Saturday, October 3, 2015

Syaitan Dan Nafsu - Siapa Degil

Dalam kitab karangan 'Ustman bin Hasan bin Ahmad Asy-Syaakir Alkhaubawiyi, seorang ulama yang hidup dalam abad ke XIII Hijrah, menerangkan --- Bahawa sesungguhnya ALLAH S.W.T telah menciptakan akal.Maka ALLAH S.W.T telah berfirman yang bermaksud : "Wahai akal mengadaplah engkau." Maka akal pun mengadap kehadapan ALLAH S.W.T. Kemudian ALLAH S.W.T berfirman yang bermaksud: "Wahai akal berbaliklah engkau!" Lalu akal pun berbalik. Kemudian ALLAH S.W.T. berfirman lagi yang bermaksud: "Wahai akal, siapakah AKU?". Lalu akal pun berkata, "Engkau adalah Tuhan yang menciptakan aku dan aku adalah hamba-Mu yang daif dan lemah." Lalu ALLAH S.W.T berfirman yang bermaksud: "Wahai akal tidak Ku-ciptakan makhluk yang lebih mulia daripada engkau".
Setelah itu ALLAH S.W.T menciptakan nafsu, dan berfirman kepadanya yang bermaksud: "Wahai nafsu, mengadaplah kamu!" Nafsu tidak menjawab sebaliknya mendiamkan diri. Kemudian ALLAH S.W.T berfirman lagi yang bermaksud: "Siapakah engkau dan siapakah Aku?" Lalu nafsu berkata, "Aku adalah aku, dan Engkau adalah Engkau." Setelah itu ALLAH S.W.T menyeksanya dalam neraka jahim selama 100 tahun, dan kemudian mengeluarkannya. Kemudian ALLAH S.W.T berfirman yang bermaksud: "Siapakah engkau dan siapakah Aku?" Lalu nafsu berkata, "Aku adalah aku dan Engkau adalah Engkau." Lalu ALLAH S.W.T menyeksa nafsu itu dalam neraka Juu' selama 100 tahun.Setelah dikeluarkan maka ALLAH S.W.T berfirman yang bermaksud : "Siapakah engkau dan siapakah Aku?" Akhirnya nafsu mengakui dengan berkata, " Aku adalah hamba-Mu dan Kamu adalah tuhanku."
Dalam kitab tersebut juga diterangkan bahawa dengan sebab itulah maka ALLAH S.W.T mewajibkan puasa.Dalam kisah ini ternyata NAFSU ITU SANGAT JAHAT DAN KITA PERLU MENGAWALNYA. Jangan biarkan nafsu itu mengawal kita sebab kita akan musnah. Melawan nafsu lebih hebat dari melawan Syaitan. Sejahat-jahat Syaitan, tetap mengaku Allah itu Tuhannya dan tetap tunduk terhadap-Nya. Syaitan hanya tidak mahu tunduk pada manusia tetapi akur Allah itu Tuhannya dan Tuhan sekalian makhluk.
Bangkai yang mati pasti akan dihinggapi lalat, ulat, cacing, dan pelbagai haiwan kotor dan jijik yang mengerumuninya. Demikian juga hati yang mati. Perkara buruk dan jijik seperti riyak, sombong, ujub, takabbur dan pelbagai lagi akan menghinggapinya.[Senyum Sokmo]

Dengarkan Suara Imam

Kata AL-IMAM IBN QAYYIM AL-JAUZIYYAH (meninggal 751H ) dalam Al-Wabil al-Soyyib: "Apabila Allah mengkehendaki kebaikan untuk seseorang hambaNYA maka Dia buka pintu taubat, penyesalan, pasrah, kehinaan diri, bergantung harapan, memohon pertolonganNYA, pengembalian yang benar kepadaNYA, sentiasa merendahkan diri kepadaNYA, doa, mendekatkan diri kepada Allah dengan semampu mungkin. Di mana kejahatan yang pernah dilakukannya menjadi sebab rahmat untuknya sehingga syaitan berkata: Alangkah baiknya jika aku biarkan dia dan tidak jatuhkan dia ke dalam maksiat". [Dr.MAZA]
Al-IMAM AL-HAFIDZ IBN JAUZI (meninggal 597H) pernah berkata: “Antara tipu daya Iblis ialah mereka yang mencampuradukkan azan dengan peringatan, tasbih dan nasihat. Mereka jadikan azan perantaranya lalu bercampuraduk. Para ulama membenci segala yang ditambah kepada azan. Banyak kita lihat orang yang bangun waktu malam lalu memberikan peringatan dan nasihat atas menara azan. Dalam kalangan mereka ada yang membaca al-Quran dengan suara yang tinggi lalu menghalang tidur orang ramai dan mengganggu bacaan orang yang bertahajjud. Kesemuanya itu adalah perkara-perkara mungkar”. (Ibn Jauzi, Talbis Iblis, 159, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah) [Multiracial Reverted Muslims - MRM]
IMAM SYAFIE berkata, "Berikanlah nasihat kepada aku di kala aku sedang bersendirian dan janganlah menasihati aku di kala aku di tengah kerumunan orang. Memberi nasihat di tengah keramaian orang samalah dengan kehinaan dan aku tidak sudi untuk mendengarnya. Apabila engkau tidak bersependapat dengan aku dan aku tidak mahu mematuhi nasihat kamu, maka janganlah kamu marah."