Monday, September 17, 2012

Ladang Organik Nur Zaharah


serenemaklong.blogspot.com




PRODUK organik memang alternatif lebih menyihatkan berbanding produk biasa, namun ramai menganggapnya sekadar “pilihan gaya hidup”. Persoalan yang bermain di kepala ialah: Berbaloikah harga tinggi yang dibayar untuk produk organik? 

Mungkin jawapannya adalah - memang mahal tetapi berbaloi bila  pembelian kita dapat membantu mereka yang kurang bernasib baik.

Janda Baik yang terletak di tengah-tengah Banjaran Titiwangsa merupakan tempat bermulanya rumah kebajikan Nur Zaharah yang ditubuhkan pada 2005 oleh Datin Norjan Noor.  Di sinilah kanak-kanak dan remaja di antara usia empat hingga 20 tahun ditempatkan.

Rumah bagi kanak-kanak dan remaja lelaki adalah di Kampung Chemperoh, manakala kanak-kanak dan remaja perempuan pula di Kampung Sum Sum Hilir. Dari jauh, bangunan yang terbina di tempat ini seperti tidak ada apa-apa keistimewaan. Namun bila dilihat dari dekat, ternyata di kelilingnya terdapat kawasan seluas satu hektar  yang menghijau. Di sinilah letaknya ladang organik yang diguna untuk menjana pendapatan bagi penghuni Rumah Nur Zaharah.



Pengurus rumah dan ladang amal ini ialah Encik Yahya Yusof, 29 tahun, bapa kepada dua orang anak. Beliau berkelulusan undang-undang Islam dari Universiti Sains Islam di Nilai, Negeri Sembilan, dan pernah menimba pengalaman menguruskan rumah-rumah kebajikan ketika berada di Singapura.

Di Ladang Nur Zaharah ini, beliau menanam berbagai jenis sayuran berdaun seperti kalian, sawi dan siu pak choy. Sekali seminggu, pekerja-pekerja upahan bermotosikal datang mengambil dan menghantar kotak-kotak berisi sayuran segar seberat 3 kg terus ke rumah pelanggan-pelanggan, di mana 30 daripadanya tinggal di Kuala Lumpur.     

Mereka mengambil langkah proaktif ini kerana tidak mahu bergantung semata-mata kepada derma pihak kerajaan dan orang ramai. Setiap bulan, ladang organik  menghasilkan pendapatan RM4,000 sebulan. Bagaimanapun, jumlah ini tidak dapat menampung perbelanjaan 41 orang penghuni yang umumnya mencapai sehingga RM25,000 sebulan.

Untuk pendapatan tambahan, mereka menyewakan sebuah kandang kambing. Najis kambing yang diberi percuma oleh penternak penyewa digunakan sebagai baja tanaman.  



Selain itu, mereka turut menguruskan sebuah Kedai Kraf & Kafe di mana kopi yang dihidangkan datang daripada ladang kopi mereka sendiri. Hiasan kraf di kedai ini pula diperbuat daripada bahan kayu asli dan juga bahan kitar semula.

Dengan suasana udara yang segar, disertai bahan makanan organik tanaman sendiri, penghuni Rumah Nur Zaharah jarang menghadapi masalah pemakanan. Mereka adalah penghuni yang aktif kerana setiap Sabtu mereka membantu menyenggara ladang. Setiap penghuni mempunyai pokok sendiri. Bila pokok mengeluarkan hasil, rasa bangga bagaikan tidak terkata, seolah-olah telah berjaya menghasilkan sebuah mahakarya.

Harapan Yahya ialah ladang organik tersebut mampu menjana cukup pendapatan bagi membiayai pengurusan Rumah  Nur Zaharah  dalam masa 10 tahun.

SISIPAN TAMBAHAN

Proses perladangan organik sebenarnya telah dirintis oleh Nutrilite, pengeluar makanan kesihatan yang merupakan anak syarikat Amway, syarikat jualan langsung terkemuka di dunia.

Berikut ini adalah proses yang Nutrilite amalkan di ladang-ladangnya:

Memasukkan nitrogen ke dalam tanah
Legume ditanam untuk memasukkan nitrogen ke dalam tanah yang diperlukan untuk tumbesaran tanaman.

Mengguna cacing tanah untuk pengudaraan
Menambah nutrien organik ke dalam tanah dengan membiarkan cacing tanah mengorek menerusi tanah supaya akar boleh tumbuh secara meluas. 

Menutup tanah dengan pelapik plastik
Selepas ditutup dengan pelapik plastik, legume akan layu di bawah cahaya matahari dan diguna sebagai bahan kompos.

Menanam tumbuhan yang dikehendaki
Sebaik sahaja tanah kaya nutrien itu telah tersedia, tumbuhan pun ditanam, dengan menggunakan air bawah tanah untuk pengairan.  

Melindungi tanaman menurut yang dikehendaki alam
Larva kumbang, lalat, burung helang dan burung jampuk dapat  membantu melindungi tanaman daripada serangga, burung-burung dan makhluk perosak lain.    

Memetik tumbuhan ketika ia berada di peringkat paling berkhasiat
Tumbuhan dipetik pada peringkat paling berkhasiat. Hanya bahagian yang mempunyai nilai paling berkhasiat dikumpulkan.

Menggunakan biri-biri sebagai pembersih ladang
Kawanan bebiri digembala untuk meragut tunggul-tunggul di ladang selepas tanaman dipetik.

Mengekalkan pembajaan tanah pada masa rang (fallow)
Selepas penanaman dan pemetikan selama 3-4 tahun, ladang akan di biarkan rang (fallow) selama setahun. Tempoh ini membolehkan tanah itu dibajak, dipulih dan disuburkan. 

(Rujukan: TheStar &  Amway)

1 comment:

  1. Salam...saya pelajar UPM....sgt beminat untuk melawat ke ladang ini setelah membaca artikel ini...boleh kah saya mendapatkan nombor yg patut dihubungi untuk tindakan lanjut?

    ReplyDelete