Saturday, April 27, 2013

Universiti Kehidupan






ANAK Melayu Pertama Menjadi Pensyarah di Universiti Oxford (lepasan dari sistem Pondok)

Siapa kata belajar pondok tiada masa depan? Yang tiada masa depan itu disebabkan belajar hanya sekerat. Bila terasa diri sudah cukup alim tiada kemahuan untuk berusaha lebih lagi.

Kalau betul-betul belajar agama dan jadi pakar dalam bidang agama, tidaklah susah kerana Allah akan pelihara. Buktinya, anak melayu pertama menjadi menjadi pensyarah di Universiti Oxford adalah bekas lepasan pondok dan terus menambahkan lagi ilmu pengetahuan hingga ke negara orang.

Dr Muhammad Afifi al-Akiti MA (Oxon), MSt (Oxon), DPhil (Oxon), MSIEPM – juga dikenali sebagai Sheikh Afifi adalah salah seorang felo pensyarah Pengajian Islam di Pusat Pengajian Islam Oxford, dan Pensyarah Pusat Islam dalam bidang pengajian Islam di Fakulti Teologi, Universiti Oxford, United Kingdom. Beliau juga merupakan felo pensyarah di Worcester College, Oxford. Beliau adalah anak  Melayu pertama berjaya menjadi salah seorang tenaga pensyarah di universiti paling berprestij di dunia.

Dr al-Akiti berjaya mendapat ijazah kedoktoran falsafah (DPhil) dalam jurusan Falsafah Arab Pertengahan (Medieval) dari Universiti Oxford sebagai Cendekiawan Clarendon pada tahun 2008. Tesisnya dianggap sebagai suatu bentuk penulisan falsafah yang diletakkan di bawah kumpulan pertama yang digelar sebagai Karpus Madnun, dipersembahkan kepada teologis Islam termasyhur, Imam Al-Ghazali (d. 505/1111) . Penemuannya adalah berdasarkan kepada kaji selidik yang mendalam terhadap kira-kira 50 manuskrip Arab zaman pertengahan (medieval).

Selain itu, terdapat juga tiga siri kajiannya yang diterbitkan yang dapat menyajikan edisi kritis hasil kerja yang paling maju dan teknis dari korpus, manual pada metafizik serta falsafah alam yang disebut Mayor Madnun.

Dr al-Akiti, yang berasal dari Malaysia, telah dilatih sebagai seorang ahli teologi dan ahli falsafah dalam kedua-dua bidang keutamaan khususnya berkaitan dengan Dunia Islam dan tradisi barat. Beliau telah dididik oleh pelbagai Ulama Dunia Islam yang masyhur sejak beliau memulakan pengajian dari sekolah pondok lagi. Beliau telah menerima Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama dalam bidang Falsafah Skolastik dan Sejarah Sains dari Universiti Queen Belfast, di mana beliau berpeluang mendapat pelbagai anugerah biasiswa untuk meneruskan pengajiannya di peringkat sarjana dan doktor falsafah di Oxford. Bidang kepakaran beliau adalah  teologi Islam, falsafah dan sains.

Pada 2009, bersama Profesor Muhammad Abdel Haleem dan IIIT, Dr al-Akiti telah disenarai pendek sebagai salah seorang yang tersenarai dalam Anugerah Muslim UK Tahunan, atas kecemerlangannya menyumbang ilmu pendidikan Islam.

Pada 2010, Dr al-Akiti telah dilantik sebagai Ahli Dewan Penasihat Agama Islam Negeri Perak, Malaysia, di mana pengisytiharan ini telah disempurnakan oleh Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah.

Akhir kalam, kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Genggam bara api biar menjadi abu. Belajarlah betul-betul.Jangan jadikan ilmu agama penyebab tidak dapat kerja dan tidak berjaya. Salahkan diri sendiri yang tidak berusaha keras dalam menuntut ilmu agama.

Sedarlah, wahai golongan yang belajar ilmu agama, rezeki itu Allah sudah tentukan untuk kita. Kerja kita ialah berusaha.

Tanda ilmu tidak berkat ialah:

1. Semakin tinggi ilmu semakin menjadi angkuh dan sombong dengan Allah SWT dan juga sesama manusia.

2. Semakin banyak ilmu semakin diri terasa hebat, tidak langsung merasa hebatnya Allah SWT.

3. Penyakit hati semakin bersarang tebal di dalam dada.

4. Memandang rendah pada orang lain.

Semoga ilmu yang dipelajari dapat membuatkan kita menjadi hamba Allah yang bertakwa. In sya Allah.


Thursday, April 25, 2013

Ketahui Aib Sendiri





AIB merujuk kepada rasa malu yang ditanggung oleh seseorang atau orang yang dekat dengan seseorang mengenai  suatu keadaan yang tidak elok mengenai seseorang itu terdedah atau diketahui umum.
 
Rasa malu ini boleh membawa kepada kesan psikologi yang sangat negatif kepada seseorang yang diaibkan itu, sehingga memungkinkan seseorang itu mencabut nyawa sendiri atau mengalami gangguan mental yang dahsyat.

