Wednesday, February 29, 2012

Cantik Si Bunga Kertas


serenemaklong.blogspot.com



POKOK bunga kertas atau ‘bougainvillea’ mampu mempamerkan bunga cantik pelbagai warna menarik, selain senang ditanam dan dijaga serta cukup tahan lasak.

Ia berasal dari nama seorang pelayar Perancis, Louis de Bougainville yang menemuinya di Amerika Selatan pada kurun ke-18.

‘Bougainvillea’ tergolong dalam famili tumbuhan ‘nyctaginaceae’, sebenarnya adalah bunga rasmi bagi bandar raya Ipoh.

Kelopak bunganya yang berwarna warni sebenarnya ialah pengasuh bunga atau brakta (bract) dengan tekstur seakan kertas. Bunga yang sebenar hanya bersaiz kecil dan panjang, manakala kelopak yang sebenar terletak di hujungnya dan setiap bunga akan keluar dari dalam pengasuhnya.



Kecantikan ‘bougainvillea’ terletak pada beberapa ciri berikut:

  Spesies berbunga satu warna tetapi dalam pelbagai pilihan warna menarik seperti ungu, merah tua, jingga, biru dan sebagainya. Contohnya, ‘bougainvillea glabra’ dan ‘Singapore pink’ dengan brakta bunga berwarna merah muda. 

  Spesies yang mempunyai brakta bunga campuran dua warna. Contohnya ‘apple blossom’ yang brakta bunganya campuran merah muda dan putih. 

  Spesies berdaun ‘variegated’ iaitu campuran warna hijau dan keputihan. Contohnya ’orange stripe’ yang berdaun campuran warna hijau dan keputihan di tepi daun serta berbunga jingga.

  Spesies yang mempunyai susunan daun cantik serta berbunga satu warna. Contohnya ‘sanderiana’ yang brakta bunganya berwarna merah tua.

Pembiakan dan penanaman

Bunga ini senang dibiak menggunakan teknik keratan batang dan tut. Untuk penanaman menggunakan teknik tut ikuti langkah seperti berikut: 

  Langkah 1: Batang atau ranting pokok ditoreh atau dipotong kulit di sekelilingnya. 

  Langkah 2: Letakkan di sekeliling keratan tadi dengan medium tut yang basah untuk menggalakkan pertumbuhan akar.
Medium tut yang sesuai adalah campuran dua bahagian tanah peroi dan satu bahagian bahan organik atau hanya gunakan saja lumut ‘sphagnum moss’ yang basah.

  Langkah 3: Balut medium tut dengan plastik lut sinar dan ikat di kedua-dua bahagian hujungnya dengan tali rafia agar medium tanaman tidak terkeluar. Juga kekalkan kelembapan pada medium tut berkenaan. 

  Langkah 4: Selang beberapa minggu, akar akan tumbuh di bahagian atas kulit yang dipotong itu. Apabila akar sudah tumbuh kira kira satu inci, potong batang atau ranting berkenaan untuk ditanam dalam medium tanaman. Campuran medium tanaman yang sesuai ialah 3:2:2 (tanah peroi: tanah gambut/baja organik: pasir sungai).

Penjagaan

  Cahaya - ia perlu didedahkan kepada cahaya matahari terik untuk menggalakkan pertumbuhan bunga yang berterusan.

  Air - siram air dua kali sehari pada waktu pagi dan petang pada hari panas dan siram bila perlu semasa hari hujan.
Biarkan medium tanaman kering dulu sebelum menyiram semula dan elakkan air bertakung.

  Pembajaan - pelbagai jenis baja boleh diberi asalkan mengikut sukatan dan kekerapan seperti yang disyorkan. Gunakan baja berwarna hijau untuk pertumbuhan batang dan daun yang sihat terutama selepas pemangkasan. Baja berwarna merah pula untuk menggalakkan pertumbuhan bunga. 

Idea pameran 

  Bougainvillea boleh dipamerkan dalam pelbagai cara seperti ditanam atas tanah, dalam pasu, dilatih memanjat untuk dijadikan pintu gerbang taman, memanjat dinding, pergola, ‘trellis’ dan sebagainya. Beberapa spesies bunga ini juga boleh dikahwinkan pada satu pokok.

Tip penjagaan

  Potong tangkai bunga selepas bunganya gugur untuk kelihatan kemas dan menggalakkan pertumbuhan bunga seterusnya.

  Jangan pindahkan pokok ketika ia sedang berbunga kerana akan menyebabkan bunganya cepat layu dan gugur secara tiba-tiba. 

No comments:

Post a Comment