Thursday, December 22, 2016

Taubat Seorang Syiah Yang Berfikir




Seorang bekas penganut Syiah hadir ke pejabat MRM (Multiracial Reverted Muslims) setelah membuat temujanji. Beliau ingin mengetahui bagaimana untuk belajar akidah Islam serta berhadapan dengan masyarakat terutamanya ahli keluarga.

Saudara 'AS' dilahirkan dalam keluarga Syiah Ismailiah. Namun sejak kecil beliau mempunyai pelbagai kemusykilan mengapa beliau berbeza dengan majoriti rakannya. Beliau tertanya mengapa pergi sembah kubur sedangkan kita boleh berdoa terus kepada Allah S.W.T.? Mengapa terlalu mengagungkan setiap perkataan Mullah sedangkan Rasulullah s.a.w. itu lebih mulia? Jikalau Abu Bakar, Umar dan Uthman kafir dan begitu jahat, kenapa di zaman Nabi s.a.w., Baginda boleh berperang dengan orang musyrik dan menewaskan mereka, kenapa Nabi SAW tidak buang sahaja mereka malahan Nabi s.a.w. melantik Abu Bakar r.a sebagai imam ketika Baginda sakit?

'AS' merasa ada sesuatu yang tidak kena dan mula mencari. Beliau telah menghantar mesej kepada beberapa asatizah tetapi mesej tidak dibalas. Berjumpa dengan asatizah tetapi hanya menjawab Syiah tidak betul tanpa memberitahu kenapa Syiah tidak betul. Pernah diajak oleh sahabatnya untuk ke majlis selawat di Stadium Melawati tetapi apabila majlis bermula, beliau tidak boleh terima langsung kerana itulah apa yang beliau lakukan semasa dalam Syiah. 'AS' tidak mahu keluar dari Syiah dan masuk ke dalam fahaman Syiah yang bertopengkan Ahlus sunnah. Apa yang mereka lakukan sebagai Syiah ada dalam majlis selawat dan qasidah itu. Menanggalkan serban dan melambai-lambai serta bertawassul di kuburan adalah benda yang dia biasa buat sebagai Syiah. Dia tak boleh terima kerana jikalau boleh berdoa terus kepada Allah, kenapa nak ke kubur? Nampak pula seperti orang yang pergi jirat Cina minta nombor.


Suatu hari, beliau ternampak buku bertajuk "Fitnah Terhadap Sahabat Rasulullah s.a.w." karangan Dr.MAZA. Kemudian beliau menonton ceramahnya di YouTube dan kemudian menonton ceramah Dr Rozaimi. Baginya, ceramah mereka lebih boleh diterima akal sebab ianya logik dan ada bukti.

Kini beliau mahu belajar Islam yang dibawa oleh Nabi s.a.w. Beliau mahu belajar sejarah Islam, juga mahu berdakwah nanti. Beliau terdetik untuk menghubungi MRM setelah membaca perkongsian tentang dialog bersama Belum Muslim dan kisah penghijrahan mereka ke Islam. Beliau merasakan beliau kini adalah seperti muallaf yang baru mula belajar tentang Islam.

Sahabat semua, doakan agar saudara "AS" diberikan kekuatan untuk berhadapan dengan masyarakat terutamanya ahli keluarganya serta kekuatan untuk istiqomah mendalami ilmu Islam. Pihak di MRM bersetuju mengajar beliau secara peribadi kerana tidak mahu mendedahkan identitinya lagi. Beliau sempat solat Asar bersama kami dan memberikan sedikit motivasi kepada kakitangan serta sukarelawan MRM.

*Gambar dan post ini telah mendapat kebenaran dari saudara "AS" untuk dikongsikan agar menjadi inspirasi untuk kita semua.

(Multiracial Reverted Muslims)

Segalanya Lillahi Taala



Sekiranya ilmu tidak mendekatkan kita kepada Allah, ada masalah di dalam kita menuntutnya. Di dalam menuntut ilmu, jangan terhenti sekadar memiliki ijazah. Tujuan kita adalah Allah.

Sebuah litar elektrik tidak akan berfungsi sekiranya tidak kembali kepada sumbernya. Sumber elektrik memberikan kuasa agar sesuatu perlatan elektrik itu berfungsi seperti mana ia seharusnya berfungsi. Ini dinamakan "reliability". Jika tidak mampu berfungsi seperti sepatutnya ia berfungsi, maka ia dikatakan "fault" yakni Gagal.

Sebuah mentol menyala ketika menerima kuasa yang sekadar disediakan oleh sumbernya yakni bateri. Sebuah mentol tidak akan berfungsi jika litarnya tidak lengkap yakni kembali kepada sumbernya.

Kita sebagai hamba Allah menerima daya sekadar yang didayakan kepada kita. Kita sebenarnya tidak berfungsi sepertimana seharusnya kita berfungsi yakni menjadi hamba yang sentiasa sedar padaNya jika kita TIDAK sentiasa kembali kepadaNya.

Kita dikatakan Gagal sekiranya tidak berfungsi seperti mana seharusnya kita berfungsi. Menjadi hamba, saksi, wali, khalifah sebagai wakilNya yang dipercayaiNya.

Jadilah "mentol yang menyala" yang sentiasa sedar lahaula wala quwwata illa billah. Ketika kita sentiasa sedar Allah, kita sentiasa inna lillahi wa inna ilaihi roji'uun.

[Fuad Latip]