Sunday, December 9, 2012

Cakap Lain Buat Lain


RAMAI yang pandai cakap tetapi tidak buat apa yang mereka cakap. Ramai yang jadi hero Facebook tetapi zero di luar sana. Ramai yang konon berilmu tetapi ilmu entah hilang ke mana bila bab politik. Caci maki dan buka aib menjadi santapan harian. Mencari dalil agama bagi menghalalkan perbuatan buruk. Yang sepatutnya menjadi benteng agama kini telah menjadi benteng bangsa dan parti. Usah tuduh pihak lain tetapi cerminlah diri sendiri dahulu.

Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak lakukan!- As-Saff 61:2

Itulah realiti yang berlaku. Politik tidak boleh bercampur dengan agama sebab kita tidak mampu mengikut sunnah Rasulullah s.a.w. waima dalam bab politik sekalipun. Cucu nabi s.a.w. sayyidina Hassan r.a. yang sanggup memberikan kuasa khalifah kepada Muawiyah r.a. kerana mahu memelihara kesatuan ummah.. Allah ta'ala tidak akan mensia-siakan pengorbanan cucu kesayangan nabi s.a.w ini kerana di akhir zaman kelak pemimpin umat Islam adalah daripada keturunan sayyidina Hassan r.a. InsyaAllah, kalau hati kita sedih lihat ummah berpecah belah apatah lagi nabi s.a.w?
Kita sama-sama ambil iktibar surah al hujurat ayat 11-13:
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah suatu kaum mengolok-olokkan kaum yang lain (kerana) boleh jadi mereka (yang diolok-olokkan) lebih baik dari mereka (yang mengolok-olokkan) dan jangan pula wanita-wanita (mengolok-olokkan) wanita lain (kerana) boleh jadi wanita-wanita (yang diperolok-olokkan) lebih baik dari wanita (yang mengolok-olokkan) dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri dan janganlah kamu panggil memanggil dengan gelar-gelar yang buruk. Seburuk-buruk panggilan ialah (panggilan) yang buruk sesudah iman dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (Surah al-Hujurat (49) ayat 11)

Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. (Surah al-Hujurat (49) ayat 12)

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).(Surah al-Hujurat (49) ayat 13)

Sekadar peringatan kepada diri sendiri yang selalu alpa.Yang baik datang daripada Allah sahaja, yang buruk datang dari kita sendiri.

(Sumber:Malaysia Reverted Muslim (Formerly Malaysia Chinese Muslim)



No comments:

Post a Comment