Thursday, July 3, 2014

Perbezaan Ikan Keli Halal Dan Haram

Ikan keli haram yang diternak oleh orang bukan Islam diberi makan perut ayam, bahan buangan, bangkai dan organ dalaman babi. Keli ini kepalanya berbentuk 'V', badan mirip torpedo dengan warna hitam berkilat, bahagian bawah badan berwarna putih melepak. Bahagian di antara bawah kepala dan badan berwarna kuning. Apabila digoreng ia akan meletup kerana banyak lemak. Ini berbeza dengan ikan keli halal yang diberi makan palet halal iaitu campuran beras hancur, tepung ikan, ikan bilis, minyak sawit, bahan buangan kelapa sawit, kiambang dan vitamin. Kepalanya berbentuk 'U' dengan badan yang tirus. Ia berwarna hitam kelabu dan tidak berkilat. Bahagian bawah badannya berwarna putih kelabu. Tiada warna kuning kelihatan di bahagian antara bawah kepala dan badan. Bila digoreng tidak meletup. Perhatikan semua ini ketika anda hendak membeli ikan keli di pasar.

Wednesday, July 2, 2014

Puasa Beluncas Puasa Ular

Puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga. Mulut, mata, telinga, kaki, tangan dan minda pun patut berpuasa bagi mencapai kesempurnaan puasa zahir batin.
Pada kesempatan Ramadan ini, marilah kita berpuasa seperti ulat beluncas, makan untuk membekalkan diri ketika menjalani kehidupan fasa kepompong. Setelah tempoh berpuasa dalam fasa kepompong selama dua minggu itu selesai, si beluncas yang hodoh menjadi rama-rama cantik. Analoginya, apabila seseorang itu berpuasa zahir dan batin, dia bakal menjadi hamba yang baik di sisi Allah, seindah rama-rama.
Kita elakkan berpuasa seperti ular. Tempoh puasa ketika bersalin kulit tidak menjadikan ular itu lebih jinak dan comel. Sebaliknya ia bersikap agresif, berbisa dan menakutkan.
Marilah jalani bulan penuh barakah ini sebaik mungkin. Andai ini Ramadan terakhir, sekurang-kurangnya kita sudah berusaha menjadi hamba yang dirahmati-Nya, diredhai-Nya dan dicintai-Nya. Aamiin.