Sunday, February 17, 2013

Modal Untuk Berniaga


serenemaklong.blogspot.com


RAMAI yang hendak memulakan perniagaan, tetapi sering kali yang menjadi penghalang adalah kekurangan modal. Kekurangan modal sememangnya menghentikan usaha kita hendak menjalankan sesuatu perniagaan, tetapi adakalanya juga 'modal' hanya sekadar alasan untuk kita melengah-lengahkan masa memulakan perniagaan.

Ketika saya baru hendak mulakan perniagaan lebih kurang 15 tahun lalu, sememangnya saya tidak punyai modal. Ketika itu, saya sedang belajar di luar negara di bawah tajaan kerajaan. Oleh itu, untuk mencari pendapatan tambahan, semestinya perlu bekerja. Selama 2 tahun saya bekerja sebagai tukang cuci di sebuah pasaraya kira-kira 2 kilometer dari Universiti. Setiap pagi selepas subuh lagi saya akan berjalan 2 kilometer pergi dan balik dalam kesejukan pagi untuk bekerja sebagai tukang cuci sebelum kuliah bermula.
Walaupun mendapat gaji minimum sebagai pencuci, tetapi, Alhamdulillah dapat juga mengumpul wang sedikit demi sedikit untuk membantu matlamat saya memulakan perniagaan!

Minggu lepas saya terdengar keluhan rakan yang  tidak mempunyai modal untuk mulakan perniagaan. Teringat pula kisah saya bertungkus lumus untuk mendapatkan modal. Adakah sememangnya dia tidak mempunyai modal, ataupun tidak mahu berusaha lebih untuk mendapatkan modal perniagaan?

Dalam perniagaan saya sering kongsikan konsep yang dikenali sebagai 'boot strapping', maksudnya,  jangan meminjam modal dari mana-mana untuk memulakan perniagaan (tidak kira badan kewangan atau keluarga dan rakan-rakan).

Mulakan perniagaan anda dengan wang simpanan  secara kecil-kecilan. Keuntungan yang diterima dari perniagaan kecil itu dipusingkan kembali untuk memajukan dan mengembangkan perniagaan anda.

Ramai jutawan lahir dari pendekatan bootstrap apabila memulakan perniagaan (termasuk saya sendiri). Dengan menggunakan konsep bootstrap, anda akan lebih berhati-hati dengan wang yang dilaburkan. Anda juga akan lebih mempelajari dari usaha sendiri. Ia akan memaksa anda menggunakan inovasi dan kreativiti anda dalam menguruskan perniagaan anda - mulakan kecil dan perlahan-lahan kembangkan perniagaan dengan ilmu dan pengalaman yang dikumpulkan melalui bootstrap.

Sekiranya anda ingin memulakan perniagaan dengan pinjaman modal RM30,000 - RM40,000, fikir sekali lagi. Statistik mengatakan  bahawa lebih dari 90% perniagaan baru gagal dalam tahun pertama sahaja! Saranan saya, mulakan perniagaan kecil dahulu dan kembangkannya perlahan-lahan; Bootstrap!

(Tulisan oleh Irfan Khairi)

Saturday, February 16, 2013

Ular Dan Zina


serenemaklong.blogspot.com



USTAZ Abdullah Mahmud, seorang penceramah bebas, kaunselor dan perawat, sering didatangi oleh golongan yang mengadu menghadapi masalah akibat terlanjur, terutama wanita yang mengandung setelah berzina di merata tempat tidak kira hutan, hotel, rumah kosong, dalam semak, kereta dan sebagainya.

Dia menitiskan air mata apabila mengingatkan pergaulan bebas anak muda yang kian menjadi-jadi. Mereka langsung  tidak takut bala Tuhan, tidak dapat membezakan antara halal dan haram. 

Suatu masa sepasang lelaki dan wanita dalam lingkungan 20an yang sudah bertunang mendatangi  pejabatnya di Batu Caves, Selangor. Lelaki itu kelihatan malu untuk menceritakan masalahnya namun digesa oleh tunangnya agar segera menceritakan masalah mereka. 

Lelaki itu mengatakan sejak setahun lalu, ketika tidur, dia selalu nampak ular sawa dalam rumah. Begitu juga dengan tunangnya yang sering menjerit-jerit ketika tidur. Ular besar itu datang untuk membelit. Mereka jadi fobia terhadap ular dan akibatnya badan mereka tidak bermaya akibat sering terkejut.

Mendengar masalah itu, Ustaz Abdullah termenung sejenak. Dia memikirkan “penyakit” aneh yang dihadapi oleh pasangan itu. Lantas dia mengajukan soalan rambang.

“Awak pernah pukul ular ke?” 

Lelaki itu menggeleng kepala. Mereka telah pergi menemui beberapa orang bomoh meminta air penawar agar kelibat ulat tidak tergambar lagi dalam bayangan mata tetapi semuanya tidak menjadi.  

“Kalau tidak ada sebab tertentu, perkara macam ini takkan berlaku. Berdasarkan pengamatan saya, awak berdua bukan terkena sihir,” kata Ustaz Abdullah yang menyedari pasangan itu cuba menyembunyikan cerita sebenar.
“Tak perlu malu. Saya hendak tahu ini pun, bukannya saya bermaksud hendak campur hal awak tapi kalau tahu puncanya, mudahlah sikit saya berikhtiar kalau-kalau ada serasi, Allah akan makbulkan permohonan kita,” pujuk Ustaz Abdullah lagi.

