Thursday, May 11, 2017

Kesempurnaan Agama Dan Kehidupan



Daripada Saidina Khalid bin Al-Walid r.a. yang berkata: "Telah datang seorang Arab Badwi kepada Rasulullah s.a.w. dan dia menyatakan tujuannya:

"Wahai Rasulullah...!
Kedatanganku untuk bertanya engkau mengenai apa yang akan menyempurnakan diriku di dunia dan akhirat.”

Rasulullah berkata kepadanya:
“Tanyalah apa yang engkau kehendaki.”

Arab Badwi itu berkata:
"Aku mahu menjadi orang alim."

Baginda menjawab:
"Takutlah kepada Allah S.W.T."

Dia bertanya lagi:
“Aku mahu menjadi orang paling kaya.”

Rasulullah menjawab:
“Jadilah orang yang yakin pada diri.”

Bertanya lagi Arab Badwi itu:
“Aku mahu menjadi orang yang adil.”

Lalu dijawab oleh Rasulullah:
“Kasihanilah manusia lain seperti engkau kasih pada diri sendiri.”

Dia bertanya:
“Aku mahu menjadi orang paling baik.”

Baginda menjawab:
“Jadilah orang yang berguna kepada masyarakat.”

Dia bertanya lagi:
“Aku mahu menjadi orang istimewa di sisi Allah.”

Dan dijawab oleh Rasulullah:
“Banyakkan zikrullah.”

Arab Badwi itu bertanya:
“Aku mahu sempurnakan imanku.”

Baginda menjawab:
“Perelokkan akhlakmu.”

Dia bertanya lagi:
“Aku mahu termasuk dalam golongan orang yang muhsinin (baik). “

Baginda menjawab:
"Beribadatlah kepada Allah seolah-olah engkau melihat-Nya dan jika engkau tidak berasa begitu, sekurang-kurangnya engkau yakin Dia tetap melihat engkau.”

Arab Badwi bertanya lagi:
“Aku mahu termasuk dalam golongan yang taat."

Lalu dijawab baginda:
“Tunaikan segala kewajipan yang difardukan.”

Dia bertanya lagi:
“ Aku mahu berjumpa Allah dalam keadaan bersih daripada dosa.”

Rasulullah menjawab:
“Bersihkan dirimu daripada najis dosa.”

Dia terus bertanya:
“Aku mahu dihimpun pada hari kiamat di bawah cahaya.”

Baginda menjawab:
“Jangan zalimi sesiapa.”

Dia bertanya lagi:
“Aku mahu dikasihi Allah pada hari kiamat.”

Baginda berkata:
“Kasihanilah dirimu dan kasihanilah orang lain.”

Dia bertanya:
"Aku mahu dihapuskan segala dosaku.”

Baginda menjawab:
“Banyakkan beristighfar.”

Dia berkata:
“Bagaimana pula aku mahu menjadi semulia-mulia manusia."

Lalu baginda menjawab:
“Jangan mengesyaki sesuatu perkara pada orang lain.”

Dia bertanya:
“Aku mahu menjadi segagah-gagah manusia.”

Baginda menjawab:
“ Sentiasa menyerah diri (tawakal) kepada Allah.”

Dia bertanya lagi:
“Aku mahu dimurahkan rezeki oleh Allah.”

Baginda menjawab:
“Sentiasa berada dalam keadaan bersih (daripada hadas).”

Dia bertanya:
“Aku mahu termasuk dalam golongan yang dikasihi Allah dan rasul-Nya.”

Baginda menjawab:
“Cintailah segala yang disukai Allah dan Rasul-Nya.”

Dia bertanya:
“ Aku mahu diselamatkan daripada kemurkaan Allah pada hari kiamat.”

Baginda menjawab:
“Jangan marah kepada orang lain.”

Dia bertanya lagi kepada Rasulullah:
“Aku mahu diterima segala permohonanku.”

Baginda menjawab:
“Jauhilah makanan haram.”

Dia bertanya:
“ Aku mahu Allah menutup segala keaibanku pada hari kiamat.”

Baginda pun menjawab:
“Tutuplah keburukan orang lain.”

Dia bertanya:
“Siapa yang terselamat daripada dosa?”

Rasulullah menjawab:
“Orang yang sentiasa mengalir air mata penyesalan, mereka yang tunduk pada kehendak-Nya dan mereka yang ditimpa sakit.”

Dia terus bertanya:
“Apakah sebesar-besar kebaikan di sisi Allah?”

Baginda menjawab:
“Elok budi pekerti, rendah diri dan sabar dengan ujian (bala).”

Dia bertanya lagi:
“ Apakah sebesar-besar kejahatan di sisi Allah?”

Baginda menjawab:
“Buruk akhlak dan sedikit ketaatan.”

Dia bertanya:
“Apakah yang meredakan kemurkaan Allah di dunia dan akhirat?”

Baginda menjawab:
“Sedekah dalam keadaan sembunyi (tidak diketahui) dan menghubungkan kasih sayang.”

Dia bertanya lagi:
“Apa yang akan memadamkan api neraka pada hari kiamat?”

Baginda menjawab:
“Sabar di dunia dengan bala dan musibah.”

Dan telah berkata Imam Mustaghfirin: “Aku tidak pernah menemui hadis sebegini lengkap merangkumi KESEMPURNAAN AGAMA DAN KEHIDUPAN.”

#MuhasabahDiri

Pilih Sahabat - Bukan Sekadar Kawan



Suatu hari, Tok Wan dan cucunya, Zek berbalas mesej dalam WhatsApp:

Tok Wan:
Assalamualaikum, sayang.
Selamat hari jadi yang ke 9. Tok Wan doakan Zek jadi anak soleh yang selalu berjasa pada Mama dan Ayah.

Zek:
Waalaikumussalam. Terima kasih, Tok Wan. InsyaAllah.

Tok Wan:
Macam mana sekolah?

Zek:
Sekolah best, Tok Wan. Zek ada ramai kawan. Cikgu pun baik-baik belaka.

Tok Wan:
Baguslah kalau macam tu. Hati-hati pilih kawan. Cari kawan yang boleh jadi sahabat, bukan setakat kawan saja.

Zek:
Eh, ada beza ke kawan dengan sahabat?

Tok Wan:
Memang ada. Kawan biasa cuma untuk masa seronok je. Time kita sedih atau susah, dia hilang entah ke mana. Zek pilihlah kawan yang boleh jadi sahabat.

Zek:
Macam mana nak pilih sahabat?

Tok Wan:
Pilih kawan yang berakal, berperangai baik, tak suka cakap bohong dan soleh. Dia akan bantu Zek jadi budak baik dan taat pada Allah. Itulah sahabat.

Jangan pilih orang bodoh, sombong dan buruk perangai. Takut-takut nanti Zek terikut-ikut macam dia, jadi member geng jahat dan buli budak-budak lain.

Zek:
Terima kasih Tok Wan sebab bagi nasihat. InsyaAllah Zek akan ingat sampai bila-bila.

=======

Allah berfirman:

"(Pada hari kiamat kelak) orang yang bersahabat saling bermusuhan di antara satu sama lain, kecuali orang-orang yang bertaqwa." ( Al-Zukhruf ayat 67).

Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Seseorang itu dikenali berdasarkan sahabatnya, maka berwaspadalah dalam memilih sahabat." (Hadis Riwayat Ahmad)

#SanahHelwahSayang.
#NasihatIniBuatMu