Friday, March 9, 2012

Kediaman Lestari


serenemaklong.blogspot.com

PERUBAHAN iklim tropika sejak kebelakangan ini memberi kesan langsung kepada kediaman. Oleh itu sistem perlindungan tertentu diperlukan supaya rumah lebih terjaga dari segi jangka hayat serta memberi keselesaan kepada penghuni.

Kesan panas dari sinaran matahari yang berlebihan menyebabkan penghuni ruang tidak selesa, walaupun penggunaan cahaya semula jadi memang digalakkan. Curahan hujan yang tidak dikawal juga akan mengakibatkan bahan tidak tahan kepada air seperti kayu mudah reput dan berkulat.

Walaupun ketika ini banyak bahan dan kemasan yang boleh memberi perlindungan dari kesan iklim, ia mungkin pada tempoh tertentu sahaja. Cara terbaik adalah melihat kepada reka bentuk sesuatu binaan yang mengambil kira keperluan perlindungan dari kesan iklim. Beberapa cara yang sesuai adalah:

Mengurangkan kesan matahari
Pencahayaan semula jadi daripada sinar matahari yang memancar sepanjang tahun mempunyai kesan sampingan iaitu silau dan panas. Oleh itu, apabila sesuatu ruang tidak menerima atau kurang menerima cahaya daripada luar, ruang itu akan menjadi gelap dan seterusnya dirasakan sejuk dan nyaman.

Sinaran matahari biasanya masuk melalui tingkap atau apa-apa jenis bukaan. Sinaran matahari itu akan masuk secara terus, berselerak atau pantulan dari permukaan di luar bangunan. Oleh itu, bahan-bahan binaan dan kemasan yang menyinar haba daripada cahaya matahari harus dikurangkan. Bagi mengelak kesan matahari, ada beberapa cara boleh dilakukan antaranya:

1.  Menanam pokok di sebelah kaki lima supaya daun pokok dapat menyerap haba tanpa memantulkan bahang cahaya matahari. Jika  memerlukan cahaya dan bukannya bahang untuk menerangi ruang dalaman, tanamlah pokok kecil yang sesuai.

Jika cahaya tidak diperlukan, tanamlah pokok daripada jenis yang tidak menghalang laluan udara atau angin dan tingginya separas tingkap supaya dapat menahan sinaran matahari dan membenarkan aliran udara serta pemandangan.


2. Sekiranya kawasan sekitar kediaman tidak membenarkan penghuni menanam pokok bagi mengurangkan sinaran matahari memasuki ruang, cara tidak semula jadi yang praktikal ialah dengan memasang sirip atau ram tetap (louvers) yang diperbuat daripada kayu atau besi aluminium.

Pasangkan kekisi sirip atau ram tetap (louvers) yang tidak melekat terus pada dinding. Cara pemasangan terpisah ini menyebabkan sinaran panas matahari tidak dapat masuk melalui bukaan pada bangunan.

3. Sinaran dan bahang matahari juga boleh meresap melalui permukaan dinding. Binaan dinding yang lebih luas daripada tingkap menyerap haba lebih banyak. Dinding konkrit dan dinding batu bata akan menyerap haba pada waktu siang hari, penyerapan  puncak berlaku pada waktu tengahari.

Selepas itu, haba akan disimpan di dalam bahan itu dan akan dilepaskan keluar pada waktu malam kerana ketika itu udara dan suhu di luar sudah mula sejuk.

Akibatnya, suasana suhu dalaman ruang menjadi tidak selesa kerana kesan suhu dengan tekanan tinggi akan mengalirkan haba ke bahagian suhu dengan tekanan rendah.

Ada beberapa cara mengurangkan kesan pendedahan sinaran dan bahang matahari:
  • Menanam tumbuhan menjalar pada bahagian luaran dinding seperti climbing ficus atau climbing ivy yang boleh berfungsi sebagai elemen penebat atau rintangan kepada bahang sinaran matahari.
  • Sekiranya sinaran matahari menyinari permukaan bangunan yang gelap, sebahagian haba akan dipantulkan ke udara dan sebahagian lagi akan diserap. Haba yang diserap akan menyebabkan ruang dalaman akan menjadi tidak selesa. Sehubungan itu, permukaan dinding yang dicat dengan warna cerah dapat mengurangkan penyerapan cahaya matahari.

Mengawal kesan tempias hujan

Hujan yang berlaku di kawasan tropika biasanya mempunyai kadar curahan tinggi dan kadang kala mengakibatkan tempias jika  disertakan angin. Oleh itu, beberapa usaha pengawalan perlu dilakukan:
  • Reka bentuk pengunjuran atap (overhang) yang lebar dan panjang dapat mengelak dinding bangunan atau tingkap dan pintu daripada terkena tempias hujan. Binaan itu juga dapat menyediakan teduhan dari sinaran dan silau matahari.


