Wednesday, December 14, 2016

Matinya Omar - Singa Padang Pasir


Pada satu ketika, 16 September 1931...

Lelaki tua yang bertubuh tegap dan sasa ini berjalan tenang menuju ke tiang gantung dengan kedua belah tangannya terbelenggu di belakang. Namun raut mukanya tidak menampakkan rasa gentar atau takut menghadapi suasana kematian. Malahan matanya masih tetap bersinar menaruh keyakinan terhadap masa depan rakyat dan negaranya.

Kegagahannya begitu terserlah sehingga ke saat kematian apabila beliau tersenyum mengimbau kembali peristiwa-peristiwa yang ia lalui sehingga ia ditangkap dan dihukum di tali gantung.

Pengorbanannya terlalu banyak terhadap negaranya yang tercinta dan beliau berpuas hati apa yang beliau telah lakukan selama ini. Beliau redha dengan jalan yang dipilihnya sendiri.

Dalam solat subuhnya yang terakhir ketika beliau dibenarkan bersolat Subuh, beliau sujud begitu lama sehingga darah yang menyelinap ke seluruh anggotanya terasa kebas-kebas mengadu dan berdoa ke hadhrat Allah s.w.t. supaya Allah mengampuni segala dosa-dosanya selama ini dan memohon kepadaNya supaya negara dan rakyat bebas dari belenggu penjajahan. Beliau telah bersedia menemui Penciptanya sekarang.

Suasana hening di pagi yang sejuk menikam qalbu, kedengaran tangis-sedu menyelubungi orang-orang yang berada di sekelilingnya. Mereka menatap lelaki berusia 80 tahun itu dengan wajah muram. Air mata masing-masing tidak dapat ditahan, luruh bagaikan mutiara berguguran. Bagi mereka yang berada di sekitar kawasan penjara dan di tempat-tempat lain, turut merasainya, semua mereka sedar bahawa sudah sampai ketika dan waktunya beliau akan menjalani hukuman gantung sampai mati pada pagi itu.

Beritanya tersebar ke seluruh pelusuk negara. Masing-masing mengangkat tangan menadah ke langit memohon keampunan dari Allah Maha Besar dan memberi darjat yang tinggi kepada beliau dan ditempatkan bersama-sama dengan orang-orang solehin dan para-anbiya.

Tidak beberapa saat berlalu, suasana pagi yang hening kesejukan pagi itu dipecahkan dengan jerit pekik tangis bersahut-sahutan ketika mereka melihat lingkaran tali tiang gantung menjerut leher pahlawan mereka, Omar Al-Mukhtar. Singa Padang Pasir itu telah kembali kepada Penciptanya pada 16 September 1931 di Kota Solouq.

Selesai sudah perjuangannya melawan penjajahan Itali, tetapi perjuangannya itu akan tetap diteruskan oleh anak watan.

“Hidup biar mulia, mati biar syahid. ‘Isy ‘azizan aumut syahidan!”

(Kredit kepada Muhtar Suhaili - Miri, Sarawak)

No comments:

Post a Comment