Thursday, February 11, 2016

Allah Maha Hebat

Orang kaya nampak hebat sebab ada orang miskin. Orang bijaksana nampak hebat sebab ada orang jahil. Majikan nampak hebat sebab ada pekerja.Raja dan pemimpin nampak hebat sebab ada rakyat jelata.Kita nampak hebat sebab adanya golongan yang boleh dijadikan "punching bag". Di sisi Allah kita tidak ada apa-apa dan bukan siapa-siapa. ALLAH MAHA HEBAT boleh saja MEMINDAHKAN kedudukan itu kepada mana-mana hamba yang dikehendakiNya.Peliharalah diri kita dari sifat angkuh dan sombong. Abdullah bin Amr bin al Ash meriwayatkan, Rasulullah s.a.w. bersabda: "Manusia yang penyayang dan penyantun akan diberi RAHMAT oleh Allah. Oleh itu sayangilah penghuni bumi, pasti penghuni langit akan menyayangi kamu." (HR Abu Dawud)

Wednesday, February 10, 2016

Tebus Dosa Silam Dengan Taubat

Langkahlah menuju Allah dengan menebus dahulu dosa-dosa silam melalui taubat. Sebaik-baik solat taubat nasuha ialah menyesali perbuatan lalu dan berjanji tidak mengulanginya. Gabungkan solat ini dalam qiamullail di sepertiga malam. Banyakkan bersedekah dan berwakaf untuk institusi tahfiz, anak yatim, orang miskin dan yang memerlukan. Rajin-rajinlah mengerjakan perkara-perkara sunat seperti puasa Isnin-Khamis juga solat sunat Rawatib. Usahakan membaca dan mentadabur al Quran, berzikir, berwirid dan berselawat. Jangan lupa memperluaskan kerja-kerja kebajikan tanpa mengira siapa pun penerimanya. Inilah cara manusia menyambungkan hubungan dengan Allah.