Sunday, January 2, 2011

Pemeriksaan Kenderaan Jamin Keselamatan


Kemalangan jalan raya boleh membawa kecederaan ataupun kehilangan nyawa pemandu, penumpang dan pengguna jalan raya yang lain. Pemeriksaan kenderaan secara berkala dapat  membantu mengelakkan berlakunya kemalangan sebegini.


Pemeriksaan kenderaan terdapat dalam 10 peringkat iaitu:


Identiti kenderaan
Identiti kenderaan diperiksa menerusi nombor casis dan nombor enjin supaya sama seperti yang terdapat pada kad pendaftaran kenderaan dan untuk mengesan jika ada sebarang gangguan pada kedua-dua nombor ini. Ia melindungi pengguna daripada terbeli kenderaan bermasalah seperti kenderaan potong sambung atau kenderaan curi.


Pemeriksaan bahagian atas kenderaan
Tujuannya ialah untuk memastikan keadaan fizikal kenderaan adalah baik. Antara bahagian  yang diperiksa ialah tayar, cermin, pengelap cermin, pintu, tali pinggang keledar dan lain-lain.


Ujian Asap
Melalui ujian ini tahap karbon monoksida (CO) dan hidrokarbon (HC) yang dikeluarkan kenderaan berenjin petrol boleh diketahui agar ia tidak melebihi daripada kadar yang dibenarkan.
Pemeriksaan asap dapat memastikan kenderaan tidak mengeluarkan asap yang boleh mengancam dan mencemar kualiti alam sekitar.


Gelincir sisi
Roda perlu dijajar supaya ia bergerak dalam kedudukan tegak dan tahapnya memuaskan.


Ujian suspensi
Ujian ini dibuat untuk melihat keberkesanan sistem suspensi pada setiap gandar. Sistem suspensi yang baik bukan sahaja memberikan keselesaan semasa pemanduan tetapi juga dapat mengawal kenderaan dengan baik apabila mengambil selekoh.


Ujian brek
Ujian ke atas sistem brek termasuk brek tangan kenderaan memang sangat penting terutama ketika memandu di jalan yang berliku dan berbukit. Ia menguji kecekapan dan keseimbangan sistem brek pada setiap gandar.  


Ujian meter laju
Ujian ini ialah untuk mengesahkan had laju sebenar kenderaan adalah sama seperti yang ditunjukkan pada meter laju kenderaan. Dengan ini pemandu dapat mengawal kelajuan dan menepati had laju yang dibenarkan.


Ujian lampu puncak
Tahap intensiti lampu puncak dan halatuju posisi lampu itu diuji bagi mengelakkan kekeliruan kepada pemandu lain terutama ketika dalam keadaan cuaca buruk dan gelap.


Ujian bawah kenderaan
Pemeriksaan rapi bahagian bawah kenderaan dijalankan untuk meneliti keadaan komponen seperti lantai, paip ekzos, paip bendalir brek dan kerangka casis serta sambungan lain berkeadaan baik.


Ujian ketelusan cermin
Ujian ini mengukur tahap ketelusan cahaya pada cermin kenderaan mengikut ketelusan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.


Dengan menjalani pemeriksaan kenderaan dua kali setahun, kerosakan pada kenderaan dapat dikenalpasti dan dibaiki lebih awal. Pembaikan kerosakan mekanikal ketika masih kecil lebih menjimatkan berbanding jika ia besar dan serius. Pemeriksaan keluaran asap pula dapat mempastikan sama ada enjin berada di tahap efisien bagi mengurangkan pembaziran bahan api dan sekali gus menjimatkan petrol. Pemandu tentu berasa lebih yakin bila kenderaan berada dalam keadaan optimum dan selamat digunakan.





No comments:

Post a Comment