  • Pemasangan talang (gutter) yang berterusan pada cucur atap dapat membantu mengawal curahan hujan. Talang yang  seharusnya berbentuk setengah bulatan. Dibandingkan dengan talang berbentuk persegi, talang setengah bulatan mengalirkan air dengan lebih baik dan tidak mudah menampung kekotoran.
  • Bagi mengelak tempias hujan daripada merosakkan permukaan sisi dinding, binaan kekisi atau ram tetap (louvers) boleh dilakukan. Bahan binaan kekisi daripada kayu atau aluminium banyak digunakan. Selain itu, kekisi ini boleh dijadikan sebagai penghadang sinaran matahari (sunscreen) yang baik dan tidak sepenuhnya menghalang proses pengaliran udara.
  • Penggunaan bahan yang kalis air harus digunakan pada bahagian yang selalu menerima tempias hujan. Contohnya, kaki tiang kayu boleh dibina daripada binaan konkrit kerana ini dapat mengelakkan kaki tiang cepat rosak akibat terkena tempias hujan. Kemasan yang kalis air boleh digunakan pada permukaan bahan yang terdedah kepada tempias hujan.
Perlindungan terhadap kesan iklim iaitu panas dan hujan perlu dilakukan dan dipantau bagi menjamin keselesaan penghuni kediaman. Kita perlu menyesuaikan apa juga reka bentuk dan bahan serta binaan yang hendak digunakan dengan mengambil kira keperluan dan kehendak alam sekitar.

(Adaptasi daripada tulisan Hamidon Abdullah)

Saturday, March 3, 2012

MALU


serenemaklong.blogspot.com


MALU adalah tabiat di dalam diri yang menjauhi perbuatan buruk dan menghalang diri daripada mencuaikan hak orang lain. Mengamalkan sifat malu mengikut panduan Nabi saw membentuk sebahagian daripada kesempurnaan iman. Nabi saw bersabda yang bermaksud :
Iman itu mempunyai 70 cabang dan lebih, dan malu adalah satu cabang daripada iman – HR al-Bukhari.

Malu mempunyai tiga bahagian iaitu:
  • Malu kepada Allah (mengamalkan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya)
  • Malu kepada manusia lain (tidak menyakiti hati orang dengan pertuturan keji seperti  menipu, mengumpat, mencarut)
  • Malu pada diri sendiri (menjaga akhlak dan memelihara kehormatan diri)

Malu yang bukan malu :
Contohnya, malu menyatakan kebenaran sehingga tidak dapat melakukan kebaikan, tidak dapat mengajak orang lain kepada kebaikan, tidak dapat menegah daripada perbuatan keji;
Atau, malu membaca al Quran, malu bertanya dalam pelajaran, malu mengamalkan amal makruf nahi mungkar yang menjadi kewajipan seorang Muslim, malu solat berjemaah di masjid bersama kaum Muslimin, malu berpakaian menutup aurat, malu mencari nafkah yang halal untuk keluarga bagi lelaki dan yang semisalnya.
Ini sifat malu tercela kerana akan menghalang seseorang memperoleh kebaikan dan sukar memperolehi ilmu.

Cara merawat lidah supaya tahu malu:
  • Bercakap perkataan yang baik, lemah-lembut dan mesra.
  • Jauhi sikap menghina, mengutuk, merendah-rendahkan orang lain.
  • Bergaul sesama rakan yang baik dan mendampingi orang yang tinggi ilmu agamanya
  • Elakkan permusuhan, pertengkaran dan mengumpat
  • Berbaik sangka dan menolak sangka buruk terhadap orang
  • Menghubungkan silaturrahim
  • Ringankan lidah memohon maaf jika tersilap dan berbuat salah

Sifat tidak malu yang bermanfaat

Tidak malu berbuat kebaikan
Dengan yang demikian, sesiapa yang mengerjakan sesuatu amal kebaikan, sedang dia beriman, maka tidaklah disia-siakan amal usahanya; dan sesungguhnya Kami tetap menulisnya – Al Anbiya 94.

Tidak malu berkata benar
Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan perkatakanlah yang benar -  Al Ahzab 70.  

Tidak malu membantu sesama Islam
Sesiapa yang memberikan syafaat (pertolongan)  ke arah yang baik, nescaya dia akan memperoleh bahagian (pahala) daripada-Nya; dan sesiapa yang memberikan syafaat (pertolongan) ke arah yang buruk, nescaya dia akan memukul (dosa) daripada-Nya. Dan Allah Maha Kuasa atas sesuatu – An Nisa 85. 

Tidak malu mengingati Allah
Adakah orang yang dilapangkan Allah dadanya untuk menerima Islam lalu dia tetap dalam cahaya tuhannya, sama seperti orang yang tertutup hatinya? Maka kecelakaan besarlah bagi orang yang keras hatinya dari mengingati Allah. Mereka yang demikian keadaannya adalah dalam kesesatan yang nyata – Az Zumar 22.   

Tidak malu berhijrah
Orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar darjatnya di sisi Allah: dan mereka itulah orang yang berjaya – at Taubah 20.

