Monday, January 9, 2012

Penampilan dan Gaya


serenemaklong.blogspot.com

WANITA harus bijak bergaya mengikut majlis atau acara yang dihadiri dengan pemadanan aksesori yang sesuai.

Sesetengah wanita tidak tahu memilih aksesori yang betul hingga kekadang aksesorinya terlalu sarat bergayutan bagaikan pokok krismas. Wanita sedemikian patut belajar cara pemakaian aksesori yang betul mengikut majlis tertentu.

Terdapat lima gaya penting yang perlu diketahui iaitu gaya asas harian, gaya ke tempat kerja, gaya berseronok, glamor majlis petang dan gaya malam yang menawan. Imej seseorang wanita itu boleh berubah dengan pemakaian aksesori yang sesuai.

Ketika berada di kedai, ramai wanita mudah tertarik dengan aksesori yang dipamerkan lantas membelinya tanpa berfikir panjang. Sesuatu aksesori itu mungkin nampak cantik pada orang lain tetapi tidak pada kita. Oleh itu elakkan membeli aksesori yang cantik rupa sahaja tetapi kemudian disimpan kerana malu hendak memakainya.

Banyak aksesori yang dijual untuk pelbagai majlis. Sebelum membeli, kita harus memahami diri kita sendiri sama ada kita jenis orang yang suka bergaya atau jenis ringkas.

Empat kategori aksesori yang harus difahami gaya pemakaiannya ialah kasual, romantik, dramatik dan klasik. Ada yang boleh dipakai bersama dan terdapat juga yang tidak sesuai langsung jika dicampurkan.

Seperkara lagi, pastikan dahulu tujuan sesuatu penampilan. Sebagai contoh, untuk gaya asas harian atau kasual, pilih baju yang berwarna lembut dan pakai aksesori ringkas yang dibuat daripada plastik. Elakkan pemakaian hiasan daripada mutiara atau batu-batu kerana ia hanya sesuai untuk majlis formal.

Sandal boleh dipakai tetapi usah gunakan fesyen yang terlalu leper. Jenis yang bertumit dua inci adalah sesuai kerana walaupun kasual namun masih nampak bergaya.

Bagi gaya berseronok pula, boleh dicampurkan dua konsep aksesori, iaitu yang dibuat daripada logam dan plastik.

Di segi pakaian pula, usah pakai corak binatang seperti corak harimau daripada atas ke bawah, nanti kelihatan seperti seseorang yang datang daripada safari. Yang penting, setiap kali berketerampilan mesti ada kesinambungan.

Gaya glamor majlis petang merupakan gaya anggun dengan perhiasan berkilat yang dapat mengubah seseorang menjadi glamor, sesuai dengan majlis formal itu. 

Meletakkan aksesori ke badan juga penting. Jika memakai cincin besar pada jari di sebelah tangan, pakai pula gelang di tangan yang sebelah lagi. 

Baju hitam boleh disesuaikan dengan perhiasan warna hitam atau putih dan boleh juga dicampurkan dengan aksesori daripada berlian tiruan.

Sebelum memilih aksesori untuk dipakai, sebaik-baiknya pilih baju dahulu. Bukan semua aksesori boleh dipakai dengan semua jenis baju.

Jangan pakai but atau kasut kanvas untuk majlis glamor. Sebaliknya pilih kasut yang dibuat daripada fabrik mewah seperti suede dan satin.

Serlahkan diri supaya menjadi perhatian pada majlis malam yang menawan. Aksesori seperti mutiara amat versatil untuk majlis malam.

Baju yang berkilat sedikit boleh dipadankan dengan tas tangan malam yang berkilat. Jika kasut berwarna emas, tas tangan hitam boleh mengelakkan penampilan yang senada.
Aksesori penting kepada wanita kerana ia membantu menambah gaya di sepanjang hari umpamanya jika perlu ke majlis formal atau makan malam sebaik selesai waktu pejabat.

No comments:

Post a Comment