Sunday, December 10, 2017

Ahli Taqwa



Di kalangan manusia terdapat golongan yang dinamakan Ahli Taqwa. Mereka sentiasa berlumba-lumba meningkatkan ranking masing-masing kerana mahu jadi yang paling dimuliakan oleh Allah.

Ahli taqwa istiqamah menjaga pegangan mereka dan sentiasa memastikan mereka berada dalam persekitaran dan suasana yang sesuai. Yang dititikberatkan ialah menjaga dua benteng utama iaitu taat kepada perintah Allah dan berusaha keras untuk mengelakkan apa jua yang dilarang-Nya

Ahli taqwa beriman kepada yang ghaib (Allah SWT, syurga dan neraka), mendirikan solat dan membelanjakan harta di jalan Allah. Mereka bertawakal hanya kepada Allah, berusaha menyimpan kemarahan, sentiasa segera bertaubat bila mendapati diri tergelincir dari jalan kebenaran.

Bila melihat kemungkaran ahli taqwa berusaha mengubah dan menghalang menurut kemampuan yang ada pada diri sendiri dengan cara yang penuh berhikmah.

Ahli taqwa sangat berhati-hati dalam mengambil asbab untuk sesuatu perkara supaya tidak menyekutukan Allah dengan asbab itu.

Contoh, jika ditimpa penyakit, ahli taqwa yakin itu adalah cara Allah SWT membersihkan dirinya daripada dosa. Sungguhpun dia mengambil ubat, dia tahu yang menyembuhkan adalah Allah SWT. Ubat hanya sekadar asbab untuk penyembuhan.

Ahli taqwa sedar manusia tidak layak dipuji. Segala pujian adalah hak Allah semata-mata. Jika ada manusia memuji, ahli taqwa sentiasa mengembalikan pujian itu kepada Allah dan berdoa supaya nikmat yang ada pada dirinya tidak ditarik balik. Dia khuatir pujian tersebut bakal menimbulkan rasa bangga dalam dirinya. Hanya Allah saja yang tahu hakikat diri.

Ahli taqwa tekun menjalankan kewajipan yang difardukan ke atasnya di samping ibadah sunnah yang lain. Jika berdepan dengan masalah kehidupan, ahli taqwa sentiasa kembali kepada Allah dengan jalan Sabar dan Solat. Rasa takutnya hanya kepada Allah, tidak pernah bimbang dengan makhluk ciptaan-Nya yang lain.

Akhirat itu untuk orang sepertinya. Dia bergerak dengan tenang di atas kenderaan yang disediakan oleh Allah SWT menuju syurga.

Tidakkah ada keinginan untuk masuk syurga penuh bergaya? Jom persiapkan diri kita dengan meneladani sifat dan sikap AHLI TAQWA.





HADIS QUDSI:

Wahai Anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku, nescaya Aku akan mengisi hatimu dengan kepuasan dan menyekat kemiskinan darimu; dan jika kamu tidak (melakukannya) Aku akan menyibukkan tanganmu dengan kerja dan Aku tidak menutup kemiskinanmu.

No comments:

Post a Comment