Thursday, November 29, 2012

Sunnah Bulan Muharram



serenemaklong.blogspot.com


ISLAM adalah agama yang mudah, menyeru umatnya agar sentiasa berpegang teguh dengan dalil. Dalil dapat difahami dengan mudah bagi mereka yang percaya dengan rukun Islam dan Iman, bahawa wajib sebagai seorang Muslim itu berpegang dengan dalil dari Quran dan Sunnah yang sahih diikuti dengan ijmak dan juga qiyas.

Ia menjadi lebih baik dan yakin sekiranya amalan–amalan kita semua dibatasi dengan sumber kefahaman generasi salaf bermula dari sahabat, tabii dan tabi’ tabiin dalam memahami sumber-sumber dalil yang utama iaitu Quran dan sunnah Rasulullah SAW. Ini sesuai dengan hadis Nabi bermaksud : “Sebaik-baik manusia adalah manusia di kurunku, kemudian kurun selepasnya, dan kemudian kurun selepasnya” - Sahih Al-Bukhari hadis no: 3650 (Kitab al-Manaqib, Bab keutamaan para sahabat).

Ramai antara kita lupa dan leka ketika ghairah ingin melakukan amal ibadat. Keghairahan itu sesuatu yang positif dan baik bagi seorang bergelar Muslim, namun dalam keghairahan itu, perasaan harus dipandukan dengan apa telah ditinggalkan Rasul saw dan para sahabatnya.

Nabi saw bersabda: “Kamu sekalian masih dalam keadaan baik selagi mana dalam kalangan kamu terdapat seseorang yang pernah melihatku atau melihat sahabat aku” - Majma’ Zawaied, Ibn Hajar Al-Haytami, Bab Kelebihan Sahabat.

Justeru, wajar bagi kita semua yang cintakan Nabi saw dan para sahabat agar mengamalkan dan memahami asas dan panduan sebelum mempersembahkan ibadah kita kepada ALLAH SWT. Amalan kita wajib menepati tiga syarat utama iaitu aqidah yang sahih (benar), ikhlas dan mengikut sunnah Rasulullah saw.

Bagi masyarakat Islam di Malaysia, bulan Muharam meriah dengan adat dan upacara tertentu dalam masyarakat Melayu khususnya. Firman ALLAH bermaksud “Sesungguhnya bulan-bulan di sisi ALLAH bilangannya 12, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab ALLAH semasa Dia menjadikan langit dan bumi, lalu di antaranya terdapat empat bulan yang dihormati” - Al-Taubah: ayat 36.

Ayat ini kemudiannya diperincikan dengan sunnah Nabi apabila Baginda bersabda “Waktu telah berputar sebagaimana biasa sejak ALLAH  menjadikan langit dan bumi. Satu tahun terkandung 12 bulan, di antaranya terdapat empat bulan haram. tiga bulan berturut-turut, iaitu Zulkaedah, Zulhijah, Muharam, dan satu lagi ialah Rejab yang terletak di antara dua bulan Jamadilakhir dan Syaaban” - Hadis Riwayat al-Bukhari.
Bulan Muharam dapat dibuktikan keutamaannya berdasarkan daripada hadis-hadis Nabi yang banyak terdapat dalam kitab-kitab hadis Nabi. Sabda Rasul saw: “Sebaik-baik puasa selain Ramadan ialah bulan ALLAH al-Muharram dan sebaik-baik solat ialah selepas solat fardu adalah solat malam” - Hadis riwayat Imam Muslim.

Puasa pada 9 dan 10 Muharam, hadis ini jelas menunjukkan bahawa kepentingan bulan Muharam selepas dari bulan Ramadan dan umat Islam dianjurkan serta digalakkan berpuasa apatah lagi memperbanyakkan puasa pada bulan ini.

Kenapa Asyura? Bagi sesiapa yang tidak pernah meninjau dan menyingkap sejarah berdasarkan sunnah-sunnah yang sahih, ada dalam kalangan kita yang mengingati hanya bubur Asyura. Walhal, terdapat peristiwa yang besar lagi penting sebalik nama Asyura ini.
Sebelum turun ayat wajibnya berpuasa daripada surah al-Baqarah ayat 183, telah diriwayatkan bahawa umat Islam pada ketika itu berpuasa wajib pada 10 Muharam atau dikenali hari Asyura. Apabila Nabi saw tiba di Madinah semasa peristiwa Hijrah, Baginda mendapati orang-orang Yahudi di  situ berpuasa pada 10 Muharam.

