Friday, July 1, 2016

Rasuah Mesti Dibanteras



Firman Allah: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)“ (Surah Al-Baqarah 2:188).

Ayat ini menjelaskan rasuah ialah satu amalan yang dikutuk Allah. Ia merupakan penyakit masyarakat yang terlalu tamakkan harta dan mementingkan diri sendiri. Pelakunya buruk perangai dan hina di hadapan Allah Taala.

Perbuatan rasuah meliputi amalan meminta, menawar, menerima suapan, tuntutan palsu, menyalahguna jawatan untuk kepentingan diri, keluarga atau golongan tertentu. Disebut juga sebagai ‘duit kopi’, pelincir, tumbuk rusuk, wang bawah meja, perbelanjaan melancong dan barangan berharta yang lain. "DERMA" dengan niat mengharapkan balasan adalah rasuah.

Sesungguhnya sumber dari rasuah itu kotor dan haram dimakan kerana setiap jasad yang tumbuh dari sumber yang haram di akhirat kelak tempatnya adalah di dalam neraka.

Hadis riwayat Al-Baihaki dari Abu Bakar r.a. bahawa Rasulullah saw bersabda: “ Setiap jasad yang tumbuh dari sumber yang haram maka api nerakalah yang layak baginya,“

Jika pemimpin dan rakyat terlibat dengan rasuah, negara akan rosak dan mundur. Allah akan menarik segala nikmat yang dikurniakan melalui pelbagai ujian dan bencana alam.

Individu yang terlibat rasuah akan hilang kerja, hilang integriti dan maruah diri, serta keharmonian rumah tangga jadi hancur.

Bagi jabatan dan organisasi yang terlibat rasuah, pemusatan kuasa (budi biaca dan prosedur) hanya berlegar dalam tangan orang-orang tertentu. Gaya hidup pegawai tersebut kelihatan amat mewah sehingga berani meminta upah bagi mempercepatkan proses permohonan dari pemberi rasuah yang sanggup berbuat apa sahaja agar maksudnya tercapai. Akibatnya hak-hak orang lain diketepikan.

Gejala ini harus dibanteras kerana dari perspektif Islam, amalan rasuah boleh membawa kepada kekufuran. Pemberi dan penerima akan berakhir di neraka, hilang keberkatan hidup dan tertolak segala doa yang dipohonkan kepada Allah Taala. Wallahu’allam.

[Khutbah Jumaat Masjid As-Syakirin Gombak Setia 01/01/16]

Ramadan Jumpa Lagi - In Sya Allah



BILA BERAKHIR RAMADAN BENCANA APAKAH YANG AKAN TIBA?

Bencana yg dimaksudkan adalah keistimewaan yang ada dalam bulan Ramadan akan berakhir iaitu doa yang mustajab, sedekah digandakan, bulan keampunan Allah, tadarrus Al Quran dan tiada seksaan dalam bulan Ramadan. Sepatutnya semakin hampir berakhir Ramadan kita semakin merebut keistimewaan pada bulan penuh barakah ini.

ADA ORANG RASA SEDIH dan ADA ORANG RASA BIASA BILA RAMADAN BERAKHIR.

Orang yang tidak rasa apa-apa adalah kerana dia tidak melakukan ibadat dalam bulan Ramadan. Orang yang sedih bila Ramadan berakhir pula kerana dia rindukan ibadat yang dia telah buat dalam bulan Ramadan.Rindu solat terawih, rindu berbuka dan bersahur bersama-sama, rindu bersedekah jariah dan sebagainya.

ORANG YANG TIDAK MENDAPAT GANJARAN DALAM BULAN RAMADAN IALAH:

1) yang tidak mendapat keampunan Allah kerana tidak berusaha meminta ampun dengan Allah dan tidak memohon maaf sesama manusia.
2) yang mesia-siakan ibubapa.
3) yang masih tidak berubah selepas Ramadan.

TANDA-TANDA RAMADAN DITERIMA:

1) Selepas berakhir Ramadan, dia MENJAGA LIDAH dan tidak berbuat jahat dengannya seperti mengumpat, mencaci dan seumpamanya.
2) BERAKHLAK BAIK, berbeza dari sebelum Ramadan.
3) HILANG SIFAT KEDEKUT.

KEBANYAKAN ORANG BERSUNGGUH~SUNGGUH BERIBADAT DALAM BULAN RAMADAN TETAPI BILA RAMADAN BERAKHIR, TIDAK ISTIQAMAH DENGAN AMALAN ITU.

Kita bukan hanya MENYEMBAH RAMADAN. Bulan Ramadan adalah BULAN LATIHAN. Bila kita lulus dalam bulan Ramadan, kita sepatutnya MENERUSKAN amalan yang sama selepas Ramadan. Teruskan bersedekah, bersolat malam dan sebagainya.

‪‎In Sya Allah ... Aamiin

[Ceramah Ustaz Dato Kazim Elias dalam Tanyalah Ustaz TV9 pada 2 Julai 2016]