu pada hari itu, dengan hati yang kusut, kakak Sarimah gagal mengawal keretanya lalu kemalangan dan meninggal dunia. Akhir ceritanya itu, terus Salman genggam tangan Sarimah erat-erat.

“Sebab itulah, Sarimah takut menerima mana-mana lelaki dalam hidup Sarimah. Malah, Sarimah juga sebenarnya sudah mengamanahkan ayah dan ibu mencari lelaki yang sesuai untuk Sarimah. Biar tidak kaya, biar tidak kacak, tetapi lelaki itu mampu membahagiakan hidup dengan kasih-sayang dan mendamaikan hati dengan agama.”

Akhirnya, semuanya sudah jelas. Mengapa ayah dan ibu Sarimah memilih lelaki seperti dia, dan mengapa Sarimah menerimanya. Genggaman tangan Salman semakin kuat.

“Abang jagalah Sarimah. Tolong jangan lukakan hati Sarimah,” rayu Sarimah dan matanya mula berair dan tumpah ke pipi. Segera Salman menyeka air mata Sarimah.

“Abang bukan lelaki terbaik, dan abang tak mampu berjanji menjadi suami yang terbaik untuk sayang. Abang cuma mampu berjanji, abang akan berusaha menjadi lelaki dan suami yang terbaik untuk sayang,” kata Salman perlahan, dan Sarimah terus memeluknya. Salman perasan, bahunya sudah basah dengan air mata Sarimah.


(Diadaptasi dari tulisan Encik Bahruddin Bekri)

 

 

No comments:

Post a Comment