Tidak malu belajar ilmu agama
Dan tidaklah patut bagi orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); maka hendaklah keluar sebahagian sahaja dari setiap puak di antara mereka, untuk mendalami ilmu agama, dan untuk mengajar kaumnya apabila mereka kembali kepadanya: mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga – At Taubah 122.

Tidak malu menghindar sombong
Dan janganlah engkau memalingkan muka (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong: sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takabbur, lagi membanggakan diri – Luqman 18.

Pada akhir zaman ini sifat malu sudah mati akibat kesan globalisasi. Menjadi kebiasaan tabiat menukar pakaian di hadapan orang sama ada di rumah, asrama, tandas awam dan pejabat, lelaki dan wanita bukan muhrim berjalan berpeluk-pelukan, wanita berpakaian tetapi `telanjang` (menampakkan susuk tubuh akibat jarang atau ketat), percakapan kasar membahasakan diri sebagai `aku` dan` kau` pada orang yang lebih tua, menjerit dan menengking di khalayak ramai, mencarut, menggelar dengan gelaran yang mengaibkan, memfitnah, dengki, iri hati, menjatuhkan dan mencelakakan orang lain, sehingga ada yang sampai ke tahap membunuh.

Segala macam bentuk maksiat seperti merompak, memeras ugut, zina,  rasuah, judi  dilakukan secara terang-terangan tanpa rasa bersalah. Ramai lelaki dan wanita muda berasa bangga kehilangan dara dan teruna pada awal usia. Mereka yang tetap menjaga kehormatan diri pula dianggap kolot dan kuno.

Semua masalah ini berpunca dari rumah. Suatu masa dahulu matlamat ibu bapa ialah mengharapkan anak-anak menjadi manusia yang baik lagi beramal soleh. Namun kini institusi kekeluargaan kian roboh.

Ibu bapa sekarang kurang berakhlak. Matlamat mereka semata-mata mengejar duit banyak, rumah besar, kereta mewah, status tinggi dan sebagainya. Ibu bapa begini tidak mungkin dapat mendidik anak-anak dengan betul.       

Tanpa perhatian dan kasih sayang ibu bapa, anak-anak lebih mudah terpengaruh dengan anasir persekitaran yang buruk. Mereka inilah  makhluk-makhluk yang digelarkan oleh Ustaz Zamri Mohd Zainuldin, pengantara rancangan Adik-adik dan Al Quran di TV9 sebagai `buaya-friends` dan `geli-friends`. Lelaki dan wanita yang rosak akhlak dan hilang sifat malu akan membawa kepada krisis moral yang kronik.

Kebanjiran hiburan hedonisme sama ada daripada bahan bercetak mahupun elektronik turut membuang rasa malu dari dalam diri penonton muda. Sekiranya kebanjiran ini dapat diawasi, sekurang-kurangnya gejala sosial boleh dibendung.

Hidup di zaman gawat memerlukan iman yang kuat, kerana saban waktu ia digugat dengan fitnah yang dahsyat. Sabda Nabi saw bermaksud:
Malu dan amanah adalah perkara yang mula-mula sekali hilang dari dunia, sebab itu mintalah dengan Allah untuk kedua-duanya – HR Al Bukhari.  

Pihak berwajib boleh menjalankan peranan dengan mengadakan majlis-majlis ilmu membina jiwa yang menyeronokkan anak-anak muda, sama ada secara langsung atau melalui dalam talian.

Bagi umat Islam, institusi masjid boleh mengorak langkah dengan menjadi pusat ilmu tersebut, di samping menganjurkan solat berjemaah. Ini bakal membantu membina golongan anak muda yang cintakan ilmu dan mementingkan silaturrahim.

Bagi mengembalikan sifat malu ini, Ustaz Zamri memberikan satu formula amalan harian yang dinamakannya 4B-ATM iaitu:

B(1) – Boleh tolong saya (minta bantuan)?
B(2) – Boleh ajarkan saya (merendah diri)?
B(3) – Boleh saya tahu mengapa… (tidak menghukum)?
B(4) – Bagus…(pujian).
A -     Apa kata kita …(memberi cadangan, bukan arahan)   
T -     Terima kasih (banyakkan penghargaan)
M -     Maafkan saya (jika melakukan kesalahan).
 
Nabi saw bersabda yang bermaksud:
Malu kepada Allah dengan sebenar-benar malu iaitu engkau memelihara kepala dan apa yang difikirkan, memelihara perut dan apa yang diisikan ke dalamnya, engkau mengingati mati dan segala kehancurannya. Dan sesiapa yang inginkan akhirat, dia tinggalkan perhiasan kehidupan, dan dia utamakan akhirat dari dunia. Sesiapa yang melakukan demikian barulah dia dikatakan malu kepada Allah dengan sebenar-benar malu.

Inilah pagar iman yang membenteng manusia daripada melakukan kejahatan. Malu yang terbina dengan kefahaman dapat menjauhi maksiat dan kekufuran serta meletakkan seseorang dalam kedudukan bermaruah. Malu bukan penghalang kemajuan. Sebaliknya ia menghalang kita daripada melakukan sesuatu secara membuta tuli yang kononnya dianggap berani.