Thursday, September 30, 2010

TAKNAK DVT

Pernah mendengar mengenai penyakit DVT?

Ia adalah penyakit yang digelar “sindrom kelas ekonomi” kerana dialami oleh penumpang yang menaiki pesawat kelas ekonomi. Nama sebenarnya ialah venous thromboembolism (VTE), yang termasuk juga  deep vein thrombosis (DVT) dan pulmonary embolism (PE). 

DVT adalah pembentukan kempal darah (blood clot) yang berlaku jauh dalam vena tubuh, lazimnya di vena kaki. Kempal yang dinamakan  thrombus itu menyekat aliran darah menerusi vena secara separa atau menyeluruh. Vena dalam kaki terletak berhampiran dengan tulang dan dibaluti oleh otot-otot kaki yang kuat. 70-80% DVT berlaku dalam vena popliteal di lutut dan vena superficial femoral dalam peha. Sementara itu 20-30% lagi berlaku di betis iaitu dalam vena anterior tibia dan vena peroneal serta  posterior tibia.   

Terdapat dua kumpulan faktor yang membawa risiko. Pertama, faktor pesakit dan kedua, faktor luaran seperti pembedahan.

Pesakit berusia lebih 60 tahun dengan indeks jisim tubuh (BMI) melebihi 30kg/m2 serta pernah mengidap VTE mempunyai risiko lebih tinggi. Turut berisiko tinggi ialah pesakit kardiovaskular serta pesakit vena varikos. Ia juga menyerang mereka yang mewarisi penyakit thrombophilia (sekumpulan penyakit genetik yang diwarisi sebahagian atau seluruhnya), perokok, serta mereka yang mempunyai darah mudah berkempal  

Pesakit kanser, sama ada yang pernah menjalani pembedahan atau hanya menjalani rawatan kimoterapi turut tidak terkecuali. Oleh kerana itu, kanser merupakan petunjuk kukuh terhadap risiko DVT.  

Penumpang yang membuat perjalanan udara yang jauh melebihi tiga jam dengan pergerakan yang terhad dalam ruang yang sempit, serta kurang minum air tetapi mengambil pula alkohol adalah amat berisiko. Ini diburukkan lagi dengan altitud tinggi yang mengurangkan penyerapan oksigen ke dalam darah.  

Serangan jantung, angin ahmar, kegagalan jantung, kegagalan respiratori, sindrom nefrotik dan penyakit radang bowel adalah beberapa penyakit di mana pesakit diketahui mempunyai risiko lebih tinggi terhadap DVT, sama ada sebelum atau selepas pembedahan. 

Selain itu terdapat juga risiko khusus bagi wanita, seperti terapi penggantian hormon (HRT), pengambilan pil perancang keluarga dan kehamilan. Wanita yang mempunyai indeks jisim tubuh melebihi 35, mengidap hipertensi dan pernah mengalami VTE mempunyai risiko paling tinggi dan tidak harus mengambil pil perancang keluarga.   
DVT adalah penyakit yang menyerang secara senyap. 40% hingga 50% sukar dikesan awal. Simtom hanya muncul setelah penyakit menjadi teruk. Ketika itu agak terlewat untuk bertindak. Di antara simtomnya ialah rasa sakit di kaki terutama di bahagian betis, kaki bengkak dan merah serta terasa panas, kulit menjadi kebiru-biruan, dan rasa tidak selesa bila kaki ditarik ke atas.  

DVT boleh membawa akibat yang serius. Kempal darah dalam DVT lazimnya tetap terlekat pada dinding saluran darah. Komplikasi yang mungkin berlaku ialah pulmonari embolisme (PE), sindrom pasca-trombotik dan hipertensi pulmonari. Pesakit pulmonari embolisme akan mati mendadak jika tidak dirawat segera. 

Kira-kira 3.8% pesakit DVT mengalami hipertensi pulmonari selepas dua tahun. Bagaimanapun, petunjuk risiko boleh diramal jika digabungkan semua tanda dan simtom yang ada pada pesakit yang disyaki mengidap DVT. Berpandukan itu pengamal perubatan boleh menguruskan pesakit dengan menggunakan langkah-langkah pencegahan “thromboprophylaxis tools” yang betul.    

