Friday, January 4, 2013

Bidor


serenemaklong.blogspot.com



BIDOR merupakan pekan kedua terbesar di negeri Perak Darul Ridzuan selepas Tapah dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan yang disediakan kepada penduduk di sekitarnya.
 
Kira-kira 2 kilometer dari pekan ini terdapat sebuah kampung kecil dikenali sebagai Kampung Cegar, terletak di antara kawasan perindustrian dan pekan Bidor dan ini menjadikannya sebagai sebuah kampung yang maju namun masih kaya dengan adat tradisi.

Rata-rata kawasan perniagaan di pekan ini dimonopoli oleh golongan Cina dan Melayu. Terdapat deretan kedai yang menjual petai dan buah-buahan segar seperti lai dan oren. Biasanya kawasan di sini sibuk dengan aktiviti  terutama pada waktu pagi dan petang. Di buka pada setiap hari, para pengunjung boleh mendapatkan petai dan buah-buahan segar secara pukal dengan harga rendah. 
 
 
Mengikut sejarah yang diceritakan oleh Kamaluddin Maluddin, semasa pemerintahan Sultan Salehuddin, Sultan Perak ke-9, Kampung Cegar terletak kira-kira empat kilometer dari Pekan Bidor yang amat terkenal dengan hasil timah. Menurut beliau, pada awal 50an, Bidor menjadi kawasan perlombongan bijih timah yang berjaya mencuri tumpuan pelabur pada ketika itu.

Walau bagaimanapun, Kampung Cegar telah dibuka secara rasmi pada 1951. Orang pertama yang dilantik menjadi Penghulu Bidor ialah Syeikh Abdul Ghani. Kampung ini berkeluasan kira-kira 360 hektar dan terbahagi kepada dua iaitu Kampung Cegar dan Kampung Cegar Tambahan.

Menurut Kamaluddin juga, perkataan Bidor asalnya daripada acuan bijih timah yang diperbuat daripada kayu dan digunakan untuk menyukat bijih. Setiap satu bidor mengandungi kira-kira 70 kati bijih timah. Manakala kati pula merupakan sukatan yang digunakan untuk menyukat berat bijih timah tersebut.

Selepas puluhan tahun, Kampung Cegar kini berubah wajah dan menjadi kampung yang maju. Pelbagai kemajuan dan pembangunan dapat disaksikan yang telah banyak membantu meningkatkan ekonomi penduduk kampung dan kawasan sekitarnya.
 
(Sumber: KELAB ANAK JATI PERAK DARUL RIDZUAN)

Thursday, January 3, 2013

Kisah Senduk Ajaib


serenemaklong.blogspot.com

(Kisah yang berasal daripada Dongeng Arab ini telah diceritakan kembali dalam versi alam Melayu oleh Al-Ustaz  Dato' Tuan Ibrahim bin Tuan Man)

SEORANG pengembara, Ustaz Sabu tiba di sebuah tempat bernama Pekan yang keadaannya penuh kedaifan.

Penduduk di situ tidak berapa senang dengan kedatangan Ustaz Sabu kerana takut beliau meminta makanan daripada mereka yang kini hidup dalam kesempitan.

“Ustaz boleh tinggal di sini, tapi sini tak ada makanan untuk ustaz, ya,” kata Bijan, ketua kampung yang suka memakai cermin mata terbalik.

“Ana bukan datang meminta makanan. Ana datang nak memasak untuk dikongsikan dengan kalian,” kata Ustaz Sabu.

Penduduk Pekan melihat gelagat Ustaz Sabu yang gigih menghidupkan api dan memenuhkan periuk besarnya dengan air. Kemudian Ustaz Sabu mengeluarkan sebatang  senduk yang berbalut batu di penghujungnya dan mula mengacau air yang sedang mendidih dengan senduk tersebut.

Ustaz Sabu menghidu bau sambil berkata, “Wanginya makanan yang dimasak senduk ajaib batu ini.”

Penduduk mula tertarik melihat apa yang dilakukan Ustaz Sabu.

“Alangkah baiknya kalau ada sedikit kobis. Masakan ini tentu jadi lebih lazat,” kata Ustaz Sabu.

Bijan terus balik ke rumah dan mengambil kobis yang disimpannya untuk diberikan kepada Ustaz Sabu. “Ana nak cuba yang lebih tu nanti, ya.”

“Boleh. Ana nak kacau dengan senduk ajaib untuk masak kobis ni dulu,” kata Ustaz Sabu.

Ustaz Sabu mengulangi karenahnya, dan penduduk mula membawa keluar makanan untuk dikongsikan … lobak, daging, bawang, ubi… Akhirnya masakan Ustaz Sabu dipenuhi dengan makanan yang boleh mengenyangkan satu kampung.

Moral:
Dalam keadaan kesusahan dan sumber semakin kurang manusia menjadi kedekut, dan mementingkan diri sendiri. Mereka menjauhkan diri daripada orang lain dan enggan berinteraksi. Disebabkan sikap itu seluruh penduduk Pekan kelaparan kerana tidak berkongsi.

Ramai yang merasakan bahawa apabila sesuatu semakin disimpan, mereka  akan menjadi lebih kaya secara dalaman, tetapi realitinya sifat tamak dan tidak rela berkongsi apa yang ada akan menyebabkan orang di sekeliling dan diri sendiri juga menjadi lebih daif.

Ada yang suka menyimpan ilmu supaya sendiri lebih pandai daripada orang lain, walhal sebenarnya makin disimpan sendiri semakin tidak belajar dan akhirnya menjadi mundur.

Ustaz Sabu berjaya menarik perhatian penduduk yang daif untuk keluar berkongsi makanan dan penduduk Pekan akhirnya faham bahawa dengan berkongsi, mereka mendapat lebih banyak daripada benda yang sedikit.

Adakah antara kita yang bersikap seperti penduduk Pekan, seperti Bijan yang mulanya kedekut dan cuba menghalau Ustaz Sabu? Atau kita bersikap suka berkongsi yang mana akhirnya dapat melahirkan makanan yang lazat untuk dikongsikan seluruh kampung.