Friday, January 21, 2011

Penjagaan Tayar

serenemaklong.blogspot.com

Tayar adalah antara komponen terpenting bagi kereta anda, tetapi masih ramai mengabaikan aspek ini sedangkan kedegilan serta kecuaian dalam penjagaan tayar boleh mengundang masalah di jalan raya.

Penjagaan tayar tidak boleh dipandang mudah dan mesti menjadi sebahagian aktiviti pemandu kenderaan. Memilih tayar paling sesuai dengan kegunaan juga sama penting kerana tayar adalah bahan sentuhan tunggal di antara kenderaan dengan jalan.

Tayar memainkan peranan penting ketika membrek dan mesti tahan lasak untuk menangani tekanan itu serta permukaan jalan yang adakalanya tidak rata.

Tayar juga mesti memberi keselesaan ketika mengambil selekoh dan kawalan stereng dalam apa juga keadaan.

Berikut adalah antara beberapa panduan berguna.

Jangan gunakan tayar yang bunganya sudah haus. Tayar begini mudah tergelincir, terjejas akibat kesan membrek dan kurang sensitif dari segi cengkaman. Dalam keadaan jalan basah, kenderaan mungkin berbabas atau melompat dari air ketika membrek dan menyukarkan kawalan pemandu.


Pemilihan tayar tepat penting untuk keselamatan, keselesaan, kawalan dan ekonomi. Pastikan dalam tayar sentiasa sesuai. Tekanan rendah akan menjejaskan wibawa tayar manakala tekanan terlalu tinggi boleh menyebabkan sesuatu di luar dugaan dalam kawalan atau pergerakan. Membrek dengan mengejut boleh menyebabkan tayar tergelincir. Periksa tekanan tayar sekurang-kurangnya dua kali sebulan, ketika tayar dalam keadaan sejuk. Pengeluar tayar juga menekankan keutamaaan mengekalkan tekanan tayar.


Jangan memandu dalam keadaan tayar rosak. Tukar atau perbaikinya secepat mungkin.


Segera baiki tayar tidak normal. Biasakan memeriksa tekanan, penjajaran dan pusingan tayar. Elakkan tabiat buruk ketika memandu seperti memandu terlalu laju, membrek secara mengejut dan mengambil selekoh secara berbahaya.


Pastikan tayar gantian sentiasa dalam keadaan baik dan boleh digunakan serta memiliki tekanan angin mencukupi.


Jangan gabungkan tayar dengan jejari dan tayar tanpa jejari.Pada kelajuan tinggi, keadaan itu menyebabkan gangguan kestabilan kenderaan yang mengakibatkan hilang kawalan serta kecederaan serius.


Sentiasa pastikan skru tayar dipasang dengan betul dan tidak terlalu ketat. Mustahil dapat membuka skru tayar dengan pembuka tayar biasa sekiranya ia terlalu diketatkan dengan mesin pembuka tayar udara. Juga, bukan lucu sekiranya tayar kenderaan anda tercabut dan berpusing melintasi anda, menyebabkan kenderaan hanya tinggal tiga roda.


Jangan biarkan tayar lebih muatan. Carta berat dan tekanan angin biasanya terpapar di tempat mengisi angin di mana-mana stesen minyak. Tayar hanya mampu menampung muatan maksimum jika ia memiliki tekanan angin maksimum.


Jangan pasang tayar yang sudah digunakan sesuka hati melainkan anda tahu sejarahnya. Ini bermakna, anda bertuah sekirannya kakak atau abang menghadiahkan anda satu set tayar kerana dia ingin membeli tayar baru. Tetapi, belum tentu tayar itu masih baik sekiranya saranan itu diajukan kepada penjual tayar.

No comments:

Post a Comment