Langkah thromboprophylaxis paling lazim digunakan ialah mechanical prophylaxis, di mana pilihannya adalah di antara stoking tekanan bergred, peranti tekanan pneumatik yang tidak terus menerus, peranti impuls kaki dan rangsangan elektrik. Jika digunakan dengan betul semua peranti ini boleh mengurangkan DVT sebanyak 44%.  
Kaedah ubat-ubatan melibatkan penggunaan aspirin, heparin serta antikempalan oral seperti warfarin. Bagaimanapun, heparin paling banyak dipreskripsi kerana lebih selamat, mudah diguna dan dipantau serta mempunyai kemujaraban yang setanding. Bila diguna dalam keadaan yang sesuai, ia mengurangkan DVT kira-kira 68% hingga 76%.  

Pengamal perubatan dan pesakit patut bekerjasama untuk mengelakkan risiko DVT dengan cara menangani penyakit ini sebaik yang boleh.

Tuesday, September 28, 2010

TAKNAK Reput Tulang

Salah satu lirik lagu Tan Sri P. Ramlee berbunyi: Kerja berat takut reput tulang. Sememangnya tulang yang reput bukan setakat tidak dapat diguna melakukan kerja kerat, malah untuk menjalani hidup seharian pun akan membawa masalah besar. Segala-galanya terpaksa bergantung pada tulang dan kudrat orang lain.  

Tulang yang reput dan rapuh adalah akibat osteoporosis. Kita tentu pernah melihat orang yang berjalan dalam keadaan bongkok sabut. Ini salah satu tanda penyakit tersebut. Penyakit senyap ini boleh berlaku pada wanita menopos dan lelaki atau wanita yang mempunyai jisim tulang rendah (osteopenia).
Di antara 2-4% tulang kerangka manusia dibina semula setiap tahun. Ini bererti kalsium dan mineral penting lain keluar dari tulang dalam satu proses dinamakan resorption, Tulang itu kemudiannya dibina semula atau digantikan.

Osteoporosis mesti dicegah atau dirawat. Jika dibiar berlarutan tulang pesakit boleh retak atau patah jika terjatuh. Walaupun boleh menjejaskan mana-mana tulang, namun keretakan atau kepatahan di pinggul dan tulang belakang menyebabkan pesakit memerlukan pembedahan. Tanpa pembedahan dan rawatan yang betul pesakit mungkin tidak boleh bergerak langsung.
  
Di antara penyebab osteoporosis ialah usia tua, kurang berat badan, sejarah keluarga yang pernah mengalami osteoporosis sama ada ibu, bapa atau adik beradik, merokok, mengambil alkohol berlebihan, kurang hormon seks (dialami oleh wanita menopos), pengambilan atau penyerapan kalsium dan vitamin D yang rendah, gaya hidup sedentari, pernah mengalami keretakan tulang terutama selepas usia 50 tahun, mengambil ubat-ubatan seperti prednisolone, pengambilan heparin (ubat penipisan darah), ubat penentang sawan dan penyakit tertentu yang boleh menjejaskan tulang seperti gangguan endokrina, penyakit Cushing dan rheumatoid arthritis.     
Lelaki mengidap osteoporosis kerana tabiat merokok. Perokok yang kurus dan kurang minum susu atau tidak mengambil suplemen Calcium Plus memang berisiko tinggi. 

Osteoporosis ditentukan dengan menjalani satu ujian yang mengukur ketumpatan mineral tulang (BMD) di berbagai bahagian tubuh seperti tulang belakang dan pinggul. Ujian ini dinamakan Dual Energy X-ray Absorptiometry (DXA). Pesakit tidak perlu bimbang kerana Sinar-X yang digunakan mempunyai kadar radiasi sangat rendah.     
 