Baginda saw bertanya tentang sebab mereka berpuasa pada hari berkenaan. Orang-orang Yahudi menyatakan, pada hari tersebut, ALLAH SWT telah menyelamatkan  Nabi Musa a.s dan kaumnya daripada serangan Firaun. Oleh yang demikian, Nabi Musa a.s telah berpuasa pada 10 Muharam sebagai tanda syukur kepada ALLAH. Sabda Nabi saw: “Kita lebih berhak terhadap Nabi Musa daripada mereka maka berpuasalah.  Kisah ini dinyatakan oleh riwayat daripada Aishah yang  terdapat dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim.

Selain itu, kita juga disunnahkan untuk berpuasa dengan menyelisihi kaum bukan Islam. Ini dapat difahami daripada riwayat Ibnu ‘Abbas r.a: “ketika Nabi sedang berpuasa pada hari Asyura dan memerintahkan para sahabatnya untuk turut berpuasa, para sahabat berkata, “Wahai Rasulullah, hari Asyura adalah hari yang diagungkan oleh Yahudi dan Nasara”, setelah mendengar berita itu Rasulullah saw terus mengucapkan “jika benar  apa yang kalian katakan, pada tahun selepasnya dengan izin ALLAH, kita puasa sekali pada hari 9 Muharam.” Ibnu ‘Abbas berkata, “Tetapi belum sempat sampai tahun depan, beliau telah wafat terlebih dahulu”- Hadis  Riwayat Muslim. Dari hadis ini, umat Islam tidak hanya disunnahkan agar berpuasa pada hari ke-10 Muharam atau dikenali sebagai hari Asyura, tetapi juga turut disunnahkan agar berpuasa pada hari ke-9 Muharam.

Ia juga dapat kita fahami daripada saranan Nabi saw yang bermaksud “Berpuasalah kalian pada hari Asyura dan berselisihlah dengan orang Yahudi di dalamnya, dan berpuasalah sehari sebelumnya atau sehari sesudahnya” - Riwayat Ahmad. Antara fadilat lain yang dinyatakan dalam sunnah Rasulullah mengisyaratkan tentang kelebihan puasa Asyura sebagaimana sabdanya, “Adapun puasa hari Asyura, aku meminta  kepada ALLAH semoga pelakunya dapat dihapuskan dosa setahun yang lalu”- Hadis Riwayat Muslim.

Di Malaysia, kita mengamalkan doa Awal dan Akhir tahun, yang mana jelas sama sekali ia tidak  terdapat sumber dan anjuran daripada sunnah-sunnah Rasul yang sahih. Ini harus kita kaji dan selidik agar masyarakat kita tidak melakukan ibadah yang jauh daripada petunjuk Rasulullah saw sebagaimana kita dapat lihat sekelompok agama dan fahaman yang sesat seperti Syiah yang menjadikan amalan 10 Muharram sebagai upacara pemujaan di atas kematian Hussein.

Dicederakan diri mereka, meratapi kematian Hussein seperti orang hilang akal. Inilah akibatnya jika nafsu didahulukan dan petunjuk Nabi saw dipinggirkan. Hal ini dapat kita perincikan dalam kitab Syaikh Abu Zaid dalam kitabnya Tashih ad-Du’a bahawa amalan yang dilakukan oleh masyarakat sekarang seperti puasa tahun baru, puasa awal Muharam jelas tidak mempunyai dalil jelas akan pengsyariatannya.

Cukuplah dengan apa yang disyariatkan oleh Rasul saw sebagaimana pesan Imam Az-Zuhri “min ALLAH Al-Risalah, wa ala Rasulihi Al- Balagh, wa alaina al-taslim” (daripada ALLAH wahyu itu, Rasul yang menyampaikan, dan kita menerimanya). Wallahualam.

(Oleh AHMAD FAUZAN YAHAYA, Ketua Pegawai Operasi Sekretariat iLMU)
 

No comments:

Post a Comment