Thursday, September 7, 2017

Pakej VVIP Tidak Mendapat Nikmat Ibadah Haji?




"Semasa memulakan perniagaan dahulu, hidup kami sangat susah. Pernah belanja bulanan kami hampir licin. Cuma tinggal RM 200 sahaja sehingga kami terpaksa mencampur milo ke dalam susu anak kami. Kemudian, Alhamdulillah perniagaan kami mendapat rahmat. Kami mendapat suatu peluang yang bagus dan sedikit keuntungan. Kami lalu berhajat menunaikan haji. Kami meneliti banyak pakej haji, ada yang mahal, ada yang sederhana dan ada yang murah. 

Kami sangat bersyukur atas kurniaan rezeki Allah kepada kami. Apa yang kami faham, ibadah haji terkandung padanya "NILAI PENGORBANAN." Kami lalu membuat keputusan mengorbankan harta kami kepada Allah sebagai tanda syukur dengan mengambil pakej haji yang mahal kerana kami "MAHU BERIKAN YANG TERBAIK DAN PALING TINGGI TAQWANYA UNTUK ALLAH DALAM IBADAH HAJI KAMI INI."

Kami keluar bersantai mencari ayam goreng Mekah yang terkenal. "Al-Baik" namanya. Pasangan suami isteri yang menyertai kami ini masih muda belia belum pun mencecah 40 umurnya, tapi memiliki kesedaran Islam yang sangat baik. Bahkan isterinya adalah saudara baru berbangsa Cina.
Justifikasi pemilihan pakej mahal oleh mereka itu terpamer prinsipnya dalam kisah 2 anak Adam AS:
وَاتْلُ عَلَيْهِمْ نَبَأَ ابْنَيْ آدَمَ بِالْحَقِّ إِذْ قَرَّبَا قُرْبَانًا فَتُقُبِّلَ مِنْ أَحَدِهِمَا وَلَمْ يُتَقَبَّلْ مِنَ الْآخَرِ قَالَ لَأَقْتُلَنَّكَ ۖ قَالَ إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ اللَّهُ مِنَ الْمُتَّقِينَ

"Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil):" 

SESUNGGUHNYA AKU AKAN MEMBUNUH MUKAMU!". (HABIL) MENJAWAB: "SESUNGGUHNYA ALLAH HANYA MENERIMA (KORBAN) DARI ORANG YANG BERTAKWA; (al-Ma'idah [5:27]).

Korban Habil yang diberikan dalam bentuk terbaik (kambing yang gemuk dan paling disayanginya) diterima Allah, manakala korban Qabil (buahan yang tidak begitu berkualiti) ditolak Allah (Tafsir Ibn Kathir).

Pasangan muda ini menyatakan dalam pakej yang mereka sertai pada tahun ini ada seorang lelaki yang sanggup menghabiskan sejumlah wang yang besar demi menghantar kedua ibu bapanya menunaikan haji. Apabila ditanya mengapa sanggup berhabis sehingga hampir RATUSAN RIBU RINGGIT? Ini jawapannya:
"Saya membesar dengan baik dan berjaya dalam hidup seperti sekarang kerana jasa kedua ibu bapa saya. Jadi apa salahnya saya menggembirakan mereka dengan pakej haji terbaik. Walau mahal sekalipun ia tetap tidak mampu saya balas dengan segala pengorbanan mereka kepada saya. Ini tanda sayang dan terima kasih saya kepada ibu bapa saya."

Sekali lagi saya tergamam. Secara tidak langsung, berbuat baik kepada kedua ibu dalam "berbagai dimensinya" memang dituntut Allah:
وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِنْدَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُلْ لَهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُلْ لَهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا
Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, "DAN HENDAKLAH ENGKAU BERBUAT BAIK KEPADA IBU BAPA." Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun) (al-Isra'[17:23]).

Jangan pula kita kata, memang kita perlu bersyukur dan berbuat baik kepada ibu bapa dengan harta yang banyak, sedangkan di luar sana masih ramai orang miskin yang memerlukan bantuan. Berbaik sangkalah! Kita tidak tahu berapa banyak yang sudah diinfak mereka kepada orang miskin dan dihabiskan untuk perjuangan Islam.

Di akhir bicara santai kami sambil meratah ayam Al-Baik, pasangan muda ini mengeluh:
" Kami tidak bersetuju apabila ada sesetengah orang agama yang gopoh menyindir orang yang mengambil pakej mahal dalam haji dengan ucapan - ORANG YANG DATANG HAJI DENGAN PAKEJ MAHAL TIDAK DAPAT MERASAI NI'MAT IBADAH HAJI. Mudahnya mereka menghukum sebelum mengetahui latar belakang pemilihan kami."