Wajah mereka tiba-tiba berubah. Si wanita menitiskan air mata manakala yang lelaki tunduk memandang lantai. Namun setelah yakin dengan keikhlasan Ustaz Abdullah untuk membantu, akhirnya pasangan itu menceritakan segala-galanya.

Sebenarnya kejadian itu berlaku sebelum mereka bertunang. Mereka yang mengaku bekerja di sebuah syarikat yang sama di Shah Alam, Selangor mengatur janji hendak pergi ke sebuah tempat perkelahan. Mereka yang kebetulan bekerja syif malam telah mengambil keputusan untuk pergi pada hari biasa kerana pada hari tersebut orang tidak ramai, jadi mudahlah mereka memadu asmara dan bercengkerama.

Sebaik sampai di kawasan perkelahan yang mempunyai sebatang anak sungai itu, dia menyorokkan motosikal di dalam semak. Tempat mereka bersama itu terlindung di sebalik pokok balak berhampiran gigi air sungai. Pada waktu tengah hari tempat itu memang sunyi.

Kertas suratkhabar dijadikan alas untuk mereka berbaring. Mereka  berzina tanpa menyedari di dalam rumpun semak di hujung kaki  berlengkar seekor ular sawa sebesar paha orang dewasa sedang mengeram. 

“Kaki saya tertendang ular itu menyebabkan dengan pantas ia terus menyerang dan membelit kami berdua. Ia berlaku dengan pantas sekali, tidak sempat kami hendak melarikan diri,” cerita lelaki itu dengan perasaan kesal. Akibat belitan ular sawa itu, mereka berdua merasakan ajal mereka akan tiba pada bila-bila masa kerana setiap kali mereka meronta, semakin kuat ular itu menjerut tubuh mereka.

“Saya menjerit sekuat hati meminta tolong. Perasaan malu sudah tidak ada lagi. Yang penting, nyawa kami dapat diselamatkan.” Keadaan kekasihnya semakin lemah. Mukanya pucat lesi seperti sudah kehilangan darah. Lelaki itu tidak mampu berbuat apa-apa. Kudratnya tidak terdaya menandingi ular besar itu.

Dalam keadaan cemas, tiba-tiba muncul seorang pemuda dari sebalik semak sambil memegang sebatang kayu sebesar betis dan memukul kepala ular itu. Akhirnya, ular itu terkulai dan belitannya terurai.

“Saya tidak mampu bergerak lagi, kekasih saya pula pengsan. Pemuda itu memakaikan semula baju kami. Kemudian dia pergi meminta bantuan orang untuk menghantar kami ke hospital. Dia hanya seorang diri. Saya tidak pasti siapa pemuda itu dan dari mana dia datang. Saya syak mungkin pada mulanya dia sedang mengintai kami. Akibat belitan ular itu saya patah satu tulang rusuk manakala kekasih saya patah dua batang tulang rusuk.”

Empat bulan selepas kejadian itu, mereka melangsungkan pertunangan dan merancang untuk berkahwin dalam masa terdekat setelah didesak oleh keluarga yang mengetahui kejadian itu. Bagi mereka, masalah sering dihantui oleh bayangan ular lebih perit daripada menanggung kesakitan akibat patah tulang rusuk. Akibat “badi” itu, tidur mereka terganggu setiap malam dan walau si mana sekalipun mereka berada.

Mendengar penjelasan itu, fahamlah Ustaz Abdullah apa sebenarnya yang berlaku. Namun sebelum merawat, dia menasihatkan mereka agar bertaubat kerana telah melakukan perbuatan zina. Mungkin itu adalah balasan Tuhan di dunia di atas perbuatan mereka.

“Awak berdua patut bersyukur. Allah sayangkan awak berdua. Dia bagi azab kecil kepada awak berdua supaya awak insaf dan segera bertaubat. Kalau nak ikutkan, ramai orang berzina tetapi Allah tidak mahu menunjukkan balanya di dunia ini. Kerana tidak pernah dijatuhkan bala, mereka berterusan melakukan zina.”

Ustaz Abdullah memberi sebotol air penawar yang digunakan untuk mandi dan minum, sambil menasihatkan pasangan itu agar sering mengingati Tuhan semoga penyakit fobia mereka hilang. Mereka pulang dengan wajah riang.

Tidak lama kemudian lelaki itu menghubungi Ustaz Abdullah memberitahu mereka berdua telah sembuh sepenuhnya dan menjemput beliau hadir ke majlis perkahwinan mereka.

DIRIWAYATKAN OLEH IBNUL JAUZI BAHAWA :
SESUNGGUHNYA NERAKA JAHANAM MEMILIKI TUJUH BUAH PINTU. YANG PALING MENAKUTKAN, PALING PANAS DAN PALING BUSUK BAUNYA ADALAH PINTU YANG DIPERUNTUKKAN KEPADA PARA PENZINA YANG MELAKUKAN PERBUATAN TERSEBUT SETELAH MENGETAHUI HUKUMNYA.”

(Sumber: Adaptasi daripada artikel yang diterbitkan di http://mran3238.wordpress.com/)