Friday, November 19, 2010

Ketahui Peranan Produk Untuk Rambut


Rambut kerinting mengerbang, rambut kejur bagai berus, rambut halus kusut masai, rambut lurus nipis …… bagi wanita ada sahaja yang tidak kena dengan rambut! Mereka mahu mengurus  rambut masing-masing tetapi tidak pasti apa patut diguna. Mari kita lihat apa yang ada di pasaran dan fungsi produk itu.   

Perapi bilasan
Sebelum perapi tanpa bilas dan masker rambut dicipta, perapi bilasan diguna untuk “menjinakkan” rambut kejur yang mengerbang. Ia dibiarkan merapi  rambut selama 30 saat, kemudian dibilas sebersih-bersihnya untuk mengawal kusut dan meningkatkan kilauan.

Perapi tanpa bilas
Kalau tidak mempunyai banyak masa untuk membilas syampu dan perapi biasa sampai dua kali, selepas rambut disyampu, sikatkan perapi tanpa bilas menerusi helaian rambut dan biarkan rambut kering sendiri. Perapi tanpa bilas mempunyai fungsi yang sama dengan perapi bilasan biasa iaitu untuk melindungi rambut daripada kerosakan akibat cahaya matahari. Jika rambut kerap ditiup kering, atau jika anda merancang hendak bersantai di pantai, jangan lupa menggunakan produk ini.

Serum rambut
Serum rambut berfungsi dengan cara yang sama seperti perapi tanpa bilas, iaitu membentuk lapisan pelindung pada helaian rambut untuk menjadikannya lebih licin dan berkilau. Namun ia tidak melindungi rambut daripada kerosakan akibat cahaya matahari. Ia dianggap sebagai produk penggaya, bukan perapi rambut.

Masker rambut
Masker rambut perlu diguna sekurang-kurang selama 20 minit untuk merapi rambut secara mendalam. Jika rambut kerap ditiup kering, dikerinting dan diwarnakan, rambut perlu dijaga lebih rapi untuk mengelakkan hujung bercabang dan rambut rapuh.

Menggunakan masker rambut pada setiap minggu akan menguatkan helaian rambut dengan protein. Ia juga mengembalikan lembapan yang hilang dengan menghidrat bahagian rambut yang kering.

Catatan:
Harus diingat bahawa perapi boleh melemahkan rambut yang halus. Oleh itu, gunakan sedikit sahaja di bahagian hujung rambut, bukan di kulit kepala.


No comments:

Post a Comment