Ayam Al-Baik memang unik dan sedap. Sambil mengunyah saya berkata:
"Kerja haji cuma 6 hari bermula dari hari Tarwiyah pada 8 Zulhijjah sehingga hari Tasyriq. Dalam 6 hari kerja haji itu, yang mengambil pakej mahal tetap merasai kesusahan haji yang sama. Mereka sama duduk bergelumang debu dalam suhu mencecah 50°C di Arafah, sama berpanas dalam khemah di Mina dan sebagainya. Setahu saya apa yang membezakan mereka adalah hotel dan bas yang lebih selesa sebelum dan selepas musim haji. Jika kita bersesak naik bas kecil, mereka naik bas yang lebih luas. Jika kita berkongsi 4 orang sebilik dalam hotel sederhana yang jauh jaraknya, mereka berkongsi 2 orang sebilik dalam hotel 5 bintang yang dekat dengan Masjidil Haram. Pastinya kemudahan itulah yang menjadikan harga pakej mereka lebih tinggi."

Bicara santai malam itu membuka mata saya supaya tidak mudah "MENGHUKUM ATAU MEMUKUL BORONG" dalam sesuatu isu. Ustaz Ahmad Husni selaku pembimbing Haji yang turut serta bersantai pada malam ini menyampuk:
"Perbincangan malam ini yang membuka luas ufuk minda kita adalah antara manafaat Haji yang ditegaskan oleh Allah:
لِيَشْهَدُوا مَنَافِعَ لَهُمْ وَيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ فِي أَيَّامٍ مَعْلُومَاتٍ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُمْ مِنْ بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ ۖ فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ
"Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin (al-Hajj [22:28]).

Jika kita tak mampu membeli kereta selesa yang mahal harganya, jangan pula kita mengejek pemilik kereta tersebut sebagai sombong dan tidak merasai ni'mat bermujahadah dalam kereta kecil yang murah.

Pun begitu, tidak dinafikan ada juga yang bermewah dengan tujuan bermudah dalam haji sehingga mengorbankan banyak falsafah haji. Sangat tidak adil jika kita memborong semuanya dalam satu persepsi.
Sempurnakan haji anda secara fizikal dan rohani. Jangan disibukkan menghukum orang lain kerana "HANYA ALLAH YANG MAHA MENGETAHUI HAJI SIAPA YANG MABRUR." Tingkatan haji mabrur pula bukan letaknya pada nilai harga pakej, tetapi pada penjagaan 3 pagar ini:
الْحَجُّ أَشْهُرٌ مَعْلُومَاتٌ ۚ فَمَنْ فَرَضَ فِيهِنَّ الْحَجَّ فَلَا رَفَثَ وَلَا فُسُوقَ وَلَا جِدَالَ فِي الْحَجِّ ۗ وَمَا تَفْعَلُوا مِنْ خَيْرٍ يَعْلَمْهُ اللَّهُ ۗ وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَىٰ ۚ وَاتَّقُونِ يَا أُولِي الْأَلْبَابِ
(Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, "MAKA (1) TIDAK BOLEH MENCAMPURI ISTERI, DAN (2) TIDAK BOLEH MEMBUAT MAKSIAT, DAN (3) TIDAK BOLEH BERTENGKAR, DALAM MASA MENGERJAKAN IBADAT HAJI." Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah; dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah); dan bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya) (al-Baqarah [2:197]).

Rasulullah SAW juga menegaskan haji Mabrur bukan dinilai pada "harga pakej" tetapi sejauh mana kualiti hati orang yang mengerjakannya:
من حج لله فلم يرفث ولم يفسق رجع كيوم ولدته أمه
Sesiapa yang menunaikan haji, lalu dia tidak mencampuri (isterinya) dan tidak melakukan maksiat, akan kembali (bersih dari dosa) seperti hari dia dilahirkan ibunya (Sahih al-Bukhari & Muslim).

[Catatan Ustaz Haji  Abdullah Bukhari Abdul Rahim] 
Makkah al-Mukarramah. Haji Tahun 1436H.



Jangan marah saat ada yang MENGHINA kita, doakan hinaan itu berbalik menjadi KEMULIAAN..

Jangan marah saat ada yang MEMBENCI kita, doakan kebencian itu menjadi KASIH-SAYANG..

Jangan marah saat ada yang MENYAKITI kita, doakan sakit itu berubah menjadi KEBAHAGIAAN..

Jangan marah saat ada MASALAH, doakan masalah kita itu menjadi ladang AMAL yang bermanfaat.

Jadikan KESALAHAN menjadi PENGALAMAN yang terbaik nanti agar tidak diulangi lagi..

[ Luahan Hati Ahmad Ezry]



Hadapi Kesukaran Ketika Tunai Haji Dengan Tabah



Catatan Amil Abrar:


Ini gambar saya sedang tidur di luar khemah di Mina diambil oleh rakan sekhemah saya. 

Ruang yang ada adalah di sebelah tong sampah berpusat. Dan ianya terletak di pintu masuk ke penempatan kami. Sebagai light sleeper saya terjaga beberapa kali bila ada yang berjalan dengan kuat atau bercakap - cakap. Bau sampah tak payah cakaplah. Dengan debu, sejuk malam lagi. 