Islam melarang keras aib seseorang itu didedahkan atau diceritakan seperti dalam laman sosial dan sebagainya. Islam mengajar manusia – sama ada beriman atau tidak beriman – daripada mendedahkan apa-apa, walau macam mana tidak elok sekalipun tentang keadaan seseorang. Allah swt berfirman dalam Surah Al Hujarat Ayat 12:
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱجۡتَنِبُواْ كَثِيرً۬ا مِّنَ ٱلظَّنِّ إِنَّ بَعۡضَ ٱلظَّنِّ إِثۡمٌ۬‌ۖ وَلَا تَجَسَّسُواْ وَلَا يَغۡتَب بَّعۡضُكُم بَعۡضًا‌ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُڪُمۡ أَن يَأۡڪُلَ لَحۡمَ أَخِيهِ مَيۡتً۬ا فَكَرِهۡتُمُوهُ‌ۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ تَوَّابٌ۬ رَّحِيمٌ۬ (١٢)

Maksudnya: 
Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari - cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.
Sabda Rasulullah Sallallahu ’alaihi wasallam bermaksud: Wahai golongan yang beriman dengan lisannya, tetapi tidak beriman dengan hatinya. Janganlah kamu mengumpat kaum Muslimin dan janganlah mengintip keaiban mereka, maka barang siapa yang mengintip keaiban saudaranya, nescaya Allah akan mengintip keaibannya dan siapa yang diintip Allah akan keaibannya maka Allah akan membuka keaibannya walaupun dirahsiakan di lubang kenderaannya - HR At-Tirmidzi.

Kita sepatutnya menutup aib sesama Muslim dan berhenti daripada menyebut serta menyiarkannya, sebagaimana firman Allah dalam Surah An-Nûr Ayat 19 :
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
إِنَّ ٱلَّذِينَ يُحِبُّونَ أَن تَشِيعَ ٱلۡفَـٰحِشَةُ فِى ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٌ۬ فِى ٱلدُّنۡيَا وَٱلۡأَخِرَةِ‌ۚ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ وَأَنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ (١٩)
Sesungguhnya orang - orang yang suka menghebah (menyiarkan) tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang - orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat.

Sabda Rasulullah Sallallhu ’alaihi wasallam bermaksud: 
Barang siapa menutup aib seseorang Islam, maka Allah akan tutupkan aibnya di dunia dan di akhirat - HR At-Tirmidzi.

Petikan dari Hadis Riwayat Muslim yang maksudnya: 
Tiada seorang yang menutupi aurat( keaiban) orang di dunia, melainkan Allah akan menutupi keaibannya di hari kiamat. Tidaklah seseorang itu banyak bercakap akan aib orang lain, menyebutkan kesalahan dan mendedahkan aib mereka melainkan orang itu orang munafiq yang terhina.

Jadi adalah wajib bagi setiap Muslim, menutup aib saudaranya, malah hendaklah menasihatkan secara sulit, lemah lembut dan penuh hikmah kerana bimbang saudaranya itu akan ditimpa celaka dengan sebab perbuatannya itu.

Dari 'Aisyah radhiallahu'anha, katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: 
Janganlah engkau semua memaki - maki orang - orang yang sudah mati, sebab sesungguhnya mereka itu telah sampai kepada amalan-amalan mereka yang sudah dikerjakan dahulu - sewaktu di dunia, baik kebajikan atau kejahatan - HR Bukhari.

Allah azzawajalla, apabila menghendaki kebajikan bagi seorang hamba, maka Allah memperlihatkan kepada orang itu akan aib-aib dirinya. Maka barangsiapa yang bashirahnya biasa menembus, maka tidak akan samar baginya aib-aib dirinya.

Petikan dari Hadis Riwayat Muslim maksudnya : 
Barang siapa melepaskan seorang mukmin dari kesusahan hidup di dunia, nescaya Allah akan melepaskan darinya kesusahan di hari kiamat, barang siapa memudahkan urusan (mukmin) yang sulit nescaya Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan akhirat. Barang siapa menutup aib seorang muslim, maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. Allah akan menolong seorang hamba, selama hamba itu senantiasa menolong saudaranya.
Barang siapa menempuh perjalanan untuk mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan jalan baginya menuju syurga. Tidaklah suatu kaum berkumpul di salah satu rumah Allah untuk membaca Kitabullah dan mempelajarinya bersama - sama, melainkan akan turun kepada mereka ketenteraman, rahmat Allah akan menyelimuti mereka, dan Allah memuji mereka di hadapan (para Malaikat) yang berada di sisiNya. Barang siapa amalnya lambat, maka tidak akan disempurnakan oleh kemuliaan nasabnya.