Di pasaran terdapat banyak ubat yang diguna untuk mencegah dan merawat osteoporosis. Contoh: Vitamin D Diaktifkan bermanfaat bagi pesakit buah pinggang mengurangkan keretakan vertebra, Bisphosphonate membantu memperlahankan kehilangan tulang dan mengurangkan keretakan, Calcitonin pula adalah semburan hidung atau suntikan di bawah kulit.  

Bagi wanita terdapat Terapi Penggantian Hormon di mana hormon estrogen sahaja atau dalam kombinasi dengan hormon progestin diguna untuk mengurangkan risiko.  

Bagaimanapun, wanita menopos harus meminta nasihat doktor untuk memastikan terapi penggantian hormon sesuai atau tidak. Terdapat kesan sampingan yang berbahaya berkaitan terapi ini. Contohnya kombinasi estrogen dengan progestin berupaya meningkatkan risiko kanser payudara, angin ahmar, serangan jantung dan kempal darah (blood clot). Estrogen sahaja pula boleh meningkatkan risiko angin ahmar.

Ubat lain seperti Selective Oestrogen Receptor Modulator (SERM) meniru efek baik estrogen ke atas tulang tanpa kesan sampingan serius seperti kanser payudara. Raloxifene mengurangkan keretakan tulang belakang pesakit wanita.  Strontium ranelate dapat mengurangkan risiko keretakan bagi wanita pasca menopos. Namun disebabkan peningkatan risiko kempal darah ia mesti diguna secara berhati-hati oleh wanita yang mempunyai sejarah vena trombosis atau pulmonari embolisme. Teriparatide yang disuntik di bawah kulit membantu merangsang pembentukan tulang. Ia disediakan untuk pengidap osteoporosis yang teruk. 

Perubahan gaya hidup merupakan cara terbaik untuk mencegah osteoporosis. Bagi mengekalkan kesihatan tulang, diet kita mesti mengandungi susu rendah lemak berkalsium tinggi, ikan dan sayur-sayuran berdaun hijau tua seperti brokoli.

Bagi yang tidak boleh minum susu kerana kurang toleransi ke atas laktosa boleh mengambil suplemen yang mengandungi mineral tertentu. Ia harus mengandungi 1000mg kalsium dan 400-800IU vitamin D. Vitamin D memastikan penyerapan kalsium yang baik. Tanpa Vitamin D, tulang akan menjadi lembut  (osteomalacia).
Magnesium sebanyak 400mg berfungsi menggerakkan kalsium di dalam tulang. Mangan  sebanyak 2mg sehari mensintesis tisu-tisu penyambung yang membentuk matriks di mana enapan mineral berlaku. Boron mengaktifkan vitamin D. Ketiadaannya menjejaskan metabolisme kalsium dan pembentukan tulang. Zink menyokong pembentukan tulang dan strukturnya dengan meningkatkan tindakan vitamin D. Kupram membentuk blok binaan tulang. Tanpanya enapan tulang menjadi tidak normal. 

Pengambilan harian kalsium yang disyorkan oleh US RDA ialah: 
·         Dewasa dan remaja – 800 hingga 1200mg sehari. 
·         Wanita hamil dan menyusukan bayi – 1200mg sehari.
·         Kanak-kanak berumur 4 hingga 10 tahun – 800mg sehari.
·         Bayi baru lahir hingga berumur 3 tahun – 400 hingga 800mg sehari. 

Untuk tulang yang sihat, tabiat merokok dan pengambilan alkohol berlebihan mesti dihentikan. Bersenam secara kerap dengan menggunakan pemberat (dumbbell). Rawat semua keadaan yang boleh menyebabkan osteoporosis. Kurangkan atau tukar ubat yang boleh menyebabkan osteoporosis. Jangan berhenti mengambil ubat disyorkan doktor tanpa meminta nasihatnya terlebih dahulu.  

Osteoporosis boleh menyebabkan hilang keupayaan berjalan. Pencegahan patut dilakukan sejak zaman kanak-kanak untuk memastikan tulang dapat tumbuh dan berkembang secara normal bagi memaksimumkan kekuatannya.