Khemah kami terlalu penuh sehingga memaksa sebahagian dari kami untuk volunteer tidur di luar. Walaupun telah tidur bahu ke bahu, masih lagi tidak muat. Khemah yang biasanya memuatkan 12-14 orang telah menjadi 18 orang. Sebagai jemaah paling muda dalam khemah saya, selayaknya saya mendahulukan para seniors yang lebih memerlukan.

Rasa nak merungut? Of course ada.
Rasa geram. Tak dapat saya nafikan.

Sampai terlintas di kepala saya, "Apa masalah Tabung Haji ni? Tak kira betul - betul ke? Aku ni dahlah tengah sakit kaki, sakit badan, macam macam sakit, kena tidur luar lagi." Bengang, geram, marah, kecewa semua ada.

Bukan saya sorang, tetapi beberapa jemaah lain di khemah yang sama turut kena tidur luar. Cuma saya lihat jemaah muda banyak mengalah.
.
Tapi saya istighfar dan berusaha membuat fact finding sendiri kenapa benda ini boleh berlaku, dan saya mendapati beberapa perkara:

1) Penempatan di Mina bukan diuruskan Tabung Haji, tetapi oleh organisasi The Establishment of Motawifs of South East Asia Pilgrims yang dikenali secara mudah sebagai Muasasah Asia Tenggara.


2) Kuota Haji Malaysia 2013 - 2016 adalah 22,230 orang setahun.

3) Namun tahun ini, atas hubungan yang makin erat antara Kerajaan Saudi dan Malaysia, pada mulanya kuota ditambah kepada 30,200.


Justeru, persiapan adalah diusahakan Tabung Haji dan Muasassah Asia Tenggara untuk memenuhi jemaah berjumlah 30,200 orang.

4) Pada saat akhir, Raja Salman berkenan untuk memberi kuota tambahan untuk mengerjakan haji dan sejumlah 12,000 tempat lagi diberikan pada Malaysia menjadikan total 42,200. Pertambahan sebanyak 19,920 tempat! Hampir 100 peratus dari kuota tahun - tahun sebelumnya!


Peningkatan mengejut ini, membolehkan Tabung Haji untuk mengeluarkan surat tawaran haji tambahan. Penerbangan akhir yang dijadualkan pada asalnya 24 Ogos menjadi 28 Ogos. Cuma adjustment sukar dibuat di Arafah, Muzdalifah dan Mina kerana faktor tempat. Jemaah makin bertambah, tetapi ruang kawasan itu sangat terhad kerana kawasannya telah ditetapkan syariah. Dan dalam masa suntuk, tak banyak adjustment boleh dibuat. Kebanyakan kami di dalam trip KT80 ini baru menerima surat beberapa hari sebelum terbang.

Dan antara penerima manfaat dari pertambahan kuota saat akhir ini adalah saya sendiri. Kalau tidak kerana pertambahan ini, mungkin saya juga tidak akan menerima panggilan haji tahun ini.
.
Ianya membuat saya terduduk sejenak. Saya akan berada di Tanah Suci selama 40 hari. Ketidakselesaan ini hanyalah untuk tempoh sekitar 5-6 hari, selebihnya 30 lebih hari saya ditempatkan dengan selesa di hotel. 

Ketiadaan tempat tidur di malam hari ini juga saya gunakan dengan berjalan-jalan sekitar Mina bagi mengisi masa menunggu Subuh. Masya Allah, begitu ramai jemaah negara lain yang tidur bergelimpangan di tepi-tepi jalan raya. Kalau mereka boleh cekal, kenapa saya nak merungut.

Kalau diberi pilihan sebelum saya datang ke sini, 6 hari dengan tidur tidak selesa, dan bilik airnya yang punya panjang beratur, atau diberi peluang untuk mengerjakan haji, saya tetap akan jawab, saya akan tahan 6 hari tu, dan berilah saya peluang menunaikan haji. Belum pasti lagi tahun - tahun akan datang, saya akan diberi peluang. Dan saya percaya itu juga akan jadi jawapan ramai rakan - rakan saya, terutamanya yang belum pernah mengerjakan haji.

Saya juga percaya bahawa ini ada hikmahnya. Dan saya yakin Allah akan turut menilai kesukaran yang dihadapi ini. 

Dan saya yakin bahawa pertambahan kuota saat akhir ini juga mengejutkan Tabung Haji, dan saya yakin bahawa mereka akan lebih well prepare in future. 

Terima Kasih Tabung Haji kerana masih sudi menerima kami saat akhir dan cuba sedaya upaya, atas keterhadan yang ada untuk accommodate kami. Terima kasih juga kepada para petugasnya yang sentiasa sedia melayan sebarang rungutan dan kerenah kami.

Terima Kasih Muassasah Asia Tenggara kerana kerap berusaha mencari jalan menyediakan.

Terima Kasih Kerajaan Arab Saudi di atas kesudian memberikan kuota tambahan.

Kepada rakan - rakan jamaah, sama - sama kita ambil positif, dan bertekad serta berusaha untuk memabrurkan haji ini. Kesukaran adalah rencah yang memaniskan ibadah ini. Insya Allah satu hari nanti, kita akan lihat kebelakang dan tersenyum dengan fasa yang sedang dilalui sekarang.