Sengaja atau tidak sengaja seperti memperli, mengejek dan menjatuhkan aib orang lain di tempat awam atau perseorangan adalah berdosa sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Al-Hujarat Ayat 11:
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا يَسۡخَرۡ قَوۡمٌ۬ مِّن قَوۡمٍ عَسَىٰٓ أَن
يَكُونُواْ خَيۡرً۬ا مِّنۡہُمۡ وَلَا نِسَآءٌ۬ مِّن نِّسَآءٍ عَسَىٰٓ أَن يَكُنَّ خَيۡرً۬ا مِّنۡہُنَّ‌ۖ وَلَا تَلۡمِزُوٓاْ أَنفُسَكُمۡ وَلَا تَنَابَزُواْ بِٱلۡأَلۡقَـٰبِ‌ۖ بِئۡسَ ٱلِٱسۡمُ ٱلۡفُسُوقُ بَعۡدَ ٱلۡإِيمَـٰنِ‌ۚ وَمَن لَّمۡ يَتُبۡ فَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ

Maksudnya: 
Wahai orang - orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah - rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah - rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan - larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang - orang yang zalim. Dari itu sebaik - baik elakkan daripada suka menghina, mengejek dan menjatuhkan martabat seseorang itu. ketahuilah ukhti, bahawa seseorang yang membuka aib saudaranya sama saja dengan memakan bangkai saudaranya sendiri.

EMPAT CARA MENGENALI KEAIBAN DIRI.

PERTAMA - Hampirkan diri pada guru atau orang berilmu yang dapat menyingkapkan sifat-sifat buruk yang bersarang dalam hati manusia. Guru akan memberitahu keaiban diri seseorang dan cara -cara mengubatinya.

KEDUA - Hendaklah mencari rakan karib yang boleh dipercayai, bijaksana dan lebih pengetahuan agamanya. Teman sebegini akan memerhatikan tingkah laku rakannya dan jika terdapat perbuatan yang tidak elok, dia segera mengingatkannya.

KETIGA - Hendaklah berlapang dada apabila menerima teguran atau nasihat orang lain yang bersangkutan dengan perlakuan atau sifat aib yang terdapat dalam diri seseorang dengan sengaja atau di luar kemampuannya.

KEEMPAT - Hendaklah sentiasa bergaul dengan orang ramai sesungguhnya berjemaah dalam solat wajib lima waktu yang terbaik. Lantaran sebarang perkara tercela yang dilihat pada orang lain akan menimbulkan pertanyaan kepada dirinya - adakah perkara tersebut ada pada diri aku? Sebab orang Mukmin termasuk muslimin dan muslimat adalah cermin kepada Mukmin yang lain.

nota kaki : Sesungguhnya tabiat dan sifat manusia di alam ini sama sahaja dalam menurut hawa nafsu. Setiap sifat yang ada pada orang lain, tidak mustahil terdapat juga pada diri sendiri. Malah mungkin lebih dahsyat daripada itu. Sebaik - baiknya telitilah diri sendiri dan bersihkan diri daripada mencela orang lain. Ingatlah, tiada cara yang lebih utama untuk mendidik diri selain mengenal keaiban diri terlebih dahulu.

Hukum atau menghukum sudah jadi satu trend dan ‘permainan’ sesetengah ulama, pengikut dan penyokong mereka, lebih lebih lagi golongan yang terlibat dalam gelanggang politik pilihanraya. Hukuman sembrono yang di lakukan mereka saperti hukuman fasiq, sesat, zalim, kafir, murtad dan lain lain tanpa rasa bersalah, malu dan takut dengan Allah bertujuan untuk menjatuhkan, menghina, mengaibkan dan memalukan seseorang, kumpulan, mazhab atau parti yang tidak sefahaman dan seperjuangan dengan mereka. Setelah menjatuhkan hukum mereka merasa bangga kerana merasa diri sudah selamat. Sedangkan seorang hamba Allah sepatutnya rasa takut dengan Allah bila mana telah menjatuhkan hukum terhadap orang lain. Takut kalau hukuman itu tidak adil dan tidak betul.

Sebenarnya tindakan menjatuhkan hukum adalah kerja yang amat takut dilakukan oleh orang mukmin sejati. Orang mukmin apabila dia terlanjur dalam menjatuhkan hukum terhadap orang Islam lain dia akan rasa amat takut, keluh kesah dan sangat menderita. Takut kalau kalau tersilap hukum hingga hukuman itu kembali menimpa mukanya sendiri di dunia ini lagi dan Allah akan tempelak di Akhirat kelak.

Para Hakim dan para Mufti yang mukmin sendiri walaupun mereka ada kuasa untuk menjatuhkan sesuatu hukum sangat takut untuk menjatuhkan hukum terhadap sesuatu kesalahan orang kerana bimbang tersalah hukum. Saidina Abu Bakar As Siddiq ra sendiri kalau dia rasa percakapannya sudah menyakiti orang Islam lain (tidak menjatuhkan hukum pun) akan tergesa-gesa berjumpa Rasulullah saw minta dirinya di jatuhkan hukum qisas.

Begitulah iman orang mukmin yang memperjuangkan hukum hukum Allah sangat takut dengan Allah. Kerana itu mereka sangat takut dalam menjatuhkan hukum. Semoga yang baik dijadikan ikutan manakala yang kurang baik dijadikan sempadan untuk keselamatan di akhirat kelak.

(Sumber: Muhamad Nor Kartor)