Monday, December 19, 2016
Hukum Tahlil Arwah
Tahlil bermaksud bersama-sama berkumpul bagi membacakan ayat-ayat al-Qur’an terpilih serta berzikir dan berdoa untuk orang yang sudah meninggal dunia. Antara kandungan ayat-ayat al-Qur’an yang dibaca ketika tahlil ialah Surah al-Fatihah, Surah al-Ikhlas, Ayat Kursi dan beberapa bahagian ayat-ayat dari surah al-Baqarah. Sementara zikir-zikir yang dibaca ialah kalimah La ilaha illallah serta kalimah-kalimah tayyibah yang lain seperti tahmid, takbir, tasbih dan salawat.
Hukumnya adalah harus kerana ia melibatkan perkara-perkara yang baik dan tidak dilarang oleh syarak. Kalimah serta ayat-ayat yang dibacakan dalam tahlil adalah kalimah-kalimah yang baik dan bakal diberi ganjaran kepada pembacanya. Sementara berdoa kepada mereka yang telah meninggal dunia adalah sesuatu yang disarankan agama sepertimana yang disebut oleh al-Qur’an:
“Oleh itu tetapkanlah pengatahuanmu dan keyakinanmu (wahai Muhammad bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan mintalah ampun kepadanya bagi salah silap yang engkau lakukan dan bagi dosa-dosa orang-orang yang beriman lelaki dan permpuan dan (ingatlah), Allah mengetahui akan gerak-geri kamu (di dunia) dan keadaan penetapan kamu (diakhirat)” (Surah Muhammad :Ayat 19):
Dalam Surah al-Hasyr, ayat 10 “Dan orang-orang yang datang kemudian daripada mereka berkata, “Wahai Tuhan kami, Ampunkanlah dosa kami dan saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami, sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu” Dan dalam Surah Ibrahim disebut: “Wahai Tuhan kami! berilah keampunan kepadaku dan kedua-ibubapaku serta orang-orang yang beriman, pada berlakunya hitungan amal dan pembalasan.”
Menjemput orang ramai dan menjamu serta memberi makan adalah sesuatu yang digalakkan sepertimana yang disebut oleh Rasulullah: “Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah, “Yang manakah pekerjaan Islam yang lebih baik?" Jawab Nabi, “Memberi makan kepada manusia dan sebarkan salam kepada orang yang kamu kenali ataupun tidak” ( riwayat Bukhari).
Namun antara perkara-perkara yang harus diambil perhatian ketika membuat tahlil ialah:
i. Tidak mengadakan kenduri dengan perbelanjaan dari harta pusaka si mati yang warisnya masih belum baligh.
ii. Tujuan dan tumpuan utama tahlil adalah terhadap doa dan zikir dan bukannya terhadap jamuan yang diadakan.
iii. Sekiranya baru kematian, sebaiknya makanan disediakan oleh jiran atau rakan, bukannya dari kalangan ahli waris.
iv. Tidak melibatkan pembaziran
v. Tidak meratapi kematian arwah.
Wallahu a’lam
[Jabtan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) @myJakim]
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment