Monday, December 5, 2016
Tazkirah Si Pakcik Tua
"Nurse, kiblat arah mana?"
"Maaf pakcik, saya bukan Muslim".
Perbualan itu menarik telinga Firdaus Razak. Automatik jururawat dan pakcik tua dan keluarga pakcik itu memandangnya yang duduk di kerusi paling dekat dengan katil pakcik itu, malah siap pakai kopiah dengan baju melayu. Tentu dia yang patut beri jawapan itu.
"Err kejap saya check kan"
Cepat-cepat Firdausinstall Apps untuk kiblat. Maaf lambat sikit, saya solat kat tingkat atas tadi, tu yang saya tak pasti kiblat kat sini".
"Ooooo patutlah".
Itu cara awal mereka berkenalan. Pada hari itu Firdaus temankan abang iparnya yang dimasukkan ke wad. Lebih kurang pukul 11 malam pakcik tua itu ditempatkan di katil sebelah. Maka posisi Firdaus duduk ialah di tengah antara dua katil abang iparnya dengan katil kiri pakcik tua. Bila keluarga pakcik sudah pulang tiba-tiba pakcik tepuk tangan Firdaus.
"Sudah witir?"
"Witir? Err belum.. Belum lagi"
Malu sebenarnya bila ditanya macam tu. Witir adalah solat sunat yang sangat jarang Firdaus buat selain bulan Ramadhan. Itupun kalau pergi berjemaah. Kalau sendiri faham-fahamlah.
Muka pakcik cemas sebab belum buat witir lagi, terus dia bergegas ke tandas. Mulanya Firdaus sangka dia hendak solat atas katil, rupanya dia bersolat atas lantai. Firdaus berikan kerusi untuk dia solat duduk, dia menolak kerana hendak solat berdiri.
Selesai witir yang agak panjang, dia baring di katil.
"Kamu tahu, Nabi tidak akan tidur pada malam hari melainkan setelah membaca As Sajadah, Tabaroka (Mulk), Rahman dan Yaasin".
Dalam hati Firdaus terfikir, "Ada dalil ke? Memandai je kot? Terasa hendak berbahas tetapi mengenangkan jam masuk pukul 1 pagi dan pakcik pula sangat uzur dia diamkan saja. Cuma aku kagum dan terkejut rupanya dia baca melalui hafalan 4 surah tu tadi lepas witir. Sakit-sakit pun rajin lagi."
Tiba-tiba dia tanya Firdaus soalan yang selalu diterima dan pedih untuk jawab. "Kamu sudah keluar berapa hari?"
Ini 'kod' jemaah Tabligh. Sebuah jemaah yang Firdaus kagumi.
"Err saya tak pernah... Saya ikut ghash yang petang-petang tu dulu dengan ta'alim bila free, itupun lama dulu."
Dia agak hairan. Mungkin kerana wajah Firdaus yang berjanggut panjang, automatik membuatkan mereka menyangka Firdaus anggota jemaah mereka. Dia tidak bertanya apa-apa sebaliknya dia ceritakan kisahnya sendiri. Dia pesakit jantung, ada 3 lubang pada jantungnya dan ada juga masalah jantung yang lain. Dia cuma dapat berjalan 10 langkah bersama tongkat dan perlu berhenti rehat. Tidak boleh jalan laju. Keuzuran itu begitu ketara sehingga dia cuma dapat solat berjemaah fardhu Jumaat semata-mata. Itupun setelah puas dilambai minta ditumpangkan. Namun sebelum uzur dulu kaki beliau membawanya hampir ke seluruh pelusuk negara, mengajak umat pada iman, malah menyampaikan dakwah di beberapa negara lain melalui jalan Tabligh.
Tujuan dia bercerita untuk merangsang Firdaus. Kalau dia yang sakit pun boleh buat, maka yang sihat kena berusaha bagi boleh. Kemudian dia tanya satu lagi soalan berat. "Ada tahajud?"
"Err kurang, kurang sangat," balas Firdaus.
"Umur berapa?"
"Saya 22,"
"Ada cinta?" Dia senyum.
"Eh taklah muda lagi." Firdaus malu-malu.
"Tahajudlah. Umur saya 83, Allah beri izin saya tahajud tanpa tinggal walau satu malam pun semenjak tahun '73. Hampir 40 tahun. Kita dibeban dengan fikiran tahajud itu susah, kerana itu kita tak mampu. Niat perlu betul, bangun untuk tahajud walau letih macam mana dan tidur pukul berapa. Allah akan bantu, namun jika masih tertidur sampai subuh, niat tadi tetap Allah kira, tidak akan dipersiakan."
Dia menceritakan bagaimana dia kerap digenggam oleh 'sesuatu' yang mengejutkan dia untuk bangun tahajud persis cerita Arwah Tokguru Nik Aziz yang dikejutkan dengan bunyi ketukan pintu bilik untuk qiamullail. Kuncinya pada niat. Hendak atau tidak. Itu pada pilihan kita. Allah akan bantu.
Firdaus rasa malu sangat.
Tiba-tiba ada pakcik dari katil yang agak jauh terjaga dari tidur dan nampak macam sedang mengalami kesusahan. Jururawat tidak ada pula. Firdaus bergegas ke pakcik tu. Jam sudah pukul 2. Bila Firdaus kembali ke tempat duduk, Pakcik tua itu sudah tidur. Tenang wajah dia. Firdaus ke surau tingkat atas dan tidur di sana. Setelah sekian lama Firdaus pun tahajud. Mungkin Allah berpesan melalui lidah pakcik tua. 10 minit sebelum subuh terdengar bunyi tongkat yang agak kuat menuju ke ruang solat. Pakcik tua tu masuk ke dalam surau. Jauh juga dia berjalan ke situ dari wad tadi dalam keadaan sakit. Rupanya dia datang sebab dia teringat awal perbualan tadi Firdaus sebut dia solat di tingkat atas. Kuat sungguh semangatnya.
Ramai datang untuk subuh, cuma sebab Firdaus yang 'special' dalam bab pakaian (hiasan luaran) maka dialah yang kena azan, dan jadi imam.
Selesai solat Firdaus bergerak ke tingkat bawah, kembali ke wad. Pakcik tua jalan seiring, sambil jalan dia terhenti-henti. Sekejap berpaut pada dinding ambil nafas. Sesekali dia terjerit "Allah" dengan penuh lemah. Pasti kerana sakit.
Kembali ke katil, dia berzikir. Sedangkan Firdaus perlu pulang ke rumah untuk berehat, tidak sampai hati hendak ganggu pakcik, yang berdoa, menangis, pekup muka kemudian angkat tinggi. Akhirnya Firdaus berpesan pada abang ipar untuk sampaikan salam pada dia.
Terima kasih Allah kerana membawa kesedaran melaluinya.
Di Sekeliling 'Arsy ada menara terbuat dari cahaya. Di dalamnya ada orang-orang yang pakaiannya dari cahaya dan wajahnya bercahaya. Mereka bukan Nabi ataupun Syuhada. Ketika para Sahabat bertanya,Rasulullah s.a.w. menjawab, "Mereka adalah orang yang:
saling mencintai kerana Allah
saling bersahabat kerana Allah
saling bersilaturrahim kerana Allah
saling memaafkan kerana Allah
Subhanallah ...Maha suci Allah. Semoga kita menjadi orang-orang yang Ikhlas dan dapat berkumpul di syurga kelak
(Ustazah Siti Nurbaya Usman)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment