Wednesday, January 23, 2019

Dunia Ladang Pahala



Dunia ini ladang pahala.  Buatlah amalan tanpa rasa penat dan kecewa, tanpa kata keluh dan gelisah, tanpa rungut dan duka. 

Allah ingin lihat keberbergantungan kita kepada-Nya. Kita pula bersyukurlah di atas setiap nikmat yang dikurnia. Tersenyum saat dicerca dan dinista, kerana kita sedang belajar untuk menjadi hamba yang sentiasa merasa bahawa kita ada YANG MAHA KUASA.




Perbandingan dunia dengan akhirat seperti seseorang yang mencelupkan jari tangannya ke dalam laut, kemudian diangkat dan dilihat apa yang diperolehnya. 

Ternyata air laut itu sekadar membasahi jari semata-mata, tidak melekat sedikit pun segala khazanah yang ada di dalamnya.

Kita dan dunia umpama dalam perjalanan menunggang kenderaan, kemudian kita singgah berteduh di bawah pohon untuk beristirehat. Setelah itu kita meninggalkannya.

Janganlah kita mencaci dunia kerana ia adalah wadah untuk meraih kebaikan dan menyelamatkan diri dari kejahatan.

Allah melindungi dan menyayangi hamba-Nya yang mukmin dari godaan dunia. Sama seperti kita melindungi orang tersayang yang sedang sakit dan cuba mengelakkan dia dari makan makanan dan minum minuman yang kita khuatir akan mengganggu kesihatannya.


Jadi Orang Baik Dan Buat Kebaikan





Jadilah orang baik, dan carilah kebaikan. Ia adalah anugerah ilahi yang tidak akan diperolehi kecuali melalui jalan Takwa.

Allah, DIA-lah Tuhan yang menggengam hati kita, agar jiwa kita hanya mengingati-Nya. Tidak ada suatu apa pun boleh menentukan untung nasib dalam hidup kita kecuali dengan izin-Nya.

Kebahagiaan ialah ketenangan dalam segala urusan hidup, ketenangan dalam ibadah kepada Allah, manisnya ibadah bila kita tenang.

Sebagai khalifah Allah, jika kita tidak mengimarahkan dunia mengikut hukum Allah,  kita akan sentiasa berada dalam kemurkaan-Nya, berada dalam keadaan gelisah tidak keruan.

Mari kita perbetulkan niat, perbaiki diri untuk menjadi Hamba Allah yang bersyukur. Seterusnya mendapatkan ketenangan dan kebaikan di dunia dan kebaikan di negeri Akhirat.