Monday, February 6, 2012

Pokok Gincu Bibir


serenemaklong.blogspot.com

POKOK hiasan ini digelar ‘lipstick plant’ atau pokok gincu bibir. Spesies Aeschynanthus lobbiana ini tergolong dalam famili tumbuhan Gesneriaceae. Ia berasal dari negara-negara tropika seperti Malaysia, Indonesia (Sumatra, Kalimantan dan Jawa), Thailand serta Singapura.

Brakta atau pengasuh bunganya berbentuk seperti cawan berwarna ungu gelap dan kemerahan, keluar atau tumbuh secara berpasangan di hujung ranting pokok.
Dalam brakta ini keluar kudup bunga yang apabila berkembang membentuk seperti silinder panjang dan sedikit membesar di hujung dengan kelopak bunga terbuka berwarna merah terang. Bentuk bunga begini menyerupai bentuk gincu bibir wanita. 

Daun berbentuk bujur panjang dan kuncup di hujung berwarna hijau tua dengan bahagian atas seperti diselaputi lilin licin.
Ada juga jenis yang berdaun kerinting yang begitu unik. 

Bahagian pokoknya seperti di bawah daun, batang, ranting dan brakta bunganya berbulu halus. 

Pembiakan 
Ia mudah dibiakkan menggunakan keratan batang atau keratan hujung batang berdaun pokok yang matang. 

Penanaman 
Untuk menanam gunakan campuran tanah untuk pokok berpasu iaitu dalam nisbah 3:2:1 (Tanah peroi:Baja kandang:Pasir sungai). 

Penjagaan 
Ia memerlukan banyak cahaya untuk menggalakkannya berbunga lebat. Namun elak daripada didedahkan terus kepada matahari yang terik kerana ini boleh melecurkan daunnya. 

Siram pada waktu pagi dan biarkan medium tanamannya di bahagian atas itu kering dahulu sebelum menyiramnya semula. 

Sembur dedaun terutama pada hari terlalu panas untuk persekitaran yang lembap agar ia boleh tumbuh dengan lebih subur lagi. 

Gunakan baja kandang untuk pertumbuhan pokok yang sihat. Boleh juga gunakan baja kimia yang sesuai pertumbuhan pokok dengan daun yang subur. Kemudian gunakan baja khas untuk tujuan menggalakkannya berbunga. 

Idea pameran 
Pokoknya mempunyai ranting yang tumbuh mengarah keluar pasu, membengkok ke bawah menutupi bahagian tepi dan bawah pasu tanamannya. Justeru ia memang sesuai dan menarik sekali untuk dijadikan tanaman gantung. 

Untuk pokok gantung, yang diperlukan ialah kira-kira 10 keratan hujung batang berdaun, ditanam dalam pasu gantung yang menarik bentuknya. 

(Sumber: Berita Harian) 

No comments:

Post a Comment